Bukan mudah untuk berjaya namun tidak mustahil untuk memperolehnya jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh. Seperti Nurul Jannah Binti Zamberi, 23, dirinya boleh diangkat menjadi contoh dan kebanggaan buat rakyat Malaysia apabila dinobatkan sebagai pelajar terbaik di Rutgers University dalam bidang Biomedical Engineering.

Sebelum ini, Malaysia digemparkan dengan kejayaan Maryam Balqis yang memperolehi CGPA 4.00 di Arizona State University, Amerika Syarikat dan kini pelajar Malaysia sekali lagi menjadi kebanggaan apabila Nurul Jannah menerima Anugerah Samuel Welkowitz Award daripada Rutgers University.

Nurul Jannah, anak kelahiran melayu Johor yang merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik itu cemerlang dengan pencapaian Cum Laude atau The Highest Honors serta memperoleh CGPA 3.95.

Selain itu, Nurul Jannah merupakan antara pelajar lepasan MRSM Tun Ghafar Baba yang melanjutkan pengajian di Foothill Community College, Los Altos, California. Setelah menamatkan zaman persekolahannya di MRSM, beliau telah meneruskan pengajian di dalam American Degree Preparatory Program (MADP) selama dua tahun. Kemudian dia melanjutkan pengajian Bsc in Biomedical Engineering di Rutgers University, New Brunswick, Amerika Syarikat.

Menurut sumber maklumat Pejabat MARA Washington, “Nurul Jannah memilih bidang ini kerana beliau amat meminati subjek biologi, kimia dan fizik.”

“Beliau mengambil dan memanfaatkan peluang ini dengan bijak untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dengan melibatkan dirinya dalam beberapa penyelidikan malah Nurul turut terpilih sebagai Undergraduate Research Assistance oleh universiti ini.”

Antara tajuk penyelidikan beliau ialah “Inventing Nanoparticles for Drug Delivery Purposes to Treat Traumatic Brain Injury”, “Pulse Pressure and Cardiac Arrythmias, dan pada tahun akhir pengajian, beliau telah menjalankan Senior Design Group Project bertajuk “Noninvasive Arterial Stiffness Detecting Device”.

Di samping itu, menurut MARA Washington, Nurul memperoleh tempat pertama daripada 110 orang graduan Biomedical Engineering dan dinobatkan Samuel Welkowitz Award serta berjaya memasuki senarai khas pelajar cemerlang yang digelar “Matthe Leydt Society” dengan pencapaian tertinggi di sepuluh universiti terbesar di New Jersey.

Kejayaannya itu juga turut menarik perhatian Dr. Wan Azizah di laman twitternya.

Inilah Youth Power!

Mahu terus menimba ilmu, Nurul Jannah mempunyai impian yang besar bagi menyambung pengajian yang lebih tinggi hingga peringkat PHd dalam bidang yang sama.

Sudah pastinya rakyat Malaysia menyokong apa jua jalan yang dipilihnya dan semoga Nurul Jannah terus menyinar dalam setiap perkara yang diceburi. Buat Nurul Jannah, Hijabista ingin mengucapkan tahniah dan diharapkan agar terus berjaya mengecap kejayaan!

kredit: ewarta.mara.gov.my