Hidayah dari Allah  SWT datang dalam pelbagai cara. Dan beruntungnya kita jika menjadi insan pilihan menerima nur darinya. Bagi mualaf, Jasnita Jerome DIA bersyukur kerana dipilih Allah SWT menjadi Sebahagian daripada umat Islam. Walaupun keinginan itu sudah lama Terdetik dalam hatinya, namun dek kerana Pelbagai kekangan impian itu hanya tercapai kira-kira sebulan yang lalu.

Sempena isu Hijabersary, Hijabista berkesempatan untuk mengadakan sesi temubual dan fotografi dengannya bercerita pengalaman menerima hidayah Allah. Ternyata cahaya kebahagiaan jelas terpancar di wajahnya tika bertandang ke Studio Karangkraf baru-baru ini.

Makna di sebalik nama

“Sebenarnya nama asal saya seperti orang Melayu. Cuma agama saja yang membezakan saya sebelum itu. Dan apabila saya memeluk agama Islam baru-baru ini, terus menukar nama kepada Nur Afina Jasnita Jerome.

“Saya pilih nama berkenaan kerana ia membawa maksud yang baik. Nur bermaksud cahaya, Afina pula ‘orang yang memaafkan’. Sebenarnya saya memang seorang yang tidak menyimpan perasan negatif dan seorang yang cepat memaafkan orang lain,” ungkap Nur Afina Jasnita, 20 tahun dan berasal dari Sabah ketika memulakan perbualan.

Alami mimpi indah

Menceritakan pengalamannya berhijab, Nur Afina jelas tidak sabar untuk berkongsi perjalanannya dalam menerima hidayah Allah.

IKLAN

“Kisah penghijrahan saya bermula dengan niat dan keinginan yang mendalam selama lebih tujuh tahun lalu. Sebenarnya awal tahun ini saya ada mengalami  mimpi yang pada saya cukup indah. Mimpi itu berkisar dalam sebuah masjid di mana hanya ada saya dan seorang wanita yang bertelekung duduk di atas sejadah dengan sebuah Al-Quran.

“Pada waktu itu wanita ini dilimpahi sinar dan cahaya tertumpu hanya pada dirinya. Saya juga rasa sedikit pelik kerana pada masa sama saya juga memakai telekung dan dia kemudiannya memanggil saya untuk duduk sekali dengannya. Tapi saya tidak dapat melihat dirinya kerana apabila saya duduk untuk pandang wajahnya azan Subuh berkumandang dan saya terus tersedar,” cerita Nur  Afina yang pada ketika itu  terus tekad untuk berhijrah.

Dapat sokongan keluarga

Dia juga bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga dalam penghijrahan kepada agama baru iaitu Islam.

IKLAN

“Alhamdulillah penerimaan keluarga saya baik dan mereka faham yang saya sudah besar untuk membuat keputusan memilih mana yang terbaik. Mereka sentiasa menyokong pilihan saya asalkan ke arah kebaikan.

“Tidak dinafikan apabila bergelar saudara baru atau mualaf ini banyak cabaran dan halangan yang perlu dilalui. Namun saya kena kuatkan diri dari terpengaruh dengan pelbagai perkara tidak berfaedah dan yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai seorang Muslim.

“Saya belajar istiqomah dan melatih diri untuk sentiasa teguh dengan pendirian. Sebagai contoh, walaupun saya masih tidak arif dalam solat, tetapi saya tetap ikut kawan kawan dan belajar sikit demi sikit agar solat saya lebih sempurna,” tambah Nur Afina yang tidak rasa kekok apabila berhijab untuk menutup aurat.

IKLAN

Pasang impian jejak kaki ke Kota Makkah

“Saya banyak belajar fesyen berhijab dari  kawan-kawan dan juga melalui platform media sosial seperti Youtube dan juga Instagram. Setelah berhijab ini, saya menyukai fesyen yang menutup aurat dan selesa dengan saya.

“Untuk ikon fesyen pula saya memang meminati selebriti Rozita Che Wan. IBagi saya dia seorang yang bijak bergaya dalam apa jua fesyen dan masih lagi menepati ciri-ciri santun dalam menutup aurat.

“Nasihat saya pada mereka yang ada keinginan untuk berubah ke arah kebaikan, tetapi rasa takut untuk melakukannya, cuba buat yang terbaik. Cuba beranikan diri untuk capai apa yang kita inginkan. Ikut kata hati dan jangan mudah terpedaya dengan hasutan yang tak baik,” ujarnya yang turut memasang impian satu hari nanti agar seluruh ahli keluarga akan mengikut jejak langkahnya.

Malah jauh di sudut hati dia mahu bersolat bersama mereka.   Nur Afina turut berazam untuk menjadi seorang wanita yang berjaya dan paling penting dapat membahagiakan kedua ibu bapa. Menjadi harapannya juga jika punya rezeki dia mahu menjejakkan kaki dan beribadah di Makkah satu hari nanti.

 

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI