Islam merupakan agama yang amat menitikberatkan adab-adab dalam berkomunikasi sesama manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Untuk itu, di antara sebab Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW adalah untuk menyempurnakan atau mengajarkan akhlak kepada sekalian manusia.

Sabda Baginda SAW:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadis ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]

Tambahan pula, bersalaman ketika bertemu termasuk di dalam adab-adab Islam dan akhlak yang terpuji. Ini kerana, ia menggambarkan sifat cinta dan kasih sayang di antara yang bersalaman.

Photo by -kevin-malik from Pexels.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadis yang menunjukkan kelebihan perbuatan bersalaman adalah:

Daripada al-Bara’ berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ، فَيَتَصَافَحَانِ، إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَتَفَرَّقَا

Maksudnya: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” [Riwayat Ahmad (18547)]

IKLAN

Hadis di atas ini juga diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi dan juga Imam Ibn Majah di dalam sunan mereka. Adapun berkaitan hukum hadis di atas, di sini dinukilkan beberapa pandangan para ulama:

Imam Abu Daud (275 H) mendiamkan (tidak menghukum) hukum hadis tersebut di dalam sunannya dan jika Imam Abu Daud tidak menyatakan hukum pada sesebuah hadis di dalam sunannya maka ia menunjukkan bahawa hadis tersebut adalah soleh (baik dari sudut matan dan sanadnya).

*Imam al-Tirmizi (279 H) menilai hadis di atas sebagai hasan gharib.

*Imam Ibn al-Mulaqqin (804 H) menghukum hadis al-Bara’ sebagai hasan.

*Imam al-Suyuthi (911 H) menyatakan bahawa hadis ini adalah sahih.

*Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadis di atas sebagai sahih li ghairihi.

IKLAN

Melihat kepada beberapa pandangan ahli ilmu di atas, cenderung kepada pandangan yang menyatakan hadis ini adalah hasan dengan sokongan bagi hadis tersebut. Ini juga merupakan amalan para sahabat Nabi SAW.

Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang sahih:

Daripada Qatadah RA, beliau berkata kepada Anas bin Malik RA:

أَكَانَتِ المُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Adakah terdapat perbuatan bersalaman dalam kalangan sahabat Nabi SAW?.” Jawab Anas: “Ya.” [Riwayat al-Bukhari (6263)]

IKLAN
Photo by ketut-subiyanto from Pexels.

Selain itu, Imam Ibn Batthal menyatakan bersalaman merupakan satu kebaikan menurut kebanyakan ulama. Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa bersalaman merupakan sunnah yang disepakati ketika bertemu.

Perbuatan ini juga telah dinaskan oleh kebanyakan para ahli feqah bahawa bersalaman adalah sunnah dengan berdalilkan kepada sejumlah khabar-khabar yang sahih dan juga hasan.

KESIMPULANNYA: 

Hadis berkaitan kelebihan bersalaman merupakan hadis yang hasan sebagaimana yang dinyatakan di atas. Tambahan pula, amalan ini telah wujud di zaman Rasulullah SAW lagi sebagaimana yang diceritakan oleh para sahabat Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk dalam mengamalkan serta menyebarkan sunnah Nabi SAW. Amin.

Wallahua’lam.

Sumber kredit: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Top image: Photo by mikhail-nilov- from Pexels.

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

https://youtu.be/oNhFqV_vqVs

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI