Ramai Rakan Artis Kongsi Sedih ‘Kehilangan’ Allahyarham Datuk Nassier Wahab

Share

Pemergian Datuk Nassier Wahab di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, jam 12.45 tengah malam semalam mendapat ramai perkongsian rakan artis yang turut berkongsi sedih.

Nassier yang memulakan karier sejak era 1980-an, berasal dari Pulau Pinang dan aktif menyanyi serta berlakon. Antara lagu popular Allahyarham adalah Sekali Aku Jatuh Cinta, Undangan Rindu dan Memori Cinta Luka.

Pada 1988, Nassier merakamkan lagu duet Susah Senang Kita Bersama dengan Ramlah Ram. Nassier turut menyertai musim kedua Gegar Vaganza (GV) hingga ke pentas akhir pada 2015 dan mendapat tempat keempat.

Pada 15 Julai lalu, Nassier menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri di sebuah pusat perubatan, di sini. Ketumbuhan itu mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.

Sejak itu, Nassier dilaporkan kerap sakit gusi dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Namun, apabila kesakitan itu berulang, penyanyi itu membuat pemeriksaan rapi dan doktor mendapati ada ketumbuhan kecil pada bahagian berkenaan.

Jenazah Allahyarham dimandikan di Masjid Batu Belah, Klang pada kira-kira jam 8.30 pagi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Belah Klang pada kira-kira jam 11.30 pagi tadi. Al-Fatihah.

Lebih 300 ahli keluarga, saudara-mara, rakan artis dan kenalan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir. Antara yang hadir Datuk Seri Shah Rezza, Datuk DJ Dave, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk M Nasir, Datuk Nash dan ramai lagi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56, dan seorang anak, Intan Najihah.

Sumber kredit: Berita Harian Online dan hmetro.com

IKLAN