Kelansungan hidup yang ingin di teruskan bukan semudah yang di jangkakan. Bertapa mudahnya kehidupan ini dengan ada pinjaman bank maka mudah untuk melangsaikan beberapa hutang sehingga ada yang alpa dengan konsep hutang bayar berlebihan boleh jatuh pada riba.

Sebagai orang Islam, kita harus jauhi beberapa jenis riba supaya tidak terjerumus ke lembah dosa. Oleh itu, amat penting untuk tahu berkenaan jenis riba yang ada supaya tidak terlibat dengannya, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Jangan pula keliru antara rasuah dan riba, dan juga antara jual-beli dan riba. Mungkin ada yang kurang tahu berkenaan riba. Terlibat dengan riba adalah satu dosa besar, malah dikatakan seolah-olah berperang dengan Allah.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah dalam ayat 278-279,

“Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki-baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya.”

Pada masa sekarang, banyak produk-produk kewangan yang mempunyai elemen riba terdapat di pasaran, contohnya seperti insurans konvensional, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan kad kredit.

Malah, tanpa kita sedar, perbuatan kita sendiri pun boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah riba jika tidak berjaga-jaga.

Jadi, untuk perkongsian kali ini, saya nak berkongsi serba sedikit berkenaan riba dan hutang dalam islam, supaya kita semua dapat berhati-hati agar tidak terlibat dengan amalan haram ini.

Hutang dalam Islam

Dalam Islam, hutang yang dibenarkan hanyalah pinjaman Al Qard atau turut dikenali dengan nama Al Qardhul Hasan atau pinjaman kebajikan, kepada orang yang sangat memerlukan bantuan tanpa melibatkan bayaran lebih semasa bayaran balik hutang tersebut.

Pinjaman ini baik kerana membantu menyelesaikan masalah kewangan orang lain, bukan untuk mendapatkan keuntungan.

Sebaliknya pula bagi bayaran tambahan yang dikenakan ke atas pinjaman yang dinamakan sebagai riba’ Ad-Duyuni jenis Al-Qard, iaitu manfaat tambahan yang disyaratkan oleh pemberi pinjam kepada yang meminjam ke atas pemberian jumlah pinjaman asal.

Faedah atau manfaat ini adalah suatu bentuk riba’ dan hukum riba’ itu haram.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 jelas menyatakan “Allah telah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba’.”

Hadis Rasulullah SAW juga ada menyebut, “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba.”

Definisi riba

Fahami dahulu apakah maksud riba. Dari segi bahasanya, riba bermaksud pertambahan dan peningkatan. Manakala dari segi istilahnya pula, riba bermaksud sebarang tambahan ke atas hutang akibat tempoh dan tambahan dalam urusan melibatkan item-item tertentu (ribawi).

Item ribawi pula bermaksud item wang seperti matawang, emas dan perak dan juga makanan asasi seperti tamar, beras, garam, gandum dan barli. Daripada definisi ini, dapat difahami bahawa riba boleh terhasil daripada hutang dan juga jual-beli item ribawi.

Jenis-Jenis Riba

Jenis riba al-Duyun #1 – Riba al-Qardh

Riba al-Qardh berlaku apabila sebarang kadar atau manfaat tambahan yang lebih daripada pinjaman pokok dikenakan ke atas pinjaman tersebut dan dipersetujui semasa pinjaman dibuat, sama ada dikenakan oleh pemberi pinjam atau ditawarkan sendiri oleh peminjam.

Dalam erti kata lain, riba al-Qardh melibatkan sebarang pinjaman yang perlu dibayar melebihi pinjaman pokok. Riba jenis ini adalah yang paling popular dan banyak berlaku di kalangan masyarakat sekarang.

Bagaimana hendak elakkan riba al-Qardh?

Pastikan sentiasa berhati-hati apabila memberi pinjam atau meminjam duit atau barang dengan pihak lain.

IKLAN

Kalau nak meminjam dengan bank atau institusi kewangan pula, pastikan pilih pembiayaan Islamik bukan pinjaman konvensional kerana pembiayaan Islamik menggunakan kontrak jual-beli, sewaan atau sebagainya yang berbeza dengan kontrak pinjaman konvensional.

