
“Bukan cari perhatian, ini realiti” – itulah luahan jujur pelakon popular, Zara Zya yang akhirnya membuka kisah peribadi tentang gangguan entiti yang dialaminya sejak lebih sedekad lalu, sehingga memberi kesan besar terhadap kehidupan, kesihatan mental dan kerjayanya dalam industri hiburan.
Ujian yang dilalui secara senyap itu bukan sahaja menggugat emosi, malah ada ketikanya menjejaskan rutin harian serta fokusnya sebagai seorang pelakon. Menurut Zara, apa yang dialaminya sering disalah tafsir oleh segelintir pihak yang menganggap dirinya sekadar mahu meraih perhatian.
Zara Zya menjelaskan bahawa gangguan entiti yang dialaminya adalah sesuatu yang nyata dan hanya benar-benar difahami oleh individu yang pernah melalui pengalaman sama.
“Orang selalu kata kita ni saja nak perhatian dan macam-macam lagi. Tapi sebenarnya, kalau orang yang mengalami sendiri, dia akan tahulah. Perasaan itu sangat berbeza,” luahnya.
Tambah Zara, ketakutan yang dirasai bukan kerana kelemahan diri, sebaliknya kerana kewujudan gangguan itu yang dirasakan benar-benar nyata dan sukar dijelaskan kepada orang lain.
Pelakon berusia 39 tahun itu mendedahkan gangguan berkenaan telah dialaminya lebih 10 tahun, namun fasa paling mencabar berlaku beberapa tahun lalu apabila keadaan menjadi semakin ketara dan jelas dirasai.
Ketika itu, kehidupan hariannya bukan sahaja terganggu, malah ruang peribadi menjadi semakin sempit dan dipenuhi rasa takut.
“Dulu keadaan memang lagi teruk. Sampai kedai kegemaran pun saya tak boleh pergi. Perkara biasa yang orang lain boleh buat, bagi saya jadi sesuatu yang menakutkan,” katanya.
Zara mengakui dirinya menjadi terlalu berjaga-jaga dalam setiap pergerakan, sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh orang luar, namun sangat dirasai oleh dirinya sendiri.
Lebih membimbangkan, gangguan entiti yang dialami Zara Zya turut memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnya. Fokus menjadi mudah terganggu, pemikiran bercelaru dan ketenangan diri sukar dicapai.
Keadaan ini memberi cabaran besar kepada kerjayanya sebagai pelakon yang memerlukan tahap konsentrasi tinggi, termasuk ketika menghafal dialog dan menjalani penggambaran.
“Dari segi mental, ia memang sangat mengganggu. Pemikiran jadi kusut. Nak fokus susah, nak menghafal pun dia kacau,” ujarnya jujur.
Zara turut menegaskan bahawa pengalaman tersebut bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya sangat menyusahkan dan menjejaskan kualiti hidup.
Menyedari situasi yang dialami, Zara tidak mengambil ringan soal rawatan. Beliau mendapatkan bantuan profesional dengan berjumpa doktor dan pakar psikiatri, selain mengambil ubat seperti yang disarankan.
Namun, pelakon itu percaya bahawa setiap kesembuhan adalah bergantung sepenuhnya kepada izin Allah SWT.
“Kalau kita sakit luka pun kita akan pergi klinik. Apatah lagi benda macam ni. Sudah tentu saya dah berusaha, dah jumpa doktor, dah ambil ubat,” katanya.
Walaupun belum sembuh sepenuhnya, Zara bersyukur kerana keadaannya kini semakin baik dan lebih terkawal.
Dalam menghadapi ujian berat itu, Zara menjadikan zikir sebagai pegangan utama dan sumber kekuatan. Amalan tersebut banyak membantu menenangkan hati serta mengawal emosi, terutama ketika gangguan dirasakan semakin kuat.
“Bila keadaan tak sihat, dalam kereta pun saya zikir saja. Itu yang betul-betul tenangkan,” jelasnya.
Zara melihat apa yang dialaminya sebagai satu ujian daripada Allah yang mendidiknya untuk menjadi insan yang lebih sedar, berhati-hati dan lebih mendekatkan diri kepada-Nya.
“Ini ujian Allah untuk kuatkan kita. Alhamdulillah, Allah bagi saya semangat. Saya tak tunduk, saya tak rebah dengan ujian ni,” katanya penuh ketabahan.
Pengakuan jujur Zara Zya ini bukan sekadar membuka mata tentang realiti gangguan entiti yang sering disalah tafsir, malah menjadi peringatan bahawa kesihatan mental adalah isu serius yang wajar difahami dengan empati, bukan dihukum dengan prasangka.
BACA LAGI : Jodoh ‘Rahsia’ Allah, Zara Zya Serah Semua Pada Takdir!
Sumber : Utusan