Keyakinan diri seseorang itu boleh luntur jika sering dihina oleh orang sekeliling. Itulah yang dirasai oleh Farah Natasya Abd Rahman,23, apabila dahulu giginya sering diejek salah ‘parking’ disebabkan memiliki susunan gigi tidak cantik dan berlapis.
Namun begitu, Farah yang pernah menjadi mangsa buli siber di laman media sosial tidak melatah malah menganggap ejekan diterimanya sebagai dorongan untuk menjadikan diri lebih baik.
I was mocked & cyberbullied because of my teeth since primary school until diploma 🙁 BUT here’s my glow up 🙈✨🤟🏻 #Glowupchallenge pic.twitter.com/RpoPDg4F1B
— Farah N. (@faithsug3r_) April 16, 2020
Dahulunya sering mendapat komen negatif daripada netizen
“Dulu, saya pernah memuat naik gambar swafoto dan mendapat komen negatif yang saya tidak boleh lupa sehingga sekarang.
“Saya sedih ada warganet yang sanggup tulis di ruangan komen, tidak perlulah muat naik gambar senyum kalau gigi macam itu,” katanya.
Farah kemudiannya berhasrat mengubah penampilan selepas mendapat nasihat dari doktor yang hadir membuat pemeriksaan gigi di sekolah.
“Doktor menyarankan saya menjalani pemeriksaan khusus kerana ada sesetengah kedudukan gigi tidak boleh diselesaikan dengan rawatan ortodontik.
“Setelah pemeriksaan dibuat, doktor benarkan saya memakai pendakap gigi dan ibu bapalah yang beri sokongan dengan membayar semua kos rawatan gigi di klinik yang hampir mencecah RM6,000.
“Saya memilih klinik yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukannya daripada tawaran media sosial atau individu bukan doktor gigi,” katanya kepada Harian Metro.
Sudah kebal dengan rasa sakit
Dia yang juga mengakui rasa ngilu dan sakit itu sudah kebal dalam dirinya apabila sudah memakai pendakap gigi selama dua tahun enam bulan.
“Orang yang mempunyai pengalaman memakai gigi ‘besi’ sahaja yang tahu rasa sakitnya macam mana.
“Kedudukan gigi dulu menyukarkan saya menggosok gigi dengan bersih sehingga menyebabkan plak terbentuk.
“Ia menjadi satu keperluan untuk saya membuat rawatan ini dan bukannya kehendak untuk kelihatan cantik semata-mata,” ujarnya.
Kini, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) itu mengakui dia gembira dengan penampilannya sekarang dan berasa lebih yakin terutamanya apabila bercakap.
“Saya kongsi gambar sebelum dan selepas menjalani rawatan ortodontik atau pendakap gigi di akaun Twitter dan menerima lebih 8,000 ulang kicau serta 21,000 tanda suka.
“Melalui perkongsian itu, ramai warganet berkongsi masalah sama diejek kerana memiliki gigi jongang, jarang dan berlapis.
“Namun, ada juga komen negatif diterima tetapi pendirian saya, saya jauh lebih kenal diri sendiri berbanding orang lain. Bagi saya, jangan kerana mulut orang lain kita lupa kelebihan yang ada,” jelasnya.
kredit: Harian Metro
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI