
Berdepan kecaman segelintir netizen gara-gara penampilannya yang dikatakan menggayakan tudung semakin singkat, penyanyi Syasya Rizal tampil meluahkan rasa terkilan terhadap budaya menghukum yang semakin membimbangkan, khususnya terhadap wanita yang sedang belajar menutup aurat.
Syasya atau nama penuhnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, menjelaskan bahawa perjalanan untuk istiqamah menutup aurat bukan sesuatu yang mudah. Menurutnya, iman setiap manusia mempunyai pasang surut dan tidak seharusnya dijadikan bahan cercaan atau penghinaan secara terbuka di media sosial.
Dalam satu hantaran di TikTok, bekas anggota kumpulan Dolla itu meluahkan rasa hairan apabila wanita yang baru mula berhijab atau masih dalam proses hijrah mudah dilabel dengan pelbagai gelaran negatif.
“Saya paling tak faham bila orang tengok perempuan yang baru mula atau belajar nak pakai tudung, buat salah sikit orang terus label macam ‘baik tak perlu pakai tudung’ dan ‘memalukan agama’,” katanya.
Tambah Syasya, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk mengherdik atau memalukan orang lain, apatah lagi dalam isu ibadah dan aurat yang sangat peribadi. Bagi beliau, proses istiqamah menutup aurat seharusnya difahami sebagai satu perjalanan yang memerlukan empati.
Syasya turut menegaskan bahawa menutup aurat bukan satu perubahan yang berlaku dalam sekelip mata. Ia adalah proses yang memerlukan masa, keikhlasan dan kekuatan dalaman.
“Istiqamah adalah perkara yang sangat susah. Bukan hari ini pakai, esok terus sempurna. Iman pun naik turun, tak perlu cakap orang, saya sendiri pun sama,” jelasnya jujur.
Luahan ini nyata mencerminkan realiti ramai wanita Muslimah hari ini yang sedang berusaha memperbaiki diri. Dalam usaha mencapai istiqamah menutup aurat, sokongan persekitaran memainkan peranan penting berbanding kecaman yang melemahkan semangat.
Menurut Syasya, pendekatan menegur dengan bahasa yang lembut jauh lebih berkesan berbanding kata-kata kasar yang hanya akan menjauhkan seseorang daripada agama.
“Lebih manis kalau cakap ‘akak pakai tudung labuh sikit mesti lagi cantik’. Bunyi macam itu lebih menggalakkan,” katanya.
Tambahnya lagi, perkataan yang baik mampu mendekatkan hati, manakala bahasa yang kasar hanya akan membuatkan seseorang semakin jauh dan berputus asa untuk terus istiqamah menutup aurat.
Dalam masa sama, Syasya turut menyelar tindakan individu yang berselindung di sebalik akaun palsu semata-mata untuk mengkritik dan memalukan orang lain.
“Kenapa tak berani guna akaun sendiri? Sebab awak sendiri tahu awak pun tak sempurna dan masih belajar,” katanya tegas.
Bagi Syasya, sikap merendah diri dan tidak merasa diri lebih suci adalah asas penting dalam agama, terutama apabila berbicara soal istiqamah menutup aurat.
Mengakhiri luahannya, Syasya mengingatkan bahawa agama tidak seharusnya dijadikan medan pertandingan untuk menentukan siapa yang paling cepat berubah.
“Agama Islam bukan pertandingan. Yang penting kita usaha jadi lebih baik dari semalam. Semua orang ada perjalanan sendiri, yang penting jangan berhenti,” luahnya.
Sebelum ini, Syasya menerima kecaman selepas memuat naik video menyanyikan lagu Seperti Mati Lampu versi Korea di TikTok, apabila penampilannya yang menggayakan baju pendek dan tudung singkat menjadi perhatian netizen.
Namun satu perkara yang jelas, luahan Syasya ini membuka mata ramai bahawa istiqamah menutup aurat memerlukan masa, sokongan dan kasih sayang bukan kecaman.
BACA LAGI : Ubah Penampilan, Kecantikan Bekas Ahli Dolla, Syasya Rizal Makin Menyerlah Selepas Berhijab
Sumber : Kosmo