Setiap hijabi tentu mengimpikan satu almari tudung yang dipenuhi dengan warna serta corak yang berbeza. Tentu tiada lagi masalah untuk memilih tudung yang sesuai mengikut tona serta rekaan baju.
Namun dalam pelbagai warna yang ada, tudung hitam wajib ada di dalam almari anda. Rona hitam boleh menjadi penyelamat saat anda bingung memikirkan warna tudung yang sesuai untuk digayakan.
Ini sebabnya kenapa hijabi perlu ada tudung hitam.
Ads
BERSIFAT UNIVERSAL
Percayalah tudung hitam matching dengan semua warna baju dan pakaian yang sedia ada. Warna hitam dikatakan sesuai digayakan dengan pelbagai warna baju.
SAFE & SECURE
Warna yang selamat kerana dapat menutup bahagian tertentu terutamanya di bahagian dada dan pinggul. Justeru, mereka tidak akan diganggu oleh lelaki .
Ads
HAJI DAN UMRAH
Menjadi pilihan hijabi untuk menunaikan ibadah Umrah dan Haji, sesuai dengan budaya dan keadaan disana.
Ads
TIDAK NAMPAK KOTOR
Jika ada pun, tak nampak sangat. Ini salah satu sebab tudung menjadi pilihan terutama bagi hijabi yang suka bersukan, mudah nak basuh tanpa perlu sental lama-lama.
NAMPAK PROFESSIONAL
Sangat sesuai untuk para hijabi yang berada dalam sektor professional, eksekutif dan korporat. Ia menunjukkan seseorang itu kelihatan berkaliber.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Baru berusia 20 tahun, empunya nama Aisyah Hijanah Azhari ini sememangnya seorang yang gigih berusaha dan bijak menguruskan masanya sebagai seorang pelajar, isteri, ahli perniagaan dan juga duta kepada beberapa jenama pakaian. Jika anda suka melihat video dakwah di laman sosial Instagram, akaun @aisyahhijanah pasti menjadi antara pilihan.
Ketika ditanya bagaimana dia menggalas segala tanggungjawab itu pada usia yang masih muda, Aisyah mengakui ia bukanlah suatu perkara yang mudah.
“Sebenarnya sangat susah untuk seimbangkan segalanya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya akan selalu mengekpresikan perasaan di hadapan cermin. Apabila saya penat, saya akan cakap pada diri, ‘Aisyah, kau yang pilih jalan ini jadi you have to be strong in anything that you choose’.
“Jika Allah takdirkan jalan ini, maka ini adalah yang terbaik. Selalu kena bersyukur sebab banyak lagi insan kekurangan yang mahu berada di tempat kita. Saya akan bagi semangat pada diri sendiri sebab bila Tuhan sudah memilih kita, so you have to be the best! “ ujar anak sulung daripada dua beradik ini memulakan perbualan.
Walaupun masih muda, pembawaan dirinya yang matang membuatkan ramai yang tidak menyangka usia sebenarnya. Aisyah ternyata ada kisah tersendiri yang menarik untuk dikongsikan bersama.
“Sebenarnya, ayah saya meninggal sewaktu saya masih kecil lagi. Ibu saya pula menghidap kanser tiroid sewaktu zaman belajarnya di luar negara. Jadi apabila dia melakukan pembedahan di sini, doktor secara tidak sengaja terputuskan urat suara ibu.
“Semenjak daripada itulah saya yang menjadi ‘suara’ buat ibu memandangkan dia sudah tidak boleh bercakap. Kami duduk menumpang di rumah nenek dan tiada kenderaan untuk bergerak dan hanya menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk ke mana sahaja,” ujar cinta hati kepada Alif Teega ini.
Petah berbicara, jelas Aisyah dia sememangnya suka melihat dan meniru aksi ustazah yang memberi ceramah di kaca televisyen sejak dari kecil lagi. Malah dia juga akan mengambil sejadah dan Al-Quran kemudian melakonkan semula di hadapan cermin di rumahnya.
Sememangnya bukan mudah menjadi terkenal kerana mudah terpalit kecaman orang ramai terutama sekali pengguna media sosial. Pernah rasa tertekan apabila video yang dimuat naik di laman Instagram disalah tafsir oleh netizen, namun Aisyah cepat bangkit daripada kesedihannya.