Jenis riba al-Duyun #2 -Riba Jahiliah

Riba Jahiliah berlaku apabila sebarang manfaat atau kadar tambahan melebihi pinjaman asal dikenakan apabila bayaran pinjaman dilakukan melebihi tempoh yang ditetapkan sama ada disebabkan kelewatan atau penangguhan.

Boleh juga dikatakan riba Jahiliah adalah sebarang denda atau penalti yang dikenakan apabila peminjam lambat atau menangguhkan membayar pinjaman sepertimana tempoh yang ditetapkan.

Jenis riba al-Buyu’ #1 – Riba al-Nasak atau al-Nasiah

Riba ini berlaku apabila jual-beli atau pertukaran antara item ribawi berlaku secara bertangguh atau tidak serentak.

Untuk elakkan riba al-Nasak, kena ingat perkara ini; transaksi pertukaran item ribawi mesti dilakukan serentak dalam satu masa atau majlis; kedua-dua penjual dan pembeli mesti menyerahkan item masing-masing sebelum berpisah. Tidak boleh berhutang, tidak boleh bertangguh.

Jenis riba al-Buyu’ #2 – Riba al-Fadhl

Riba ini melibatkan jual-beli atau pertukaran antara item ribawi yang sama jenis, yang mana berlaku apabila berat dan kuantiti pertukaran tersebut adalah tidak sama.

Untuk elakkan riba al-Fadhl, pertukaran bagi item ribawi sama jenis mesti dilakukan dalam berat atau kuantiti yang sama. Mungkin ada yang bertanya, bagaimana nak tukar item ribawi yang sama jenis, tetapi berlainan kualiti atau nilai dengan berat yang berbeza.

Contoh: nak tukar 10kg beras biasa dengan 5kg beras basmathi. Boleh, kena tukar dengan item ribawi lain jenis dulu seperti matawang. Jual dulu 10kg beras dengan dan dapatkan wang, kemudian beli 5kg beras basmathi dengan wang tersebut.

Keliru dengan pengaplikasian hukum riba’

Dalam konteks pinjaman berunsur riba’, mereka menyangka hukum ini hanya sabit pada pemberi pinjam yang mengenakan faedah, sedangkan hakikatnya bagi pihak yang meminjam juga haram hukumnya.

Hal ini kerana yang meminjam dikira bersubahat dan terlibat secara langsung dengan riba’.

Menurut Riwayat Muslim, Rasulullah SAW ada bersabda, “Si pemberi (riba’) dan si pengambil riba’ adalah sama.”

Bagaimana pula jika pihak yang meminjam rela membayar bunga kepada pinjaman tersebut?

IKLAN

Jika pihak yang meminjam dengan sukarela menawarkan pembayaran semula dengan nilai tambah, hukum haram turut sabit, kerana hukuman riba’ tergolong dalam kategori hak Allah SWT dan Islam tidak menerima campur tangan redha manusia dengan hukum yang berkaitan dengan hak Allah SWT.

Rasional di sebalik penetapan ini ialah pinjaman sepatutnya menjadi suatu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar membantu mereka yang mempunyai keperluan kewangan mendesak. Jika dikenakan faedah atas pinjaman dalam keadaan terdesak itu, bukankah ianya suatu penindasan yang bersifat sebagai mengeksploitasi kesusahan pihak yang meminjam?

Kita lihat daripada aspek sosial pula, bukankah bantu membantu dalam masyarakat itu sepatutnya bersifat ikhlas hati tanpa mengharapkan balasan?

Jika kita mengamalkan pinjaman berunsur faedah ini, secara tidak langsung kita turut menyokong amalan mengharapkan dan mengenakan balasan apabila membantu orang lain, yang seterusnya bakal menghasilkan masyarakat yang hilang sifat tolong-menolong mereka.

Banyak lagi rasional di sebalik pengharaman riba’ bukan sahaja dalam urusan pinjaman tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan. Bagi yang ingin melakukan pinjaman, cuba semampu boleh untuk tidak meletakkan diri anda dalam posisi ditindas, ditekan dan dieksploitasi.

Maknanya, elakkan meminjam daripada pihak yang mengenakan faedah ke atas anda jika anda mempunyai pilihan lain.

Bagaimana pula jika kita dalam keadaan yang begitu terdesak dan terpaksa mendapatkan pinjaman wang berdasarkan riba’ kerana tiada pilihan lain?

Sekiranya kita amat memerlukan wang itu untuk perkara yang dibenarkan Syara’ dan kita telah berusaha sehabis daya untuk mendapatkan pinjaman tanpa riba mengikut hukum Syara’ tetapi gagal, maka adalah harus untuk mengambil pinjaman yang berdasarkan riba.

Contohnya, sekiranya seseorang pelajar itu tidak mampu menyambung pelajaran tanpa mengambil pinjaman berunsur faedah dan dia telah berusaha untuk mendapatkan pinjaman tanpa faedah, dia dikira dalam keadaan darurat yang membolehkannya mengambil pinjaman berdasarkan riba’ berkenaan.

Jadi persoalan yang timbul bagi yang telah dan sedang mengambil pinjaman riba ini ialah perlukah faedah yang dikenakan hasil daripada pinjaman ini dilangsaikan memandangkan jelas hukumnya haram?

Jika perkara ini yang menjadi kerisauan anda, bertenanglah kerana Islam itu agama yang syumul, lengkap dan mudah. “Sesungguhnya Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Al-Baqarah: 286).

Terdapat tiga pilihan kaedah menguruskan pinjaman berunsur riba’ bagi pihak yang meminjam, seperti berikut:

Kaedah 1: Batalkan terus pinjaman berunsur riba’ jika mampu.

IKLAN

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan (jangan menuntut lagi) saki baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Baqarah : 278).

Jelas riba’ itu haram, dan kita dilarang untuk meneruskan pinjaman riba’.

Oleh itu, jika kita mampu dan boleh membatalkan pinjaman sebegini, maka kita wajib membatalkan terus pinjaman berunsurkan faedah tersebut.

Kaedah 2: Selesaikan jumlah bayaran pinjaman asal dan batalkan faedah jika mampu.

Jika tiada cara untuk kita membatalkan pinjaman sebegini, kita perlu membayar pinjaman itu semula cukup sekadar jumlah asal pinjaman tanpa membayar faedah yang dikenakan.

Kaedah ini terpakai hanya jika kita mampu menghapuskan liabiliti pembayaran faedah tersebut tanpa sebarang kesan negatif melalui perbincangan dengan pemberi pinjam. Pinjaman asal itu wajib dibayar namun faedah dikenakan ke atasnya merupakan riba’ yang haram dan perlu dielakkan jika mampu.

Kaedah 3: Teruskan pembayaran pinjaman dan faedah jika tidak mampu, batalkan.

Jika tidak mampu untuk mengelakkan diri daripada pinjaman serta pembayaran faedah berkenaan, maka bayarlah pinjaman pada kadar asal termasuk dengan faedah itu sekali. Syaratnya ialah kita perlu telah mencuba sehabis daya terlebih dahulu untuk mengelakkan diri daripada membuat  pinjaman berunsur riba’.

Setelah itu, bertaubat dan menyesallah atas apa yang kita lakukan.

“Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Asy-syuura: 25)

Elakkan daripada meminjam atau berhutang.

Walaupun begitu tidak dapat dinafikan keperluan dunia masa kini kadangkala menekan kita untuk melakukan pinjaman, maka pilihlah pinjaman tanpa unsur riba’. Jika telah atau terpaksa mengambil pinjaman dengan unsur riba’, ketahuilah syarat dan kaedah pembayarannya.

“Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar : 53).

Riba boleh wujud dalam banyak keadaan dan situasi, dan kita sendiri boleh terjerumus dengan amalan dosa besar ini jika kita tidak berhati-hati dan kurang ilmu tentangnya.

Pada setiap apa yang diharamkan dalam Islam pasti ada kebaikannya dan mencegahkan kita dari sesuatu yang buruk.

Disclaimer: Artikel ini telah diterbitkan dalam Akuislam dan disumbang oleh  Dg Roziekah Binti Ussin. Penulis seorang mahasiswa Fakulti Undang-Undang UKM. Semoga apa yang dikongsikan memberi manfaat kepada pembaca.

Sumber:JOM URUS DUIT

DAPATKAN MAJALAH HIJABISTA EMAG , DENGAN MUAT TURUN APLIKASI EMALL DI GOOGLE PLAY DAN APPS STORE.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI