Awet muda. Inilah istilah yang sering disebut apabila melihat wanita yang tetap tampak cantik menawan meskipun sudah berusia. Tertanya-tanya apakah ‘ilmu’ yang diamalkannya sehingga dia nampak jauh lebih muda daripada usia sebenarnya.

Tidak dapat dinafikan, kecantikan seseorang wanita bukan hanya diukur pada rupa paras dan faktor luaran tetapi merangkumi kebijaksanaan dan cara mereka membawa diri menjadi figura dikagumi.

Walau baga bagaimanapun amalan-amalan harian tetap menjadi faktor seseorang wanita itu nampak awet muda dan berseri-seri.

Ini perkongsian Dzuriasikim Dzulkefli.

Anda mungkin mahu panggil ini sebagai petua awet muda memandangkan usia saya pada tahun ini mencecah 51 tahun.

Apa yang bakal saya tulis ini adalah amalan rutin saya. Yang menjadi sebahagian dari hidup saya sejak remaja atau di zaman persekolahan. Sebahagian besarnya sudah jadi kebiasaan kerana memang menjadi amalan dalam keluarga juga.

Jadi, bukanlah ke semua ini saya lakukan kerana terpaksa dan kerana nak dipandang cantik atau muda ya.

Namun, apa sahaja ilmu yang dikongsi, jika anda rasa dapat membawa kepada kebaikan, bolehlah diambil dan diamalkan juga nanti.

Alhamdulillah, walaupun sudah hampir 51 tahun usia saya, dengan izin Allah, saya tidak ada masalah kedut di wajah yang ketara termasuk di bahagian mata, tidak ada sebarang masalah sakit-sakit sendi, tapak kaki, lutut, mahupun badan, tiada sakit-sakit kepala, tidak ada masalah angin dalam badan, masih boleh membaca dan menulis tanpa menggunakan cermin mata, masih berambut lebat, tiada masalah kulit menggeleber….

Kalau nak diikutkan, boleh jadi saya boleh buat buku khas untuk penjagaan diri ini. Namun saya cuba ringkaskan di sini untuk bacaan anda semua ya.

1. Saya jenis seorang yang jarang dan boleh dikatakan tak suka minum air manis

Antara keburukan minuman manis:
– Tambah berat badan.
– Tak puas minum atau susah rasa kenyang.
– Risiko diabetes.
– Melemahkan otot.

Lebihkan air masak atau air mineral ya.

2. Saya suka makan buah. Terutamanya buah yang kaya dengan Vitamin C

Malam-malam kalau lapar, makan je buah. Dan antara buah yang saya selalu amalkan adalah Lemon! Yes, lemon sangat bagus untuk kekalkan keremajaan dan awet muda. Saya amalkan minum air lemon suam bersama madu setiap pagi dan malam!

3. Saya suka bersenam dan bersukan

Saya memang suka bersenam dan bersukan. Ianya sejak dari zaman sekolah lagi. Sampailah ke hari ini. Musim PKP begini pun saya masih bersenam selalu di rumah. Anda boleh lakukan banyak senaman yang nampak sungguh ringkas tetapi sebenarnya sangat mencabar. Cubalah. Senaman boleh bantu detox, menjadikan kulit kita awet muda, anjal dan sihat. Senaman juga boleh bantu minda kita untuk berfikiran lebih positif.

4. Biasakan membaca selawat ketika membasuh muka

Pertama kali saya kongsi ini kepada umum. Ini diajar oleh arwah bapa saudara saya sejak saya berusia 12 tahun lagi. Sejak itu saya amalkan selalu. Setiap kali mandi dan cuci muka, saya akan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Saya amalkan ini hingga sekarang.

Kata arwah bapa saudara, selain mendapat pahala, amalan ini dapat menaikkan seri jernih pada wajah. Wallahualam.

5. Saya suka ikut petua orang-orang tua. Contohnya:

– Tak boleh berkemban waktu nak makan.
– Amalkan pakai kain batik di rumah. (Yang sebenarnya kena selalu berpakaian yang ada “ikat” di pinggang, supaya kita tak makan banyak).
– Kurang minum ais.
– Tak makan bersulam air (makan selang seli dengan air).
– Mandi sebelum makan, bukan selepas makan.
– Banyak lagi (nanti you all boring pula nak baca).

6. Saya sentiasa ceria dan positif. Tidak suka negativiti

Setiap masalah cuba atasi dengan cara positif. Selalu bersangka baik. Buat baik dengan semua orang. Pesan arwah ibu, biar orang buat kita…jangan kita buat orang. Macam tu lah. Simple tapi mudah dan bermakna bila orang tua berpesan.

7 TIP MUDAH UNTUK KEKAL CERIA DAN BAHAGIA DALAM HIDUP:

– NEVER HATE. Usah benci apa dan sesiapa pun.
– DON’T WORRY. Jangan terlalu bimbangkan masa depan dan masa silam. Jangan bimbang dengan cakap orang. Jangan bimbang benda yang tak perlu.
– LIVE SIMPLE. Bersederhana selalu. Erm…
– EXPECT A LITTLE. Usah terlalu berharap dengan orang, dengan apa yang kita usahakan, dengan perkara yang kita belum pasti. Tenang selalu.
– GIVE A LOT. Amalkan banyak memberi dari menerima ya. Beri bantuan, sedekah, senyum, kata-kata baik. Beri bahagia. Apa sahaja yang baik.
– GIVE A SMILE. Selalu senyum dengan semua orang. Termasuk di waktu kita sedang bersedih.
– “KEEP IN TOUCH” with Allah. Yang ini semua boleh faham kan?

Kalau nak tahu, saya sangat susah untuk marah. Dan tak suka marah. Bila berdepan dengan orang yang sedang marah, saya akan cool sahaja…biar dia marah sorang-sorang hehe.

7. Saya suka jaga personaliti

Mungkin sudah terikut dengan arwah ibu dan cara dibesarkan dalam keluarga kami, kalau boleh, saya sentiasa nak nampak kemas dan cantik. Setidak-tidaknya untuk diri saya sendiri.

IKLAN

Orang yang suka menjaga keterampilan. Duduk dalam rumah pun kadang bergincu hehe. Yang ni isteri-isteri harus praktikkan tau. Dalam rumah pun haruslah kelihatan berseri, kemas, bersih dan menarik! Usah bersiap hanya untuk keluar rumah sahaja. Namun bila di rumah, kata Ustaz Azhar Idrus… “Kadang sisik ikan pun ada melekat di muka”. Lucu tapi dalam maknanya.

8. Dengan izin Allah, saya jarang sangat selsema, batuk atau demam

Mungkin kerana penjagaan makanan, pengambilan air yang cukup, juga kerana sering bersenam, saya jarang sakit. Kalau kerja, paling jarang MC. Alhamdulillah.

Dengan kata lain, kalau kita selalu jaga makan, kesihatan pun terjaga. InsyaAllah.

9. Suka makan ulam-ulaman

Contohnya: Ulam raja, pucuk paku, ibu kunyit, pudina, daun selom (daun dalam laksa tu), pegaga dan macam-macam termasuk yang pahit, payau, berlendir. Segala ulam saya memang suka.

Sebab ini sudah jadi kebiasaan dalam keluarga saya sejak saya kecil. Jika susah nak dapatkan ulam, bolehlah digantikan dengan salad.

Saya juga suka makan halia muda dan kunyit muda sebagai ulam.

Jujurnya saya makan ulam bukan kerana nak awet muda, tapi kerana sudah ketagih dan terbiasa!

10. Saya sukakan rehat dan ketenangan

Saya suka cari masa untuk diri. Rehat dengan cukup. Buat aktiviti yang saya gemari contohnya bercucuk tanam, menulis, membaca atau apa sahaja yang menceriakan hati kita.

11. Saya sentiasa cuba untuk jaga solat Tahajud

Kalau boleh tak mahu dan sangat tak suka nak kongsi ini. Bimbang ada yang fikir saya riak pula. Tapi saya nak ajak semua supaya amalkan yang satu ini. Ia adalah punca bahagia bagi banyak perkara.

Cubalah untuk sentiasa jaga Tahajud. Kunci jam, bangun malam. Memang susah, tapi lama-lama dah terbiasa dan susah nak ditinggalkan. Dan kelebihan Tahajud ni sangatlah besar. Ramai orang tahu tapi tak ramai yang buat. Jom kita cuba bangun Tahajud mulai hari ini.

Tahajud adalah “ubat” bagi banyak perkara. Boleh buat kita tenang.

Dan orang-orang yang tenang, adalah orang-orang yang menang. Nampak tak bagaimana tenang itu boleh membuat kira rasa bahagia dan seterusnya awet muda?

12. Minum air masak dengan secukupnya

Jangan malas atau culas ye. Cubalah minum air dengan secukupnya selama 2 minggu dah lihat perbezaan pada kulit wajah anda. Minum banyak air kosong untuk memastikan organ-organ badan berfungsi dengan baik. Jika tubuh badan kekurangan air, ia juga boleh menyebabkan masalah kulit kering dan kusam. Masalah kulit ini membuatkan seseorang itu kelihatan lebih tua daripada usia.

13. Suka makan ikan

IKLAN

Ini pun kerana sudah terbiasa dari kecil. Lauk kegemaran saya ialah ikan. Semua orang tahu ikan kaya dengan kandungan lemak omega-3 yang tinggi (contoh, salmon dan ikan sardin) baik untuk hati dan sistem saraf. Lemak Omega-3 juga akan memberi anda rambut dan kulit yang sihat.

14. Makan pisang

Mungkin kebetulan, tapi buah pisang adalah salah satu “snek” kegemaran saya yang menyihatkan. Pisang kaya dengan kalsium yang khasiatnya membantu mengembalikan keseimbangan elektrolit serta menyerap lebihan air yang ada dalam tubuh.

15. Tomato

Ini dah jadi sebahagian dari ulam kegemaran. Bila dah besar baru saya tahu dalam buah tomato terdapat pigmen merah (likopen) yang khasiatnya dapat untuk membantu untuk memperlahankan proses penuaan.

16. Skincare
Gunakan skincare dengan rajin. Skincare adalah sama seperti baja untuk pokok. Pasti ada beza pokok yang berbaja dan tidak bukan? Usah beli skincare timbang!

Bersama anak sulungnya.

17. BERPANTANG PENUH SELEPAS BERSALIN

Saya tulis huruf besar ni. Sebab ramai wanita moden tak suka berpantang. Ambil ringan. Serta mungkin juga kerana tidak seiring dengan banyak pendapat moden. Tapi saya kongsikan di sini sebahagian dari amalan berpantang saya dari kelahiran anak pertama hingga ke 5 ya…

– MANDI AKAR KAYU setiap hari walaupun sampai ke hari terakhir berpantang

Biasanya ada orang yang akan bantu sediakan. Jika tiada, minta tolong suami rebuskan. Bangun awal, mandi air suam atau hangat dengan rebusan akar kayu awal pagi. Terus sapu segala ramuan di perut dan ikat perut atau berbengkunglah dari awal pagi.

– MENGAMALKAN HERBA ATAU JAMU

Terutama ketika dalam pantang. Usah malas untuk makan atau minum air akar kayu di samping ubat dari hospital.

– BERURUT
Sapu minyak herba satu badan. Berurut selalu.

– BERTANGAS

– KURANG PENGAMBILAN AIR
Jangan sampai tak cukup air, tapi jangan minum terlalu banyak. Jangan minum ais. Saya pantang 100 hari tak minum air sejuk. Malah hingga kini, saya jarang minum ais.

– BERTUNGKU

– BERBENGKUNG
Mesti pakai. Jangan culas. Jangan ambil mudah. Jangan malas. Jangan ganti bengkung dengan girdle moden.

– JAGA MAKAN
Usah makan sembarangan. Waktu berpantang saya hanya minum air yang suam sahaja, tidak sejuk (walaupun pada suhu bilik). Makan pula hanya ikan, daging, ayam yang dibakar sahaja. Ikan pun bukan semua ikan yang boleh dimakan. Saya juga banyak amalkan makan nasi bersama lada hitam yang ditumbuk. Kunyit hidup dan halia muda.

– BERSTOKIN
Usah ambil remeh.

IKLAN

– PASTIKAN BADAN SENTIASA PANAS
Jauhi aircond.

– PANTANG BERSAMA SUAMI
(Kalau saya 100 hari, terserahlah).

– ELAK MENGANGKAT BENDA BERAT/SENAMAN BERAT

– PANTANG KELUAR RUMAH

– IKAT RAMBUT TINGGI SELALU
Ikat kemas-kemas. Orang dulu-dulu selalu simpan rambut supaya boleh diikat sebelum bersalin dan ketika dalam pantang. Ikatan rambut yang kemas dipercayai boleh mengurangkan sakit kepala dan menegangkan wajah.

Perlu diingat, kebaikan berpantang ini adalah untuk diri sendiri. Kena sihatkan dalaman dahulu. Jadi perlu bersabar kerana ia hanya untuk sementara waktu iaitu di antara 44 hari, 60 hari atau 100 hari.

