Setiap wanita mengimpikan kulit yang putih bak putih telur. Sekiranya anda mahu memiliki kulit idaman anda, cuba amalkan sapuan gel timun yang boleh dilakukan sendiri di rumah. Timun merupakan sejenis sayuran yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan dan kecantikan diri.

Antara kebaikan timun adalah kaya dengan vitamin B, vitamin C, boleh menyegarkan tubuh, membantu membuang toksin, merawat kulit rengsa, menggalakkan pertumbuhan rambut, mengurangkan lingkaran hitam pada mata, menghilangkan bau mulut serta membantu menurunkan berat badan secara selamat.

Pada masa yang sama, timun juga boleh dijadikan sebagai masker yang boleh menenangkan kulit wajah, menyegar serta menjadikannya lebih mulus dan anjal. Pelbagai masker DIY yang boleh dicampur dengan timun. Antaranya:

1. Timun & Yogurt

Masker ini bagus untuk mengurangkan kesan sinaran matahari pada kulit. Asid laktik yang ada pada yogurt akan membantu melicinkan serta melembapkan kulit, selain merawat jerawat dan warna kulit tidak sekata.

Bahan diperlukan: 1/2 biji timun dan satu sudu besar yogurt.

Caranya: Jadikan isi timun sebagai puri sebelum dicampurkan bersama yogurt. Sapukan pada kulit dan biarkan selama 15 minit sebelum dicuci dengan air sejuk.

2. Timun & Madu

Masker ini membantu keanjalan kulit selain menyingkirkan sel kulit mati. Ia menggalakkan pertumbuhan tisu baru yang membantu kulit kelihatan lebih muda.

Bahan diperlukan: 1/2 biji timun dan dua sudu besar madu

Caranya: Jadikan isi timun sebagai puri sebelum dicampur dengan madu dan biarkan seketika sebelum disapu pada muka.

IKLAN

3. Timun & Susu

Masker ini membantu menyingkirkan sel kulit mati dan menyegarkan wajah.

Bahan diperlukan: 1/2 biji timun, 1/4 cawan susu, satu sudu besar madu dan satu sudu besar gula perang.

Caranya: Lenyekkan isi timun bersama bahan-bahan tadi dan sapukan semuanya pada kulit dan biarkan kira-kira 20 minit.

4. Timun & Aloe Vera

Fungsi masker ini adalah untuk melembap dan menenangkan kulit terutama selepas seharian memakai alat solek. Kesejukan daripada kedua-dua bahan ini akan membuatkan kulit wajah anda kelihatan lebih segar dan menghilangkan masalah seperti kemerahan pada kulit.

Bahan diperlukan: 1/2 biji timun dan dua sudu besar gel aloe vera.

IKLAN

Caranya: Kupas dan potong kecil timun dan campurkan dengan aloe vera. Kisarkan dan sapu pada kulit. Biarkan selama 30 minit sebelum dicuci dengan air sejuk untuk melihat hasilnya.

5. Timun Bersama Pisang, Madu & Lemon

Sesuai untuk kulit kering, pisang akan memberi tambahan pelembap bersama-sama madu untuk memastikan wajah tampak muda. Lemon pula bertindak sebagai penyingkir sel kulit mati seterusnya menjadikan kulit lebih segar, penuh nutrisi dan kekal lembap.

Bahan diperlukan: 1/2 biji pisang, 1/2 biji timun, empat sudu besar jus lemon dan satu sudu besar madu.

Caranya: Panaskan madu sehingga ia menjadi suam dengan cara memasukkan ia ke dalam botol kecil yang direndam dalam air panas. Masukkan ketulan pisang, jus lemon dan timun sebelum ia dikisar bersama. Sapukan pada muka dan elak bahagian mata. Biarkan selama 30 minit sebelum dicuci dengan air suam.

Gel Timun

Selain itu, terdapat satu perkongsian di Facebook oleh Nauf Safuan tentang cara menggunakan gel timun agar jerawat tidak merebak dan menjadikan kulit lebih putih dan licin.

IKLAN

Gel timun ni sangat sesuai untuk dapatkan kulit berseri-seri. Jerawat yang berleluasa di muka boleh dirawat dengan menggunakan gel timun. Gel timun ni boleh mengelakkan jerawat daripada terus merebak. Pakai sebelah malam. Esok bangun pagi insyaAllah jerawat akan kecut.

Untuk yang ada masalah pori besar pun digalakkan untuk pakai gel timun ni. Pori akan mengecut dengan pemakaian secara konsisten.

Bahan-bahan:

• 1/2 Timun
• Aloe vera beli kat Watsons @ Guardian
• Penyagat

Cara penyediaan:

• Sagat timun sehingga habis. Kemudian asingkan air timun dengan hampas timun.

• Campurkan air timun dengan aloe vera.

• Masukkan dalam bekas. Simpan dalam peti ais sebelum guna. Gel timun ni boleh bertahan 2 minggu kalau simpan dalam peti ais.

• Pakai sekali pagi dan sekali sebelah malam sebelum tidur.

SUMBER: FACEBOOK Nauf Safuan