Kalau selama ini kita makan beras putih, bermula hari ini bertukarlah kepada beras parboil atau dikenali seagai beras rebus. Ini kerana beras parboil lebih sihat! Dapatlah anda mengawal berat badan walaupun makan nasi tapi dalam masa yang sama dapat mengawal berat badan.

Berikut perkongsian Hafizah Ramos.

Sudah lama kawan-kawan tanya saya soalan ni. Alhamdulillah baru sempat nak buat research sikit dan mengarang untuk rujukan saya dan semua. Korang pernah dengar tak beras parboil?

APA BEZA BERAS PARBOIL DAN BERAS BIASA?

Dalam proses pembikinan beras parboil, beras diproses dengan cara yang berbeza daripada beras biasa. Proses beras biasa ialah; buang kulit beras, basuh, kemudian polish menjadi berkilat. Proses parboil pula:

1. Beras yang masih dengan kulit direndam air suam (60-70 degrees) selama 2-3 jam. Ini membolehkan kulit beras menjadi lembut sedikit.

2) Selepas direndam, beras akan distim pada suhu 100 degree selama 30 minit sehingga separa masak (tidak sampai menjadi nasi). Proses ini akan membolehkan kulit beras mudah tanggal.

3) Beras yang sudah separuh masak akan dikeringkan, dan dibuang kulitnya. Kemudian akan di polish menjadi beras parboil.

BILA DAN MENGAPA PROSES PARBOIL BERMULA?

Proses parboil beras adalah amalan sejak ratusan mungkin ribuan tahun di negara seperti Afrika dan India. Proses ini adalah untuk memudahkan orang kampung membuang kulit beras daripada beras dengan melembutkan dulu kulit beras dengan rendaman air panas.

IKLAN

Selain itu, beras yang distim separuh masak ini, selepas dikeringkan dan disejukkan, akan menjadi lebih keras berbanding beras biasa. Ini memudahkan orang kampung membuang hampas padi tanpa menghancurkan beras semasa proses buang kulit. Ini akan meningkatkan kualiti beras.

BAGAIMANA PROSES PARBOIL BOLEH MENYEBABKAN NASI BERKHASIAT?

Disamping memudahkan proses menghasilkan beras, nampaknya parboil boleh menyebabkan beras lebih berkhasiat daripada beras biasa. Antara sebabnya:

1) Semasa proses rendaman, khasiat seperti vitamin dan mineral yang tersimpan di kulit beras akan meresap kedalam kanji. Oleh itu, walaupun kulit dibuang, beras yang hanya tinggal kanji masih mempunyai sisa khasiat yang terserap semasa proses rendaman. Oleh itu beras parboil lebih tinggi vitamin dan mineral berbanding beras biasa. Rendaman ini juga menyebabkan warna beras parboil kurang putih.

2) Semasa proses stim, haba yang sangat tinggi dalam masa yang singkat akan menyebabkan sebahagian kanji bergabung dengan lipid (sejenis lemak di dalam beras) menjadi ‘type 5 starch resistance’ (Type 5 RS). Type 5 RS adalah sejenis kanji yang sukar dicerna oleh badan menjadi gula. Ini akan menyebabkan glisemiks indeks (GI) beras menjadi lebih rendah (lambat menaikkan gula di dalam badan selepas dimakan). Oleh itu, beras ini lebih lama kenyang dan bagus untuk pesakit kencing manis.

IKLAN

3. Semasa pengeringan sebelum kulit beras dibuang, beras akan menyejuk dan ini akan menyebabkan reaksi retrogradasi; kanji akan mengalami proses kristalisasi. Proses ini akan menguatkan bonding kanji-kanji di dalam beras. Bonding kanji yang kuat di dalam nasi akan melambatkan proses pencernaan nasi di dalam badan. Dalam kata lain, ia akan menyebabkan beras parboil rendah GI. Bonding kanji yang kuat juga menyebabkan nasi kurang melekit selepas dimasak kerana kanji tersebut sudah kurang menyerap air.

ADAKAH BERAS PARBOIL KURANG KALORI?

Proses parboil menyebabkan kanji di dalam beras lebih susah dicerna sekaligus merendahkan GI. Tetapi kanji (karbohidrat) tersebut tidaklah banyak yang terbuang semasa diproses. Oleh itu, jumlah karbohidrat antara nasi biasa dan nasi parboil tidak banyak yang berbeza. Maka, kalori pun tidaklah banyak beza. Jadi jangan alasan nak makan nasi segantang sebab iOlls pAkAi parBoylezZ riCe.

SEBENARNYA KITA BOLEH MEMBUAT BERAS PARBOIL VERSI SENDIRI DARIPADA BERAS BIASA: 

1. Ukur beras biasa dan air macam korang selalu ukur
2. Masak atas api, apabila sudah mendidih, biarkan selama 5 minit. Didihkan sampai separuh masak sahaja.
3. Matikan api, toskan beras separuh masak, kemudian rendam dengan air sejuk sehingga beras sudah tidak panas.
4. Toskan dan bilas beras. Sekarang beras anda sudah parboil dan rendah GI. Bolehlah masak seperti biasa.

IKLAN

BAGAIMANA PROSES DI ATAS BOLEH MERENDAHKAN GI NASI ANDA?

Beras yang anda didih itu membolehkan kanji bergabung dengan lipid di dalam beras dan menghasilkan Type 5 Resistant Starch yang boleh merendahkan GI. Ada resepi yang meletakkan sedikit garam untuk meningkatkan takat didih air supaya beras tidak cepat masak.

Ada juga yang menambah minyak atau mentega untuk menggalakkan gabungan kanji dan lipid (lemak) menjadi Type 5 RS. Tetapi jika anda ingin kurangkan sodium dan lemak dalam makanan lebih baik tak payah letak.

Merendam beras dengan air sejuk selepas dididih pula akan menggalakkan proses kristalisasi. Ini akan menguatkan bonding kanji dan merendahkan lagi GI nasi.

Tetapi, membuat beras parboil sendiri akan membuang banyak khasiat dalam nasi semasa proses mendidih dan membilas beras. Oleh itu, saya nasihatkan semasa makan nasi parboil buatan sendiri, tambah hidangan sayur yang banyak untuk mendapatkan semula vitamin, mineral yang mencukupi.

Tapi secara kesimpulannya, bila makan nasi tu, tak kisah la jenis apa, sila makan berpada.

Sumber kredit: Hafizah Ramos

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI