Mungkin ada yang kata susah nak jaga rambut bila berhijab. Sebenarnya berhijab bukanlah satu alasan untuk anda mengabaikan penjagaan dan kecantikan rambut. Tanpa penjagaan yang sempurna, rambut akan mudah rosak, kering, rapuh dan berkelemumur kerana ia bertutup dalam tempoh yang lama.

Jika para hijabi tidak mahu berdepan dengan pelbagai masalah, ikuti beberapa tip ini agar rambut anda kekal sihat dan cantik walaupun berhijab sepanjang hari.

1. PILIH TUDUNG YANG DAPAT MENYERAP PELUH
Menutup rambut dalam tempoh yang lama boleh membuatkan rambut anda mudah berpeluh. Peluh yang berlebihan jika tidak dikawal boleh mendatangkan masalah pada rambut seperti kelemumur, bau yang kurang menyenangkan, mudah rapuh, lembap dan sebagainya. Bijaklah memilih jenis fabrik yang lembut dan ringan seperti sifon. Jangan memilih kain tudung daripada fabrik kapas kerana ia mudah memerangkap haba dan membuatkan kulit kepala cepat berpeluh.

2. JANGAN CUCI RAMBUT SETIAP HARI
Walaupun rambut anda tertutup setiap hari, anda tidak perlu mencuci rambut setiap hari. Memadai dengan mencuci rambut setiap dua atau tiga hari sekali, sekurang-kurangnya tiga jam sebelum anda memakai tudung. Biarkan rambut anda betul-betul kering sebelum anda ingin memakai tudung

3. Jangan SIKAT RAMBUT TERLALU KUAT
Bagi anda yang miliki rambut panjang tentu sahaja anda akan mengikat rambut ketika memakai tudung. Bagi mengelakkan rambut anda mudah rosak dan cepat parah, jangan ikat rambut terlalu kuat ketika memakai tudung. Biarkan ikatan tersebut sedikit.

IKLAN

 

4. JANGAN PAKAI TUDUNG KETIKA RAMBUT BASAH
Rambut yang basah saat memakai tudung akan menyebabkan rambut berbau, rosak, kelemumur dan tidak sihat. Sebaiknya biarkan rambut anda kering terlebih dahulu sebelum anda memakai tudung. Jika anda ingin menyarung tudung dalam keadaan tergesa-gesa sedangkan rambut anda masih belum cukup kering secara semula jadi, anda boleh menggunakan pengering rambut sebagai alternatif untuk mempercepatkan rambut kering.

IKLAN

5. PILIH SYAMPU YANG SESUAI DENGAN RAMBUT
Pastikan anda menggunakan jenis syampu yang bersesuaian dengan rambut dan kulit kepala. Elakkan daripada menggunakan syampu yang mengandungi banyak bahan kimia agar ia tidak mendatangkan kesan buruk kepada penjagaan rambut anda. Malah ketika proses membasuh rambut, anda juga digalakkan melakukan urut pada kulit kepala secara teratur.

6. SIKAT RAMBUT SEBELUM DAN SELEPAS MEMAKAI TUDUNG
Wanita berhijab sering mengabaikan kepentingan menyikat rambut sama ada sebelum atau selepas memakai tudung atas alasan tiada siapa yang akan nampak rambut anda. Sebenarnya tanggapan anda itu sama sekali salah. Amalan menyikat rambut ini sangat penting bagi memastikan rambut anda kekal sihat dan cantik walaupun bertudung. Gunakan sikat yang bergigi jarang untuk mengurangkan risiko rambut kusut dan akhirnya rosak akibat terlalu sukar untuk disikat.

IKLAN

7. AMBIL MAKANAN YANG BERNUTRISI
Tidak kira orang yang bertudung ataupun tidak, pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat penting untuk memastikan kesihatan dan kecantikan rambut terpelihara. Anda digalakkan mengambil makanan yang kaya dengan vitamin E, vitamin B12, vitamin B6, protein dan vitamin C. Sumber vitamin ini boleh anda peroleh daripada buah-buahan, sayuran hijau dan kekacang.

8. REHATKAN RAMBUT SEKETIKA SEBELUM MANDI
Sebaik anda membuka tudung, bukakan ikatan pada rambut dan biarkan dahulu kulit kepala anda bernafas. Rehatkan seketika dalam tempoh setengah jam sehingga peluh pada tubuh dan kulit kepala benar-benar kering. Ia bertujuan untuk memberi aliran udara pada kulit kepala sebelum anda ingin mandi.

9. ATASI MASALAH RAMBUT SECEPAT MUNGKIN
Jika anda berdepan dengan masalah rambut, jangan biarkan masalah tersebut berlarutan. Pastikan sebulan sekali anda periksa rambut bagi memastikan rambut anda bebas daripada pelbagai masalah seperti rambut bercabang, rosak dan sebagainya. Dapatkan rawatan di salun ataupun gunakan produk rambut yang bersesuaian.

10. GUNAKAN BAHAN SEMULA JADI
Untuk menyihatkan dan menyuburkan rambut, anda juga boleh menggunakan banyak bahan semula jadi yang mudah didapati serta murah antaranya lidah buaya, bunga raya, tomato, minyak zaitun, santan dan sebagainya. Gel lidah buaya misalnya berkhasiat dan sesuai dijadikan masker untuk merawat rambut dan kulit kepala.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI