Derita Penyakit Misteri, Wanita Berat 200 Kg Meninggal Dunia

Share

Nur Izzati Afiqah Hussein, 29, yang sebelum ini menderita akibat berat badan naik mendadak sehingga mencecah 200 kilogram (kg) meninggal dunia malam tadi di Kampung Gaung, Tendong, Pasir Mas, Kelantan.

Sebelum ini Nur Izzati hanya terlantar di atas tilam dan seluruh kehidupannya diuruskan oleh ibu, Maheran Daud, 54, dan kakaknya, Nur Izzati Liyana, 31, serta tiga ibu saudaranya.

Nur Izzati mengalami keadaan itu dalam tempoh lima bulan ekoran penyakit misteri itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.50 malam.

Menurut ibu saudaranya, Zainab Hassan, 57, sebelum ‘pergi’ Nur Izzati mengalami pendarahan luar biasa.


“Mulanya, kami ingatkan dia datang haid tetapi berlaku dalam keadaan yang begitu banyak.

“Darah tersebut keluar pada jam 2 petang dalam keadaan berketul,” memetik laporan dari Sinar Harian.

Menurutnya, ketika itu Nur Izzati Afiqah masih boleh bercakap seperti biasa dan kemudian beransur-ansur menjadi lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, dia dan seluruh ahli keluarga reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang yang baik.


“Selain ibunya, saya adalah orang yang cukup rapat dengan arwah kerana setiap hari mengurus dan menjaganya sepanjang dia sakit,” katanya.

Zainab berkata, jenazah arwah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung. Tambahnya, keluarga terpaksa mendapatkan kerjasama Bomba dan Penyelamat Balai Pasir Mas bagi membantu urusan pengebumian kerana keadaan fizikal arwah.

Kehidupan bekas tenaga pengajar kontrak di Pusat Pembangunan Kemahiran Melaka ini mula berubah sepenuhnya apabila berat badannya naik mendadak secara ‘misteri’ apabila mencecah sehingga 200 kg dalam masa tiga bulan.

Sebelum ini adik bongsu Nur Izzati, Muhammad Khairul Akram, mengalami masalah sama dan meninggal dunia empat bulan lalu pada usia 25 tahun.

Al-Fatihah buat Allahyarham Nur Izzati Afiqah Hussein dan salam takziah buat seluruh keluarga arwah.

Sumber: Sinar Harian

 

IKLAN