Tidak kisahlah sama ada anda memanggil dengan panggilan bapa, ayah, papa, abah dan sebagainya, individu itu tetap orang sama iaitu antara individu paling penting dalam kehidupan kita.

Selepas ibu, bapa merupakan orang yang bertanggungjawab membesarkan dan mencorakkan kehidupan awal kita.

Justeru, sambutan Hari Bapa yang jatuh hari ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menghargai jasa dan pengorbanan golongan bapa.

Umumnya, ramai daripada kita terlepas pandang betapa tinggi dan besarnya jasa seorang bapa. Maka tidak hairanlah ada yang menganggap Hari Bapa tidak sepenting Hari Ibu.

Namun sebenarnya, adakah kita dibenarkan menyambut perayaan seperti Hari Ibu dan Hari Bapa? Jika boleh, apakah panduan untuk merayakannya?

Berikut penjelasan dari Mufti Wilayah.

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَ‌ٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ﴿٢٣﴾ وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًا ﴿٢٤﴾ رَّبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا فِى نُفُوسِكُمْ ۚ إِن تَكُونُوا۟ صَـٰلِحِينَ فَإِنَّهُۥ كَانَ لِلْأَوَّ‌ٰبِينَ غَفُورًا ﴿٢٥﴾

IKLAN

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu. Jika kamu orang-orang yang baik, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaub. (Surah al-Isra’: 23-25)

Ayat di atas menunjukkan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya iaitu mendoakan kesejahteraan mereka, berbuat baik, memberi bantuan yang sewajarnya sebagai mengenang dan membalas jasa ibu bapa atas pengorbanan mereka yang tidak ternilai.

Berkenaan dengan sambutan Hari Bapa atau Hari Ibu, suka dinyatakan bahawa:

Saya melihat isu seperti ini lebih kepada istilah sahaja di mana hakikat perayaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Berkenaan dengan memuliakan ibu bapa, ia tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu. Malah kewajipannya adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat. Justeru, perayaan seperti ini lebih menghampiri pengaruh Barat yang terpaksa mewujudkan perayaan bagi menghormati ibu dan bapa. Sedangkan bagi orang Islam, anjuran supaya memuliakan dan menghormati kedua ibu bapa sebenarnya sudah dititikberatkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah Nabi SAW, tanpa terikat dengan masa dan tempat.

IKLAN

Saya tidak menganggap bahawa merayakan Hari Ibu dan Hari Bapa sebagai perkara yang tidak dibolehkan. Tetapi hendaklah dengan menepati beberapa syarat:

Menganggap Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai penghormatan tambahan buat mereka, bukannya menyempitkan skop menghormati mereka hanya pada tarikh tersebut.

Tidak menjadikan ia sebagai satu bentuk perayaan dengan ertikata perayaan keagamaan, tetapi sebagai sambutan secara adat sahaja.

Sewajarnya seseorang Islam sentiasa menghormati ibubapa dan pada saat yang sama memahami ajaran Islam supaya ketaatannya sentiasa selaras dengan syariat Islam.

IKLAN

Berikut empat perkara yang dilakukan seorang ayah, tetapi kebanyakan daripada kita terlepas pandang atau tidak menyedarinya.

SUMBER KEWANGAN
Selalunya jika hendak minta duit, anak-anak akan minta dengan mak. Namun sebenarnya duit itu ‘datangnya’ dari seorang ayah sebab menjadi tanggungjawab seorang ayah menyediakan keperluan anak-anak. Tetapi pernahkah kita terfikir apa yang dilalui seorang ayah untuk membawa pulang rezeki untuk dinikmati keluarga? Tekanan kerja, tekanan di jalan raya dan tekanan untuk membahagikan perbelanjaan agar mencukupi? Maka luangkan sedikit masa untuk menghargai pengorbanan ayahmu!

IKON ATAU IDOLA
Jika anda seorang perempuan, anda akan mahukan teman hidup yang, jika tak seratus peratus serupa, mungkin 50 peratus menyerupai karakter ayah anda. Jika anda seorang lelaki, anda belajar untuk menjadi lelaki budiman daripada ayah anda.

SUMBER RUJUKAN
Apa yang anda tahu hari ini, kebanyakannya adalah daripada bapa. Tak kisahlah isu politik, sukan atau kehidupan secara amnya. Cuma bab artis dan drama TV sahaja yang ayah anda mungkin tak tahu.

GURU DISIPLIN
Tidak dapat dinafikan, bapa merupakan guru disiplin yang membentuk perilaku anak-anak. Jika si bapa tegas orangnya, kemungkinan untuk anak-anaknya menjadi berdisiplin sangat tinggi. Pengurusan masa, ketelitian, disiplin kebiasaannya dibentuk oleh seorang ayah.

HIJABISTA: Selamat Hari Bapa kepada semua bapa dan ayah hebat di seluruh dunia! Berikan tepukan tahniah untuk diri sendiri. Memang bukan mudah menjadi seorang bapa.

Sumber kredit: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Facebook Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI