Kulit memerlukan sumber vitamin, pelindung dan pelembap untuk kekal sihat. Tidak semua losen sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kulit kering.

Andai tersilap langkah, kesannya mungkin lebih buruk termasuk gatal, berminyak dan sebagainya.

Berikut beberapa panduan untuk memilih losen tubuh yang tepat untuk kulit:

1. Kenali kulit anda

Penggunaan losen bagi kulit berminyak, normal dan kering biasanya memberi kesan berbeza. Untuk mengenal jenis kulit, lihat situasi anda ketika di tempat sejuk, panas dan pada suhu bilik. Sekiranya kulit mudah berasa gatal di ruang berhawa dingin, kemungkinan besar anda memiliki kulit kering. Cuba garu bahagian kulit anda yang biasanya terlindung dengan pakaian. Jika nampak garis putih dan agak bersisik, anda sememangnya memerlukan losyen untuk melembapkan kulit!

2. Kulit kering

Jenis kulit ini biasanya bermasalah ketika musim hujan, bekerja dalam ruang berhawa dingin atau mengunjungi negara sejuk. Dalam situasi ini, amalkan penggunaan losen yang kaya dengan pelembap, mengandungi gliserin, minyak tumbuhan, asid alfa hidroksi dan lanolin.

3. Kulit normal

IKLAN

Selalunya jenis kulit ini kerap diabaikan kerana dianggap normal dan sihat. Bagaimanapun, sebenarnya kulit masih perlu dibelai dengan mandian dan losen bersesuaian. Pilih losen yang lembut dan ringan untuk kesan sempurna.

4. Kulit berminyak

Mungkin ramai berfikir kulit ini langsung tidak memerlukan losen. Hakikatnya, kulit berminyak memerlukan pelembap ringan yang bebas daripada sebarang kandungan minyak.

5. Kulit terbakar

Pilih losen berasaskan aloe vera sekiranya kulit anda terbakar atau terdedah lama di bawah sinaran mentari. Kesan menyejuknya bukan saja mengurangkan rasa pedih dan menenangkan, malah berupaya memberi kelembapan berpanjangan.

IKLAN

6. Baca label

Usah terpedaya dengan rupa botol dan bau losen yang harum. Ingat, setiap produk mengandungi bahan dan manfaat berbeza untuk kelompok berbeza. Membaca kandungan losen boleh membantu anda menghindar banyak risiko buruk termasuk kandungan bahan tidak sah dan kesan alahan. Ia juga membantu anda membeli losen tepat yang bersesuaian dengan keperluan dan jenis kulit.

7. Antioksidan

Losen mengandungi antioksidan sangat bagus untuk kulit. Ia bukan saja membantu pertumbuhan sel kulit baru, malah melindungi kulit daripada rasa kering dan kusam. Ia boleh ditemui dalam produk mengandungi vitamin C, ekstrak teh hijau dan delima.

IKLAN

6. Bahan pewarna

Jauhi produk yang mengandungi pewarna buatan. Kemungkinan besar bahan pewarna ini boleh mencetuskan kesan alahan pada kulit.

7. Uji kesesuaian

Sekiranya anda memiliki kulit sensitif, jangan gelojoh menyapu losen ke seluruh tubuh sebaliknya uji dulu di bahagian tubuh yang kurang berisiko. Jika timbul kesan iritasi, gatal, kulit merah dan bintik ruam, itu bermakna losen berkenaan tidak sesuai dengan kulit anda.

8. Hipoalergenik

Losen ini tidak menimbulkan alahan dan biasanya khusus untuk mereka yang berkulit sensitif. Berbanding dulu, losen jenis ini lebih mudah dijumpai di pasaran. Baca label dan uji dahulu sebelum menyapu pada tubuh.

Sumber: Harian Metro

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI