Sesekali merancang untuk melancong ke negara empat musim, tentu banyak perkara penting yang perlu diberi perhatian. Lazimnya, jadual perjalanan dan keperluan diri menjadi keutamaan. Namun, ramai yang terlupa mengenai kesan perubahan cuaca yang bakal dihadapi pada kulit.

Oleh itu, apabila hendak ke negara empat musim, ramai akan mencadangkan pemakaian pelbagai jenis losen, krim dan gel untuk melindungi kulit daripada kesan kering.

Keadaan mungkin lebih teruk jika anda masih menggunakan pencuci muka yang sama di negara sejuk. Ini kerana setiap pembersih wajah mempunyai fungsi tersendiri mengikut keperluan pemakai. Berikut, beberapa tip yang boleh diberi perhatian sebelum anda berlepas ke negara empat musim!

LOSEN PELEMBAP

Menggunakan pelembap kulit sepanjang tempoh melancong ke negara sejuk memang penting. Tambahan jika anda mempunyai jenis kulit kering dan sensitif. Suhu sejuk, kering dan berangin boleh memberi kesan buruk kepada kulit. Kulit akan mula merekah, berkeping serta kemerahan kerana terlalu kering. Jika dibiarkan, kulit boleh jadi gatal dan pecah.

Sebab itulah perlunya losen yang kaya dengan fungsi melembap serta mampu mengekalkan kesihatan kulit. Pilih losen mengandungi perahan minyak zaitun, avokado atau mentega shea. Elakkan pelembap kulit yang mengandungi wangian kerana ia mungkin memburukkan lagi keadaan.

Cara pemakaian pelembap juga penting. Sapu pelembap ke seluruh tubuh setiap kali selepas mandi. Ulang pakai di bahagian kulit yang terdedah setiap kali perlu.

PELEMBAP BIBIR

IKLAN

Bibir mudah kering apabila cuaca terlalu panas atau sejuk, kurang air dalam badan serta keletihan. Bagi yang suka mengenakan gincu, pilih asas bibir kaya dengan pelembap. Sapu secara kerap terutama selepas mandi, ketika berada di luar dan sebelum tidur.

Ada kemungkinan pelembap bibir yang biasa digunakan setiap hari tidak sesuai dipakai di negara sejuk. Jadi, buat pilihan tepat sebelum terbang atau beli saja di negara yang bakal dikunjungi. Bagi mereka yang berkulit sensitif, pilih pelembap bibir tanpa warna untuk mengelakkan kesan sampingan. Usah gunakan pengilat bibir dengan kesan kilauan berlebihan kerana ia mungkin menjejaskan penampilan anda.

PERAPI RAMBUT

Tidak kira sama ada anda wanita bertudung atau tidak, berada di negara sejuk boleh menampakkan kesan perubahan kepada rambut. Ini kerana, kebanyakan wanita di negara tropika mencuci rambut dengan air bersuhu normal, tidak panas dan tidak pula terlalu sejuk. Mereka juga cenderung memilih syampu dua dalam satu (lengkap dengan perapi) untuk mengelakkan kulit kepala berminyak.

Berbeza jika berada di negara sejuk, kita cenderung membersihkan diri dengan air suam, merapikan rambut menggunakan pengering dan terdedah kepada suhu lebih rendah ketika berada di luar.

Perubahan sebegini kerap mendatangkan masalah rambut kering, kusut dan mudah putus. Penyelesaian terbaik adalah dengan menggunakan perapi rambut bersesuaian setiap kali selepas mandi. Anda boleh memilih jenis perapi yang perlu dibilas, tanpa bilas atau menggunakan campuran minyak organik seperti argan dan minyak kelapa untuk mengekalkan kesihatan rambut.

IKLAN

PUPUR MUKA

Memandangkan udara di negara sejuk boleh mengeringkan kulit, pertimbangkan untuk membawa bekalan pupur muka sebagai alternatif melembapkan kulit wajah, sekali gus mengurangkan risiko kulit retak.

Pupur muka jenis topeng paling praktikal kerana mudah dibawa. Pilih topeng muka mengandungi pati avokado untuk mengembalikan nutrien pada kulit wajah. Bagi yang mengalami kulit kering, pilih topeng muka dengan pati timun atau aloe vera untuk melegakan kesan perit, sekali gus mengembalikan kelembapan pada wajah.

Pakai selama 15 ke 30 minit sebelum tidur atau amalkan setiap kali sebelum mengenakan sebarang alat solek pada wajah.

IKLAN

TANGAN DAN KUKU

Sering kali kita lupa untuk mengenakan pelembap pada tangan menyebabkan kesan penuaan yang ketara. Tidak kira sama ada di negara tropika mahupun empat musim, pelembap sangat penting untuk tangan dan kuku. Namun, tidak ramai yang menjadikan sapuan pelembap di bahagian berkenaan sebagai tabiat.

Melembapkan tangan dan kuku dengan pelembap bersesuaian ialah cara yang baik untuk mengekalkan kesihatannya. Urutan dan pemakaian sarung tangan selepas memakai pelembap ketika tidur atau sebelum keluar bersiar-siar membantu mengunci lembapan pada kulit.

MENCUCI MUKA

Jangan ingat bahawa cuaca sejuk tidak mengundang risiko jerawat, liang wajah tersumbat dan sebagainya. Jika anda biasa menggunakan penanggal solekan jenis cecair, ada eloknya jika memilih jenis minyak ketika di negara sejuk.

Ini kerana penanggal mekap jenis cecair mungkin boleh merosakkan tekstur kulit dan meningkatkan lagi risiko kulit kering serta retak. Berbeza dengan minyak, kulit lebih mudah dibersihkan, sekali gus mengekalkan kelembapan wajah. Kemudian, pilih pembersih muka tanpa buih untuk mengelak kulit kering.

Seeloknya, dapatkan produk penjagaan diri dan wajah yang bersesuaian dengan suhu dan cuaca negara yang hendak dikunjungi. Dapatkan maklumat dan cadangan terbaik menerusi carian di Internet dan cuba sendiri produk dalam tempoh 24 jam untuk melihat kesannya kepada kulit.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI