Sedihnya, 3 Beradik Mangsa Tragedi Anak Saudara Pelakon Terkenal. Juga saksikan Video Tribute Rizalman Cukup Menyentuh Hati

Share

Masih lagi kita turut merasai kesedihan keluarga mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah yang kehilangan anak-anak tercinta. Walaupun tahu tempat mereka cukup indah dan mulia di sisi Allah, namun perit kehilangan itu sukar dikikis daripada perasaan kita sebagai insan biasa.

Dalam lebih 20 mangsa kebakaran berkenaan, rupa-rupanya ada di antaranya adalah anak kepada kenalan kita juga. Atau mereka yang pernah ada pengalaman menghantar anak di situ sebelum ini. Kehilangan mereka ini pastinya meninggalkan kesan cukup mendalam.

Antaranya adalah anak saudara kepada pelakon popular era 90-an, Mas Anizan sendiri. Tiga adik beradik yang meninggal dunia semalam merupakan anak kepada adiknya yang tinggal di Bangi.

Tiga pelajar berkenaan adalah Muhammad Syafiq Haikal, Muhammad Hafiz Iskandar dan Muhammad Haris Ikhwan. Berita kehilangan ini dikongsi sendiri oleh Mas Anizan menerusi insta storynya dan IG milik anaknya. Malah Mas Anizan juga turut meluahkan rasa sedih atas pemergian tiga anak syurga ini.

Menurut laporan akhbar, ketiga-tiganya yang sudah kehilangan bapa telah ditempatkan belajar di Darul Quran Ittifaqiyyah bermula Januari lalu.

Sementara itu seorang lagi selebriti yang cukup terkesan dengan pemergian para pelajar ini adalah pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim.

Beliau meluahkan kesedihannya di laman instagram miliknya yang mendapat respon daripada netizen. Rata-rata turut menitipkan rasa simpati dan doa Al-Fatihah buat anak-anak syurga ini.

Menurut Rizalman, pusat tahfiz ini merupakan tempat belajar anaknya Umar Nail sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS). Anak-anak tahfiz ini juga telah menjadi sahabat baik Umar, malah beliau sendiri sering mengundang pelajar sekolah berkenaan untuk ke majlis yang dilakukan sama ada di rumah atau pejabat.

Beliau memang cukup terkesan dengan berita itu kerana mereka juga telah menjadi anak angkatnya selama ini. Rizalman turut menzahirkan simpatinya dan memberi semangat kepada ibu bapa anak-anak syurga ini kerana Allah telah memilih mereka untuk menjadi tetamu syurga.

Bagi mengenang pemergian insan yang dikasihinya itu juga, Rizalman telah menyiapkan satu kupasan Video Tribute memperlihatkan bagaimana rindunya pada mereka yang telah pergi menemui Illahi.

Artikel Berkaitan: Sayu Isi Kandungan Surat Terakhir Mangsa Kepada Keluarganya

Keakraban hubungan mereka memang cukup erat kerana Rizalman juga pernah mengambil lokasi madrasah sebelum itu bersama penghuninya untuk berlakon bersama beliau dan Umar dalam cereka pendek bertajuk Pulang.

Video Tribute yang dimuat turun 14 jam lalu telah mendapat respon cukup baik dan ditonton oleh 256, 845  pengikutnya di laman instagram.

SUMBER: MEDIA HIBURAN, VANILLA KISMIS

KREDIT: INSTAGRAM RIZALMAN IBRAHIM

 

IKLAN