Wow, 5 Busana Ini Paling Viral Diperkatakan Netizen Hingga Ada Yang ‘Chop’ Untuk Tema Raya Tahun Depan

Share

Setiap pereka fesyen sentiasa muncul dengan idea baru dalam mereka cipta pakaian supaya pelanggan tidak jemu dengan rekaan sedia ada.

Ada yang mencipta idea pelik yang cantik dan inovasi hingga menjadi viral. Maklumlah setiap pereka mempunyai cita rasa tersendiri untuk nampak unik dan berbeza daripada kebiasaan.

Itulah kepuasan sebenar seorang pereka jika berjaya mencipta baju yang boleh menggembirakan hati pelanggan hingga mendapat pujian daripada orang sekeliling.

Admin senarai 5 busana yang dirasakan cukup viral serta mendapat perhatian dan terus hangat diperkatakan sehingga ke hari ini. Malah tidak hairan ada di antaranya menjadikan busana ini  sebagain tema untuk digayakan Syawal tahun depan.

1. Baju Kurung Lipat Lengan Tunku Aminah

Paling sempurna admin katakan adalah baju kurung lipat lengan yang digayakan Tunku Tun Aminah ketika majlis perkahwinannya Ogos lalu. Penampilan puteri ini yang cukup sederhana di majlis perkahwinannya mendapat reaksi positif  netizen.

Menggayakan busana tradisi Johor baju kurung Teluk Belanga ini menjadikan penampilan Tunku Tun Aminah begitu ringkas tetapi cukup memukau pandangan. Pemilihan busana ini adalah bagi mengekalkan budaya dan tradisi Johor.

Busana ini menjadi pilihan Tunku Aminah untuk digayakan di istiadat pernikahan, persandingan malah bersiram.

Biarpun nampak simple, tetapi  sebenarnya Tunku Aminah memakai busana yang dibuat daripada Tenun Pahang Diraja, rekaan fabrik Bonda Saudara, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Menurut Tengku Puan Pahang, baju itu ditenun oleh banduan-banduan Penjara Penor dan menganggap ia sebagai satu penghormatan. Ada juga netizen yang mula membayangkan untuk menjadikan busana ini sebagai tema untuk digayakan sempena Syawal tahun depan.

2. Gaun Kahwin Anzalna

Direka oleh Putra dari Cosry yang mencipta gaun perkahwinan bagi Anzalna yang begitu cantik sekali. Gaun ilham dari Barbie Mariposa ini disiapkan dalam tempoh tiga bulan oleh perekanya hingga mendapat perhatian pengguna sosial di luar Negara seperti UK dan Eropah.

Putra Cosry.

Barbie Mariposa adalah watak kartun iaitu patung perempuan yang mempunyai sayap seperti rama-rama berwarna-warni dan gaun-gaun yang dipakainya diperbuat daripada sayap-sayapnya sendiri yang kelihatan seperti kelopak bunga.

Setiap kali penghujung cerita kartun itu, pastinya penonton akan dapat melihat keindahan gaun Barbie Mariposa yang berubah menjadi warna merah jambu dan jingga lembut. Putra menyiapkan gaun seberat 20 kilogram ini dua minggu sebelum perkahwinan berlangsung.

Gaun yang digayakan itu mendapat perhatian media antarabangsa dan ketika itu ramai gadis yang memasang impian untuk menggayakan gaun itu di majlis perkahwinan mereka. Bukan itu sahaja, turut ada biskut, kek serta tudung inspirasi dari gaun Alzalna ini.

3. Dress Biru Fazura

Ketika majlis ABPBH yang berlangsung Mac lalu, pelakon jelita Fazura telah menggayakan dress yang cukup memukau dan jadi bualan seluruh dunia.

Dress biru langit yang disulami batu permata itu kelihatan begitu sempurna tatkala Fazura melangkah naik ke pentas untuk menerima anugerah Pelakon Filem Wanita Popular.

Duo Rizman Ruzaini.

Busana indah ini direka oleh duo popular Rizman Ruzaini yang memang sering kali muncul mereka dress cukup indah dan mempesona untuk selebriti popular seperti Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Ziana Zain dan ramai lagi.

Menurut perekanya yang sudah 12 tahun dalam industri ini berkata, gaun itu diilhamkan menerusi karakter Cinderella tetapi dalam versi moden yang dilakonkan oleh Fazura dalam drama Hero Seorang Cinderella.

4. Gaun Kahwin Oleh Nurita Harith

Terbaru, pereka fesyen terkenal, Nurita Harith telah mencipta kelainan dalam industri fesyen apabila mencpta gaun pengantin daripada tisu.

Nurita Harith.

Gaun yang direka menggunakan juntaian fabrik indah ini menggabungkan elemen keteguhan dan kelembutan tisu yang sememangnya  sinonim dengan Tisu Vinda Deluxe. Ia dicipta khas buat pasangan Anthony Wong dan Shervyn Chua di majlis perkahwinan mereka.

Menurut perekanya, walaupun tekstur tisu ini cukup lembut tetapi ia sangat berkualiti dan kukuh untuk disarung pada badan. Gaun potongan duyung dengan perincian renda ini menampilkan bahagian bawah yang berlapis-lapis membentuk gaya dramatik kepada gaun polos ini. Diberikan sentuhan etnik di bahagian kolar Mandarin dan lengan paras siku bagi menyerlahkan aura sopan.

5. Busana Kebangsaan Miss Universe 2016

Satu lagi baju yang agak pelik tetapi cantik adalah juga daripada ciptaan duo Rizman Ruzaini yang digayakan oleh Miss Universe Malaysia 2016, Kiran Jassal yang turut mendapat perhatian netizen.

Busana yang diinspirasikan daripada lambang kebangsaan negara iaitu Menara Berkembar Petronas ini telah digayakan oleh Kiran di Manila, awal tahun ini.

Perekanya memberitahu busana potongan jumsuit ini menggunakan lebih 100,000 berlian perak pelbagai jenis dilakukan penuh teliti merangkumi idea, konsep hinggalah kepada pembuatannya. Berat baju ini adalah 10KG dan menara itu direka untuk keselesaan Kiran apabila memperagakannya.

KREDIT FOTO: THE ROYAL JOHOR & INSTAGRAM SELEBRITI

Artikel Berkaitan: Baju RM15K DiPeraga Mira Di New York

 

IKLAN