Inspirasi

Bukan Sebab Makan Banyak! 3 Jenis Ubat Ini Boleh Buat Berat Badan Naik

Share

Pernah tak rasa pelik apabila berat badan semakin bertambah walaupun corak pemakanan dan gaya hidup tidak banyak berubah? Makan seperti biasa, aktiviti harian pun sama, tetapi angka pada penimbang tetap meningkat.

Ramai wanita mudah menyalahkan diri sendiri apabila berat badan bertambah. Hakikatnya, selain faktor pemakanan, kurang bersenam, tekanan, perubahan hormon dan peningkatan usia, terdapat juga beberapa ubat berat badan naik yang boleh menyumbang kepada pertambahan berat sebagai salah satu kesan sampingan.

Menerusi perkongsian di TikTok, Dr Umar Izudin menjelaskan bahawa sesetengah ubat boleh menyebabkan berat badan meningkat kerana ia berupaya meningkatkan selera makan, menyebabkan pengekalan cecair dalam badan atau memperlahankan kadar metabolisme.

Walaupun begitu, kesan ini tidak berlaku kepada semua individu. Ia bergantung kepada jenis ubat, dos, tempoh penggunaan serta keadaan kesihatan seseorang.

Ubat Berat Badan Naik: Mengapa Ia Boleh Berlaku?

Tidak semua individu akan mengalami pertambahan berat badan selepas mengambil ubat tertentu. Namun, jika perubahan tersebut berlaku sebaik sahaja memulakan rawatan baharu, ia wajar diberi perhatian dan dibincangkan dengan doktor atau ahli farmasi.

Ada ubat yang meningkatkan selera makan sehingga seseorang makan lebih banyak tanpa disedari. Ada juga ubat yang menyebabkan badan menyimpan lebih banyak cecair atau mengurangkan kadar pembakaran kalori. Faktor-faktor inilah yang boleh menyebabkan berat badan meningkat secara beransur-ansur.

1. Ubat Antihistamin Untuk Alahan Dan Selesema

Antara ubat yang sering dikaitkan dengan pertambahan berat ialah ubat antihistamin yang digunakan untuk merawat alahan, gatal-gatal, bersin dan simptom selesema.

Contoh ubat yang dikongsikan ialah cetirizine.

Menurut Dr Umar, sesetengah antihistamin boleh meningkatkan selera makan. Apabila selera makan bertambah, seseorang mungkin lebih cenderung mengambil makanan dalam kuantiti yang lebih banyak tanpa disedari.

Jika pengambilan kalori meningkat secara berterusan, berat badan juga boleh bertambah sedikit demi sedikit.

2. Ubat Steroid Untuk Anti-Radang Dan Alahan

Ubat steroid sering digunakan untuk merawat pelbagai keadaan seperti keradangan, alahan yang teruk, asma, penyakit autoimun dan beberapa masalah kesihatan lain.

Antara contoh ubat steroid ialah prednisolone, dexamethasone dan hydrocortisone.

Penggunaan steroid, terutama dalam tempoh yang panjang atau pada dos tertentu, boleh menyebabkan peningkatan selera makan. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan pengekalan cecair dalam badan sehingga tubuh terasa lebih berat.

Dalam sesetengah keadaan, steroid turut mempengaruhi taburan lemak pada badan, contohnya di bahagian muka, perut dan belakang badan. Oleh sebab itu, pesakit perlu mematuhi dos yang ditetapkan dan menjalani pemeriksaan susulan seperti yang disarankan oleh doktor.

3. Ubat Darah Tinggi

Selain itu, terdapat beberapa jenis ubat darah tinggi yang berpotensi menjadi ubat bagi sesetengah individu.

Antaranya ialah ubat dalam kumpulan alpha blocker seperti terazosin, serta beta blocker seperti metoprolol, atenolol dan propranolol.

Menurut Dr Umar, ubat beta blocker boleh menyebabkan kadar metabolisme menjadi sedikit perlahan. Ada juga individu yang berasa cepat letih atau kurang toleransi terhadap aktiviti fizikal selepas mengambil ubat tertentu.

Apabila tubuh kurang aktif dan pembakaran kalori berkurang, berat badan boleh meningkat secara perlahan-lahan.

Jangan Berhenti Mengambil Ubat Tanpa Nasihat Doktor

Walaupun kenaikan berat badan boleh membuatkan seseorang berasa kurang selesa, jangan sesekali menghentikan pengambilan ubat tanpa nasihat doktor.

Tindakan berhenti mengambil ubat secara tiba-tiba boleh menjejaskan keberkesanan rawatan dan mengundang komplikasi kesihatan yang lebih serius, terutama bagi mereka yang mengambil ubat untuk darah tinggi, alahan kronik, asma atau penyakit tertentu.

Jika anda risau tentang perubahan berat badan, berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu. Dalam sesetengah keadaan, doktor mungkin boleh mencadangkan dos yang lebih sesuai, pilihan ubat lain atau strategi untuk mengurangkan kesan sampingan.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Berat Badan Meningkat?

Jika anda mendapati berat badan meningkat selepas memulakan ubat baharu, cuba catat perubahan yang berlaku. Perhatikan bila ubat mula diambil, perubahan selera makan, tahap aktiviti harian serta jumlah kenaikan berat badan.

Maklumat ini boleh membantu doktor atau ahli farmasi menentukan sama ada perubahan tersebut berkaitan dengan ubat yang diambil atau berpunca daripada faktor kesihatan lain.

Selain itu, amalkan pemakanan yang seimbang, kekal aktif mengikut kemampuan, minum air yang mencukupi dan dapatkan rehat yang berkualiti. Langkah-langkah ini boleh membantu mengawal pertambahan berat badan sepanjang tempoh rawatan.

Yang penting, jangan terlalu cepat menyalahkan diri sendiri. Berat badan naik bukan semestinya berpunca daripada makan berlebihan. Kadangkala, tubuh sedang memberi isyarat bahawa terdapat kesan sampingan ubat atau perubahan kesihatan yang memerlukan penilaian lanjut daripada pakar.

Sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai ubat yang sedang diambil, dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum membuat sebarang perubahan terhadap rawatan. Pengambilan ubat yang betul serta pemantauan berkala adalah penting bagi memastikan rawatan kekal selamat dan berkesan.

BACA LAGI : Tinggalkan TOXIC CIRCLE, Ustazah Raudhatul Jannah Bagi Panduan Taubat Yang Mudah!

Sumber: TikTok Dr Umar Izudin

Related Post
Published by
Nana