“Apabila dikecam, ia sangat susah kerana mereka di luar sana tidak tahu hal yang sebenar. Saya pernah juga menangis, rasa menyesal hingga mahu menutup akaun medial sosial. Tetapi disebabkan belajar dalam bidang psikologi, ia membuatkan saya mudah untuk memahami perangai masyarakat dan keadaan sekeliling. Mereka mungkin tiada niat sebegitu untuk mengecam saya.
“Saya juga akan memikirkan dari sudut sebagai seorang usahwan yang mana kita tidak perlu melayan perkara yang tidak penting dan hanya tertumpu pada matlamat dan anggap mereka memberi pemasaran percuma pada kita.
“Seterusnya, saya akan fikirkan daripada sudut sebagai seorang manusia biasa. Tidak mengapalah, mungkin ini ujian daripada Tuhan. Mungkin Allah mahu diri kita ini ubah sesuatu dan sentiasa ingat padaNya dan kerana itulah Dia datangkan kesedihan ini,” jelas pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.
Menggemari fesyen yang ringkas, manis dan yang pastinya mengikut syariah, Aisyah menjelaskan sasarannya dalam berdakwah adalah golongan remaja.
“Mungkin dengan karakter saya yang sememangnya hyper dan swag begini memudahkan golongan remaja untuk mengikuti dakwah yang ingin disampaikan. Saya mahu mereka berasa selesa dan tidak merasakan ianya sesuatu yang berat untuk diterima.
“Sebenarnya, saya menyasarkan untuk memperbaiki diri sendiri apabila membuat video dakwah di Instagram. Tidak pernah terniat langsung untuk mengecam sesiapa. Itu adalah cara untuk saya memberi semangat pada diri sendiri bagi mengubah diri ke arah kebaikan,” tambahnya lagi.
Bergelar isteri pada usia yang muda iaitu 19 tahun, Aisyah mengakui ianya tidak mudah namun segalanya akan jadi senang jika kita sandarkan sepenuhnya harapan pada Yang Maha Esa.
“Saya berkahwin awal di atas permintaan ibu. Sebenarnya cita-cita saya mahu menjadi doktor seperti arwah ayah. Namun, saya percaya apabila kita mengikut permintaan ibu, pasti Tuhan akan memberi yang lebih baik seperti yang terkandung dalam Surah An-Nur ayat 32.
“Kadang kala ada juga perasaan ingin berseronok dengan teman-teman tetapi alhamdulillah, saya dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan tetap memberi keizinan untuk saya meluangkan masa bersama rakan-rakan. Percayalah, aturanNya itu yang terbaik apabila kita redha dengan ketentuan Ilahi,” jelasnya mengakhiri bicara.
Foto : Nana Azman Solekan: Fatin Kamalia Busana: Minima Lace, Seksyen 7 Shah Alam
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Elly Mazlein tolak tawaran RM500,000 demi hijab, prinsip hidup lebih utama daripada wang. Satu keputusan besar yang membuktikan bahawa hijrah bukan sekadar perubahan penampilan, tetapi melibatkan kekuatan iman dan pendirian diri. Bagi penyanyi dan pengacara popular ini, hijab adalah maruah serta janji kepada Allah SWT yang tidak boleh digadai walau dengan jumlah wang yang lumayan.
Mesra disapa Kak Lina, Elly Mazlein percaya setiap rezeki sudah ditentukan. Keberanian untuk berkata tidak demi nilai diri akhirnya membuka pintu rezeki lain yang lebih bermakna dan diberkati, sekali gus menguatkan keyakinannya terhadap prinsip hidup yang dipegang.
Menurut Elly Mazlein, tawaran bernilai setengah juta ringgit itu hadir ketika dirinya baru sahaja mengambil keputusan untuk berhijab. Namun, tawaran tersebut disertakan dengan syarat yang jelas bertentangan dengan prinsip hidupnya sebagai wanita Muslimah.
“Tawaran datang ketika diri baharu berhijab dan ia bersyarat yang mana saya perlu membuka tudung. Setengah juta itu satu amaun yang besar. Takkanlah kita tak nak, tapi kena ingat ada banyak lagi rezeki untuk Kak Lina,” kongsinya jujur.
Bagi Elly Mazlein, walaupun jumlah itu mampu mengubah banyak perkara, ia tetap tidak setimpal dengan pengorbanan prinsip hidup yang telah dipilih dengan penuh kesedaran dan keikhlasan.
Elly menegaskan, keputusan untuk berhijab bukan dibuat sehari dua, sebaliknya melalui proses muhasabah diri dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Takkanlah kita nak gadaikan prinsip hidup kita demi wang. Apabila membuat keputusan untuk berhijab, kalau tawaran lumayan sekalipun pada saya tidak mengapa untuk ditolak kerana insya-Allah akan ada rezeki yang lain,” katanya.
Tambah Elly Mazlein, apa yang ingin disampaikan adalah mesej penting buat masyarakat dan industri bahawa wanita berhijab juga wajar diberi kepercayaan serta peluang yang sama tanpa prejudis.
“Tidak salah rasanya jika duta memakai tudung. Apa pun, Alhamdulillah sentiasa ada rezeki untuk saya. Saya kekal dengan prinsip saya untuk kekal berhijab,” jelasnya penuh yakin.
Menariknya, selepas menolak tawaran tersebut, rezeki Elly Mazlein semakin dipermudahkan. Ditemui di pertunjukan fesyen Ariani Lebaran 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi meluahkan rasa syukur apabila kini bergandingan bersama jenama tersebut sebagai duta.
“Tahun lepas saya bersama Jakel tetapi tahun ini 2026 saya menerima tawaran Jakel dan Ariani. Rezeki sentiasa ada, saya sangat berterima kasih. Alhamdulillah. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik,” kongsinya.
Beliau turut mendedahkan selepas itu menerima beberapa tawaran lain daripada jenama berbeza, sekali gus menguatkan keyakinannya bahawa rezeki tidak pernah salah alamat buat mereka yang berpegang teguh pada prinsip hidup.
Dalam perkembangan lain, Elly Mazlein yang bakal muncul dalam program Sembang Sahur di TV3 menyifatkan penglibatannya sebagai satu ‘comeback’ yang bermakna. Pada usia 46 tahun, beliau mengakui kekal relevan hampir tiga dekad dalam industri seni bukan sesuatu yang mudah.
Menurutnya, sikap terlalu selesa dan berkira dalam bekerja adalah antara perkara yang perlu dielakkan jika mahu terus bertahan dan dihargai dalam industri.
“Untuk kekal dalam satu pekerjaan, apabila mendapat tawaran buat sehabis baik. Contohnya untuk buat kandungan, saya akan tekankan produktiviti dan sediakan semuanya. Dari situ orang akan nampak kesungguhan,” jelasnya.
Bagi Elly Mazlein, kunci utama kejayaan adalah bekerja dengan penuh keikhlasan dan tidak melakukan sesuatu secara sambil lewa.
“Tip pertama, kena kerja betul-betul dan jangan separuh jalan. Usaha buat yang terbaik,” katanya.
Kisah Elly Mazlein ini menjadi inspirasi buat wanita Muslimah bahawa menjaga hijab dan prinsip hidup tidak pernah menghalang rezeki, malah membuka ruang kepada keberkatan, ketenangan dan kejayaan yang lebih bermakna.
Setiap insan diuji Allah dengan dugaan yang tersendiri. Bagi gadis kecil molek yang berasal dari Kuala Lumpur, Era Masturah Ramlee, 22 tahun, keputusannya untuk mengenakan niqab pada usia muda sememangnya bukanlah mudah.
Ini kerana jarang sekali remaja seusianya memilih penampilan sebegitu. Walau bagaimanapun, gadis yang mesra disapa Era ini tidak gentar untuk mengambil langkah baru dalam hidupnya sejak tiga tahun lalu.
“Saya sudah mula mengenakan hijab sejak dari zaman tadika lagi dan mula berniqab sewaktu berada dalam semester dua di universiti sejak tiga tahun lepas. Saya memilih untuk berniqab kerana ianya merupakan sunnah isteri-isteri Nabi dan secara tidak langsung mendidik saya untuk menutup aurat dengan sempurna.
“Mengenai cabaran sepanjang berniqab, bagi saya ian ada cabarannya yang tersendiri contohnya apabila saya didiskriminasikan oleh sesetengah masyarakat. Namun, saya tetap positif kerana faham mungkin mereka tidak jelas dengan niat dan tujuan saya bagi mengenakan niqab ini,” ungkapnya memulakan perbualan.
Bagi dirinya, hijab adalah satu tuntutan agama, bukan tanda penindasan dan bukan juga satu trend. Namun begitu, harus diingat agar jangan terus menilai melalui luaran seseorang kerana ia tidak mencerminkan baik dan buruk seseorang individu itu.
Bercerita tentang perkembangan dirinya, Era berkongsi kisah menarik sepanjang bergelar pelajar dan dalam masa sama gemar mengambil gambar menarik. Jika dilihat dalam laman Instagram miliknya, setiap gambar di muat turun mempunyai cerita tersendiri dan menjadikan halaman berkenaan cukup menarik.
“Alhamdulillah, kini saya telah berjaya menamatkan pengajian Diploma dan bergelar siswazah dalam jurusan Rekaan Fesyen dari Management Science of University (MSU) Shah Alam. Lebih menggembirakan saya juga telah diberikan Anugerah Presiden daripada pihak universiti,” ujar hijabi yang senang memilih gaya kasual setiap kali berpenampilan.
Justeru tanpa menoleh ke belakang lagi, gadis manis yang berkaca mata ini kini terus melebarkan sayapnya dan kini telah bergelar usahawan berjaya.
Dia telah mengaplikasikan ilmu yang telah diperolehnya di universiti dengan melancarkan sendiri koleksi pakaian Ready To Eear di bawah syarikat Eralee Design Sendirian Berhad.
Selain itu, dia membuktikan bahawa tidak semestinya stail dan gaya penampilan seseorang hijabi itu menjadi terhad apabila berniqab. Seperti Era, dia mempunyai cita rasanya yang tersendiri, mengutamakan keselesaan pada tubuh dan yang paling penting sekali mengikut syariah.
“Warna-warna monochrome seperti hitam dan putih dengan silhouette oversized yang tidak menarik perhatian ramai menjadi pilihan saya. Stail saya juga banyak terinspirasi daripada seseorang yang saya kagumi dalam arena fesyen ini iaitu Yohji Yamamoto,” tambahnya yang juga begitu gemar melancong ini.
Telah menjelajah ke beberapa buah negara seperti Jepun dan Bangkok, Era merasakan cabaran mengembara ke tempat orang sebagai seorang yang berniqab ini tidaklah terlalu banyak cabarannya. Cuma menurut Era memang sudah menjadi lumrah apabila masyarakat luar memberikan pandangan yang pelik apabila melihat dirinya.
“Apa yang saya dapati, cabarannya tidaklah terlalu besar tetapi biasalah jika mereka asyik pandang-pandang disebabkan saya berniqab. Saya tidak kisah dengan semua itu kerana apa yang penting adalah kita menunjukkan akhlak yang baik dengan penduduk tempatan di sana.
“Kalau di Jepun memang agak sukar untuk mencari tempat solat. Kebiasaannya, saya hanya membawa lapik dan solat di mana-mana tempat yang bersih. Tambah mencabar lagi apabila tiada surau dan jika wuduk terbatal, memang sukar untuk menanggalkan pakaian yang berlapis-lapis lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Namun bagi saya, kesusahan inilah yang menjadikan kemanisan dalam pengalaman sebagai pengembara,” ujarnya dengan nada positif.
Era juga sempat menitipkan beberapa pesanan kepada sesiapa sahaja yang ingin melakukan perubahan positif dalam hidup tetapi takut untuk melakukannya.
“Teruskan berubah dan jangan termakan dengan apa orang kata kerana yakinlah hanya Allah sahaja yang Maha Kuasa dan mengatasi segala makhluk ciptaanNya. Beringatlah kepada Allah sentiasa dan kejarlah syurgaNya kerana segala di dunia ini bersifat sementara.
“Saya juga mengimpikan untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik di sisi Tuhan dan mengajak lebih ramai orang untuk mencintai Allah dan juga mecintai segala perkara kebaikan,” tambah Era sebelum mengakhiri bicara.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di