Jangan culas kalau betul-betul nak jaga badan

Wanita zaman moden (tidak semua) memang serba boleh. Hampir semua perkara mampu diuruskan sendiri dengan efisyen. Tak salah berpantang sendiri, cuma perlu konsisten dan disiplin. Kalau rasa malas dan culas, tapi masih lagi ingin berpantang sendiri, carilah penyedia khidmat berpantang dan urut selepas bersalin yang boleh ditempah secara online.

Ingatlah, berpantang adalah proses pemulihan tubuh yang amat penting dan akan memberi kesan kebaikan kepada kesihatan jangka masa panjang.

Masa muda kita tak rasa. Rasa macam ok. Jalan ok. Bersama suami ok. Duduk kaki terbuka ok. Tak pakai stokin ok. Tak ikat perut pun ok. Tunggu bila berusia…. Kata orang tua, jika tidak berpantang ni, bukan sahaja diri yang akan merasa nanti, malah pasangan (suami) pun boleh “rasa”.

Berpantang ini juga boleh menjaga dan mengekalkan seri wajah. Pernah dengar tak orang tua-tua sebut “Hilang seri dia lepas bersalin….”

Sebab itulah kalau tengok wanita zaman nenek-nenek kita, mereka masih langsing dan cergas bertenaga walaupun telah lanjut usia dan beranak ramai. Orang zaman dulu beranak 8 ke 10 orang itu biasa bagi mereka.

Selain pemakanan dan cara hidup, amalan berpantang yang diamalkan sedikit sebanyak dapat membantu kepada faktor tersebut. Jika dibandingkan dengan wanita zaman kini, umur baru 30 pun dah banyak penyakit yang datang.

Untuk kesihatan ibu yang baru bersalin, pengaliran darah adalah sangat penting. Kaedahnya termasuk lah senaman yang ringan dengan kerap, dan mengurut ini lah tujuannya. Kalau tak mampu mencari orang untuk mengurut, boleh membuat senaman yang ringan untuk pengaliran darah dari kaki ke jantung.

Jika malas, urat-urat hijau yang kembang di kaki tu (varicose vein) boleh hadir. Ia sebenarnya bukan urat, tetapi saluran darah ‘vena’ yang membawa darah kembali dari kaki ke jantung.

Untuk mencegah varicose vein atau untuk mengelak supaya ia tidak menjadi bertambah teruk, ini lah panduan untuk anda:

– Senaman yang kerap untuk membantu pengaliran darah di kaki. Jika tak bersenam, boleh berurut.

– Kurangkan berat badan melalui penjagaan pemakanan dan senaman. Lagi gemok badan kita, lebihlah lagi tekanan lemak badan dan berat badan kita ke atas vena kita dan ini melambatkan pengaliran darah dari kaki kembali ke jantung.

– Elakkan berdiri lama-lama. Elakkan duduk bersila dan jangan duduk lama-lama sangat. Bangun dan berjalan. Walaupun anda pergi mengurut kaki dan badan, anda tidak boleh mengurut sepanjang masa. Satu-dua jam saja pengaliran darah sehari semasa mengurut, lepas tu duduk saja sepanjang masa itu masih tidak mencukupi.

– Bila berjalan, elakkan memakai kasut tinggi. Ini menyebabkan perubahan kedudukan badan dan melebihkan tekanan ke atas vena di kaki.

– Bila tidur malam, tinggi kan kaki sedikit di atas beberapa bantal supaya kaki lebih tinggi dari badan untuk membantu pengaliran darah dari kaki ke jantung semasa kita tidur. Lagipun, tidur begini sangat rileks dan selesa.

(PANTANG BAGI YANG GUGUR kandungan pula kalau ikut orang dulu-dulu, kena berpantang lebih dari orang bersalin biasa….).

Sebenarnya, cantik adalah bersifat luaran dan sangat subjektif. Segala petua ini adalah lebih kepada penjagaan kesihatan diri.

Kesihatan adalah sangat berharga dan tak dapat dijual beli. Masa pula tak akan dapat kita putar kembali nanti. Jadi, jagalah diri.

Sumber kredit: Dzuriasikim Dzulkefli

DAPATKAN HIJABISTA E-MAGAZINE DENGAN MEMUAT TURUN APLIKASI EMALL DI GOOGLE PLAY DAN APP STORE. 

KLIK SINI 

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI