Pendosa ingin ke Mekah. Bismillahirrahmanirahim. Begitulah kapsyen yang tertulis dilaman Instagram Amar Baharin. Menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah adalah satu pengalaman yang cukup indah dan menjadi memori yang bakal dikenang buat selama-lamanya.
Tergambar wajah terharu dan syukur pada air muka Amar Baharin di samping isterinya, Amyra Rosli dan anak sulung mereka, Aqeef Anaqi.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 196 yang bermaksud: “Dan tunai atau sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”
Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.
Bertuah Aqeef Anaqi. Kecil-kecil sudah berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah. Di doakan moga-moga Amar sekeluarga mendapat umrah yang mabrur.
Penyanyi terkenal, Hafiz Suip meluahkan rasa syukurnya selepas melihat isterinya yang tersayang, Effy Jasreel kini tampil dengan imej berhijab.
Berkongsi di laman Instagram, Hafiz memuat naik gambarnya bersama Effy berserta kata-kata yang bersahaja namun cukup romantis!
Ya Allah semangat gila aku nak selfie ngan bini aku ya Allah…semoga hidayat ke seluruh Alam Aminn Ya Rabbal’alamin 🥰😘 BEAUTIFUL @nureffyj 😍
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut sama mendoakan untuk kesejahteraan Hafiz,32, dan isterinya serta berharap Effy dapat turut istiqamah dengan penampilan baharunya ini.
Wanita dan solekan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Tidak salah untuk memakai solekan namun apabila tiba masanya untuk solat, jangan lupa untuk membersihkannya dengan sempurna sebelum anda mengambil wuduk untuk solat.
Seringkali wanita terlupa bahawa solekan yang tidak dibersihkan dengan sempurna akan menghalang air wuduk terkena anggota wuduk. Berikut penjelasan yang lengkap tentang perkara ini seperti yang dipetik dari Instagram Ustaz Azhar Idrus
SOALAN:
Jika seorang perempuan yang memakai gincu/lipstik pada bibirnya kemudian apabila masuk waktu solat dia terus mengambil wuduk tanpa menanggalkan dulu gincu/lipstik itu adakah sah wuduknya atau tidak?
JAWAPAN:
Setengah dari syarat sah wuduk ialah tidak ada sesuatu yang menghalang air basuhan kena ke atas anggota wuduk. Dan adalah dua bibir itu ialah termasuk anggota muka yang zahir yang wajib sampai air ketika mengambil wuduk.
Oleh kerana itu jika ketika membasuh mukanya ada suatu yang menghalang dari air kena pada bibirnya seperti bedak atau lilin atau getah atau cat atau sisik ikan atau gincu maka basuhan tersebut adalah tidak sah dan jadilah wuduknya itu tidak sah.
Orang yang solat dengan keadaan air basuhan wuduk tidak kena pada sebahagian anggota wuduk yang wajib basuhnya nescaya solatnya itu tidak sah dan wajib atasnya mengulangi solat tersebut.
Telah diriwayatkan daripada Khalid bin Ma’dan daripada sebahagian sahabat Nabi SAW:
Maksudnya: “Sungguhnya Nabi saw pernah ternampak seorang lelaki yang sedang solat dan pada belakang tumitnya ada sebesar syiling yang tidak kena air. Maka Nabi saw menyuruhnya untuk mengulangi semula wuduk dan solatnya.” (Hadis Abu Daud)
Telah berkata oleh Imam Nawawi:
إذا كان على بعض أعضائه شمع أو عجين أو حناء وأشباه ذلك فمنع وصول الماء إلى شيء من العضو لم تصح طهارته سواء أكثر ذلك أم قل
Maksudnya: “Apabila adalah di atas sebahagian anggota wuduknya lilin atau lemak atau pewarna atau yang seumpamanya maka jadi ia menghalang sampai air kepada suatu dari anggota wuduknya nescaya tidak sah bersucinya itu samada banyak yang menghalang itu atau sedikit.”(Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzab).
Dan tiada khilaf pada tidak sahnya wuduk yang tidak rata air pada anggotanya.
Berkata Imam Nawawi:
أَنَّ مَنْ تَرَكَ جُزْءًا يَسِيرًا مِمَّا يَجِب تَطْهِيره لَا تَصِحّ طَهَارَته، وَهَذَا متفق عليه. انتهى
Maksudnya: “Sungguhnya barangsiapa yang meninggalkan satu juzuk yang kecil dari anggota yang wajib dibasuhnya nescaya tidak sah bersucinya itu. Dan ini telah disepakati oleh ulamak atasnya.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)
Kesimpulannya orang perempuan yang mengambil wuduk tanpa menanggalkan terlebih dulu gincu pada bibirnya dan air basuhan wuduk tidak kena pada bibirnya kerana ditutupi oleh gincu nescaya wuduknya itu tidak sah. Solat yang dikerjakan itu juga tidak sah.
HIJABISTA: Sebelum solat, bersihkan terlebih solekan yang ada pada wajah. Ambil sedikit masa untuk mencuci solekan pada wajah dengan sempurna. Elakkan daripada memakai solekan yang kalis air seperti maskara kerana ia mengambil masa untuk dibersihkan.
Mia Ali atau nama penuhnya, Nur Maissitah Ali pernah menyertai pertandingan Dewi Remaja 2009/2010. Empat bulan selepas tamat pertandingan Dewi Remaja, Mia telah berkahwin dengan Sazrin Aizul ketika usianya 21 tahun.
Menyertai pertandingan Dewi Remaja tetap menjadi salah satu kenangan manis buat Mia. Kisah penghijrahan Mia bermula ketika wanita ini mengambil keputusan untuk berhijab pada tahun 2014, ketika usianya 25 tahun.
“Perasaan untuk berhijab itu datang secara tiba-tiba. Saya masih ingat ketika itu awal tahun 2014. Saya teringin hendak berhijab semasa keluar dengan suami dan anak sulung saya. Saya terjumpa kawan-kawan. Ramai yang bertanya dan tumpang gembira dengan perubahan yang saya lakukan.
“Dari situ terdetik dalam diri saya bahawa sudah tiba masanya untuk saya berhijab. Keesokan harinya apabila keluar, saya terus menyarungkan hijab dan nekad berhijab sepenuhnya. Bila difikirkan, saya seperti ‘tidak sengaja’ memakai hijab. Pendek kata Allah jentik hati saya untuk berhijab dengan cara ini,”ujar Mia membuka bicara.
TIDAK TAHU HAMIL ANAK KEDUA KETIKA MULA BERHIJAB
Memilih gaya hijab yang serba ringkas serta gemarkan hijab daripada fabrik sifon, Mia menyukai shawl berbanding bawal. Mengikut kata Mia, shawl lebih mudah dipakai dan dia bebas untuk melilit gaya hijab mengikut keselesaan dan situasi.
“Tidak dapat dinafikan ketika mula-mula berhijab, perlu keluarkan bajet untuk beli tudung. Namun rezeki Allah yang beri. Apabila niat kita baik, Allah pasti akan bantu dan memudahkan urusan kita.
“Perasaan ketika baru memakai hijab ini adalah sikit rasa susah hati bukan kerana apa tetapi memikirkan untuk terus kekal dengan imej berhijab. Namun apabila difikirkan kembali, berjijab itu wajib jadi memang kita mesti buat.
“Paling istimewa ketika mengambil keputusan untuk berhijab, saya tidak tahu pun yang saya sedang hamil anak kedua. Mungkin inilah hikmah yang Allah hendak beri dan tunjukkan pada saya, syukur, alhamdulillah. Dorongan suami, ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya cukup terharu dan terus istiqamah untuk berhijab,” cerita Mia tentang detik-detik penghijrahannya.
MAHIR MEMBUAT 60 JENIS RESIPI KEK
Biarpun tidak sepenuhnya menyertai industri hiburan, Mia kini lebih fokus pada perniagaan yang dibina dari minat dan kesabarannya, Mia’s Kitchen. Berkelulusan Diploma dalam bidang pengurusan perniagaan di Kolej Poly-tech MARA, Mia kini bahagia dikurniakan dua orang puteri
“Saya bermula dengan ‘kosong.’ Mia’s Kitchen, sebuah perniagaan online bermula pada Julai 2015. Semuanya dilakukan di rumah. Saya ada mengikuti kelas pembuatan kek dan pastri. Sebenarnya saya memang suka makan kek. Dari situlah terbitnya keinginan untuk mengikuti kelas membuat kek.
“Alhamdulillah kini saya mahir membuat 60 jenis resipi kek dan pastri. Antara yang paling mendapat tempat dihati pelanggan antaranya ialah raspberry pistachio cheesecake, kek pandan gula Melaka, nutella chocolate cake dan banyak lagi,” jelas Mia.
Tatkala ditanya apakah rahsia dia kekal ramping dan slim meskipun gemar memasak pelbagai jenis hidangan, ini jawapan Mia.
“Sebelum belajar membuat kek, saya sebenarnya memang seorang yang suka makan kek. Maka sebab itulah saya mengambil keputusan untuk mengikuti kelas membuat kek dan pastri. Tapi yang ‘ajaibnya’ saya tidak pula suka makan kek yang saya buat (sambil ketawa kecil).
“Jarang saya makan masakan (kek) yang saya buat. Mungkin inilah sebabnya mengapa saya tiada masalah berat badan. Tempahan kek dan pastri pula perlu lebih awal mengikut kesediaan saya untuk menyiapkan tempahan. Jika terlalu banyak tempahan dalam satu masa, saya terpaksa menolak,” ujar Mia yang bercita-cita untuk membuka sebuah kedai bakeri suatu hari nanti.
GEMAR BERSENAM DI GIMNASIUM
Mencungkil rahsia kecergasan Mia, wanita ini rupanya gemar bersenam di gimnasium. Akui Mia, dari segi pemakanan dia agak kurang ‘berpantang’ namun Mia bertuah kerana berat badanya tidak mudah naik.
“Saya akan bersenam di gimnasium sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Kalau ada masa lebih, empat kali seminggu. Selain itu saya juga kerap melakukan kerja-kerja mengemas rumah dan ia juga satu senaman yang bagus untuk mengeluarkan peluh.
“Ketika bersenam di gimnasium, saya gemar berlari di atas treadmill. Saya jarang berjogging dan saya lebih selesa bersenam di gimnasium sahaja. Selain itu saya banyak amalkan minum banyak air suam. Air yang cukup juga penting untuk mendapatkan kulit yang sihat dan cantik.
“Untuk kesihatan dalam pula saya mengamalkan vitamin C dan primrose oil. Saya tidak mengamalkan sebarang amalan atau petua tradisional. Ini sahajalah yang saya praktikkan dalam kehidupan harian saya. Lagi pun jadual harian saya agak padat. Syukur dalam usia 30 tahun kesihatan saya baik,” tutur Mia lagi.
TERIKUT-IKUT MENU DIET SIHAT SUAMI
Berkongsi cerita tentang diet harian yang diamalkan oleh Mia, akui ibu jelita ini dia beruntung kerana suaminya juga amat menjaga pola pemakanan harian. Suami Mia jenis orang yang suka berdiet.
“Dia sangat selektif dengan apa yang dimakan. Oleh itu secara tidak langsung, saya sendiri terikut-ikut dengan menu makanan sihat yang diamalkan oleh suami. Bagus juga kerana lumrah seorang wanita suka mencuba pelbagai jenis makanan.
“Saya masak hidangan yang ringkas-ringkas sahaja. Cara penyediaan makanan pula lebih kepada bakar dan panggang. Ia lebih menyihatkan. Pada saya menu diet sihat yang suami amalkan turut memainkan peranan untuk saya menjaga berat badan. Jadi tidaklah saya menghadapi masalah berat badan naik,” akhiri Mia menutup perbualan.
Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download sekarang di
Fabrik polyester mudah berbau walaupun sudah dicuci? Ketahui punca sebenar menurut penyelidik UiTM serta cara berkesan menghilangkan bau hapak pada pakaian sukan.