Telur adalah pilihan terbaik jika anda mahu tingkatkan tahap protein dalam badan. Bukan itu saja, putih telur memiliki manfaat bagi kecantikan dan kesihatan kulit. Maka, tidak hairan bahan yang murah ini diamalkan sebagai rutin kecantikan sejak zaman nenek moyang lagi.
Di dalam putih telur terdapat lima komponen iaitu enzim lysozyme, riboflavin, protein, kalium dan magnesium yang sangat baik untuk wajah kita. Putih telur mempunyai kandungan protein dan albumin yang tinggi menjadikan kulit lebih anjal, seterusnya lebihan minyak dalam pori akan diserap.
Protein yang terkandung di dalam putih telur boleh membantu pertumbuhan sel kulit yang baru. Jadi, wajah berupaya kelihatan lebih bersih, cerah selain memudarkan kedutan dan garis halus. Kalium yang terkandung dalam putih telur pula mampu melembapkan kulit wajah jika digunakan secara rutin untuk merawat kulit.
Bahagian yang sering digunakan sebagai rejim kecantikan adalah putih telur. Beberapa kelebihan masker putih telur ialah untuk mencegah gejala awal penuaan, mengatasi pengeluaran minyak berlebihan, mengecilkan pori-pori wajah, mengatasi masalah lingkaran gelap di bawah mata dan mencegah jerawat.
Berikut dikongsikan manfaat masker putih telur untuk kecantikan kulit wajah. Bukan sahaja tiada kesan sampingan, kosnya juga agak murah. Boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja.
MENGHALANG GEJALA PENUAAN PRAMATANG
Kandungan protein yang tinggi dalam telur dapat membantu mengekalkan keanjalan dan tahap kolagen pada kulit wajah. Ia amat penting bagi mencegah kemunculan kedutan halus pada kulit wajah. Untuk mendapatkan hasil yang maksimum, gunakan masker putih telur setiap dua minggu.
MENGATASI PENGELUARAN MINYAK BERLEBIHAN PADA KULIT WAJAH
Masker putih telur juga sangat membantu mengatasi pengeluaran minyak berlebihan pada kulit wajah. Sekiranya anda mempunyai kulit berminyak, kotoran dan habuk akan melekat dengan mudah. Di samping itu, pengeluaran minyak yang berlebihan juga akan menjadi penyebab timbulnya jerawat dan masalah kulit yang lain.
Sekiranya anda rasa anda mempunyai jenis kulit berminyak, cuba gunakan masker putih telur. Caranya, bersihkan wajah anda dengan air suam, kemudian sapukan masker putih telur pada seluruh wajah (kecuali di sekitar mata dan bibir). Tunggu hingga kering dan bilas dengan air sejuk.
MENGECILKAN PORI PADA KULIT WAJAH
Pemakaian masker putih telur juga turut Manfaat topeng putih telur juga turut membantu mengecilkan pori-pori pada kulit wajah. Jenis kulit berminyak biasanya mempunyai liang kulit yang lebih besar daripada jenis kulit kering atau normal.
Caranya mjudah sahaja. Campurkan 1 sudu teh putih telur dengan jus lemon. Kemudian sapukan secara merata pada wajah atau juga di kawasan yang mempunyai liang pori yang besar. Tunggu sekitar 15 minit dan bilas dengan air suam.
MENGURANGKAN LINGKARAN GELAP DI BAWAH MATA
Lingkaran gelap di bawah mata berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti kurang tidur, terlalu lama menatap skrin gajet, usia, dehidrasi, genetik, pendedahan cahaya matahari, dan alahan. Untuk mengatasi masalah ini, cuba gunakan masker putih telur. Sapukan putih telur dengan berus kecil di kawasan sekitar mata. Kemudian tunggu sehingga kering dan bilas.
MERAWAT MASALAH JERAWAT
Bagi mereka yang mengalami masalah jerawat, anda boleh mencuba masker putih. Salah satu kelebihan masker putih telur adalah merawat dan mencegah jerawat muncul semula. Masker putih telur diketahui dapat membersihkan kulit dengan menghilangkan kekotoran pada kulit wajah.
Selain itu, kemampuan masker putih telur untuk menyerap lebihan minyak juga sangat diakui membantu masalah jerawat. Kandungan lisozim pada masker putih telur juga dipercayai dapat melawan bakteria penyebab jerawat.
MENYIHATKAN DAN MENCANTIKKAN KUKU
Kuku yang sihat dan cantik menjadikan penampilan seseorang wanita itu lebih berkarisma. Jika hanya kulit wajah sahaja yang cantik, bahagian kuku ‘berkerak’ tentunya ia akan menjejaskan penampilan seseorang individu. Caranya mudah sahaja. Campurkan putih telur dengan sedikit susu. Celupkan jari anda dan biarkan selama kira-kira 10 minit. Berrsihkan dengan air suam dan lap dengan air bersih. Amalkan seminggu 2-3 kali. Hasilnya kuku bukan sahaja semakin kuat tetapi cantik.
MENGHILANGKAN BULU HALUS PADA KULIT MUKA
Rerambut halus pada kulit wajah (bulu roma) tentu sahaja membuatkan anda rasa kurang selesa. Jika rerambut ini dicukur ia hanya akan menyebabkan rerambut baru yang tumbuh lebih kasar. Untuk menghilangkan rerambut halus pada bahagian wajah, anda boleh amalkan masker putih telur. Anda hanya perlu menyapukan masker putih telur pada bahagian yang mempunyai rerambut halus pada wajah. Selepas itu, tekapkan tisu di atas masker yang disapu tadi. Sapukan lagi masker putih telur di atas tisu tadi. Tisu akan membantu mengangkat rerambut halus pada kulit wajah anda secara maksimum.
MEMBUANG SEL-SEL KULIT MATI PADA KULIT WAJAH
Pemakaian masker putih telur dapat membantu menghilangkan sel-sel kulit mati. Dengan menggunakan masker putih telur secara rutin, sel-sel kulit mati boleh terangkat. Jika anda tidak mengalami sebarang masalah kulit wajah, cukup hanya pakai masker putih telur ini seminggu sekali.
HIJABISTA: Menggunakan masker putih telur secara konsisten dipercayai mampu menjadikan wajah lebih sihat dan muda. Walau bagaimanapun, penggunaan masker putih telur tidak digalakkan untuk seseorang yang mengalami alahan.
Sumber kredit: Top image: Photo by Sora Shimazaki from Pexels Photo by Polina Tankilevitch from Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI