Bilqis Abdul-Qaadir, Muslimah Pertama Perjuangkan Hijab Dalam Sukan ‘Basketball’!

Share

Bilqis Abdul-Qaadir adalah pelopor dalam dunia pendidikan Islam dan hak wanita. Namanya disegani dan menjadi sejarah kerana dia merupakan wanita Islam pertama yang bermain bola keranjang NCAA (National Collegiate Athletic Association).

Bilqis Abdul-Qaadir merupakan seorang Hijabi Amerika yang sentiasa mempunyai impian besar untuk bermain bola keranjang profesional. Dia telah menunjukkan beberapa persembahan ‘cemerlang’ sepanjang kerjayanya, serta sering menjadi tajuk utama di seluruh dunia kerana keazamannya dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap agama Islam.

Artikel Berkaitan: Gadis Berhijab Negara Menang Tempat Kedua Miss Culture World International 2022

Melakar Sejarah di NCAA (National Collegiate Athletic Association)

Menjadi wanita Islam pertama yang berhijab untuk bermain bola keranjang dalam sejarah NCAA adalah peluang yang baik untuk Bilqis mewakili Islam di pentas besar. Namun, Bilqis akui terbeban apabila menjadi ‘spotlight’ dan sorotan ramai. Dia akui bukan mudah untuk memecahkan persepsi masyarakat terhadap wanita berkulit hitam dan beragama Islam.

Dia mendedahkan bahawa menjadi ‘minoriti’ adalah perjalanan yang sangat sukar sukar. Ada ketikanya Bilqis terpaksa meminjam bilik persalinan pasukan lain untuk beribadat. Pun begitu, Bilqis mengakui berbangga dengan keimanan dan pegangannya.

“Menjadi satu-satunya orang Islam adalah sukar. Kami solat lima kali sehari, dan kadang-kadang saya perlu solat semasa latihan atau semasa perlawanan. Ada ketikanya saya terpaksa meminta izin untuk menggunakan bilik persalinan pasukan lain untuk solat. Tetapi saya semakin berbangga dengan iman saya dari semasa ke semasa.” katanya melalui Insider.

Bukan itu sahaja, dia telah diiktiraf sendiri oleh bekas Presiden Barack Obama sebagai ‘inspirasi’ dan dijemput ke Rumah Putih pada 2009. Bahkan, dia merupakan salah seorang daripada 14 orang Muslim Amerika yang dijemput ke ‘percubaan tertutup’ dengan Presiden Obama pada 2015.  

Pertahankan hak untuk memakai hijab

Pada 2013, Bilqis menghadapi cabaran terbesar dalam kerjayanya ketika dia bersedia untuk bermain di Eropah. Pemakaian hijabnya dikatakan melanggar peraturan Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa yang melarang penggunaan penutup kepala tertentu. Oleh itu, dia tidak dapat bermain secara profesional. Pada waktu itu, dia hampir menyerah dan berputus asa.

Bilqis mengambil masa empat tahun dan berjuang untuk menentang undang-undang tersebut sebelum Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa( FIBA) akhirnya meluluskan peraturan baharu yang membenarkan pemain memakai penutup kepala pada 2017. 


Peraturan baru tersebut telah berjaya membuka mata ramai. Bukan itu sahaja, peraturan tersebut turut diguna pakai bukan sahaja kepada wanita Islam, tetapi juga kepada lelaki Sikh yang memakai serban dan lelaki Yahudi yang memakai ‘kippah’. 

Tambahan itu, hasil perjuangannya, dia turut memenangi anugerah ‘Freedom from Fear (Bebas dari Ketakutan)’ di Kongres Dunia UNI di Liverpool kerana menjadi wanita pertama memakai tudung dalam sejarah NCAA serta berani menentang peraturan FIBA . 

“Mengetepikan impian bermain secara profesional adalah satu pengorbanan. Dalam kes saya, kadangkala anda boleh melepaskan sesuatu yang anda suka sebagai pertukaran untuk sesuatu yang lebih baik. Sekarang saya melihat buah pengorbanan saya.”’

Sepanjang kerjayanya, dia telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Pemain Gatorade Massachusetts 2009, Western Massachusetts Player of the Year, C-USA Academic Medalist 2010 dan pelbagai anugerah lain.

Kisah perjuangan Bilqis turut difilemkan dalam sebuah dokumentari yang bertajuk ‘Life Without Basketball’ yang diiarahkan oleh Tim O’Donnell dan John Mercer pada tahun 2018.

Menggalakkan orang ramai memakai hijab

Hijabista sempat menjengah ke Instagram Bilqis dan mendapati dia masih meneruskan perjuangannya dan menggalakkan orang ramai untuk memakai hijab sempena World Hijab Day. Dia tidak lupa untuk memuji kecantikan dan usaha orang ramai dalam pemakaian hijab.

Bilqis kini merupakan pengarah sukan masjid London dan merupakan pengasas bersama Dribling Down Barriers, sebuah program latihan yang menggalakkan kepelbagaian dalam bola keranjang. Bilqis kekal komited terhadap kepelbagaian dan penyertaan dalam sukan dan sedang giat berusaha untuk meningkatkan akses kepada sukan untuk gadis dan wanita Islam. 

Artikel Berkaitan: Khadija Omar, Wanita Berhijab Pertama Tampil Di Pentas Miss World

Dia juga merupakan seorang penceramah motivasi yang menggalakkan gadis dan wanita muda untuk mengejar impian mereka serta menjadi berani mengatasi pelbagai halangan dalam bidang yang diceburi. MasyaAllah, kisah perjuangannya wajar dipuji dan semestinya Bilqis Abdul-Qaadir merupakan pencetus inspirasi buat muslimah!

Sumber: Insider dan Instagram Bilqis

+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

IKLAN