Walaupun BERPANTANG, Siti Nurhaliza Tetap MANIS Menyarung Busana Rona HIJAU Lembut Di Majlis AQIQAH & TAHNIK #BabyCTDK

Share

Seminggu yang lalu, penyanyi nombor 1 negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin telah selamat melahirkan anak sulungnya di sebuah hospital swasta di sekitar Kuala Lumpur. Memilih tarikh 1 Rejab untuk melahirkan anaknya itu, Siti dan suaminya, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa telah dikurniakan bayi perempuan yang sangat comel. Alhamdulilllah, kedua-duanya berada dalam keadaan yang sihat dan baik.

Beberapa hari selepas kelahiran puteri kesayangan mereka, wajah anak itu telah tersebar secara meluas meskipun Siti dan suaminya berjanji untuk berkongsi wajah anak mereka pada hari yang ke-7. Dato’ Sri Khalid sendiri melahirkan rasa terkilan di atas penyebaran gambar tersebut tetapi memaafkan individu yang menyebarkan gambar itu.

Semalam, satu majlis Maulid Nabi, Aqiqah dan Tahnik telah diadakan sempena menyambut hari ke-7 kelahiran puteri comel ini. Demi menunaikan janji kepada rakyat Malaysia, Siti dan suaminya telah berkongsi wajah anaknya menerusi laman Instagram. Subhanallah, memang comel ‘bayi comel pipi merah’ ini! Hijabista sendiri cukup teruja melihat kecomelan puteri sulung Siti ini.

Semasa majlis berlangsung, Siti kelihatan manis dengan persalinan busana rona hijau lembut rekaan Ezuwan Ismail dipadankan bersama selendang rona pastel. Jika selebriti lain mahu kelihatan glamor di majlis aqiqah anak mereka, Siti memilih untuk tampil sederhana dengan sarungan jubah berpotongan ringkas dengan mainan lace pada bahagian tangan. Menerusi gambar yang dimuat naik menerusi lnstagram, puterinya juga turut memakai gaun labuh dari rona yang sedondon.

Turut menarik perhatian Hijabista adalah dekorasi majlis aqiqah dan tahnik yang cukup meriah dan indah ibarat berada di dalam taman bunga. Bertemakan mainan rona pastel dan putih, dekorasi majlis ini telah disempurnakan oleh Nas Great Idea Weddings. Hijabista percaya Siti turut berpuas hati melihat hasilnya yang cukup memukau. Meskipun masih di dalam pantang, Siti tetap tersenyum manis meraikan tetamu yang hadir memeriahkan majlis tersebut. Terpancar kebahagiaan dan kegembiraan di wajahnya.

Pada malam itu, Siti dan suami turut mengumumkan nama puteri sulung mereka kepada umum. Bayi comel pipi merah itu diberi nama Siti Aafiyah binti Khalid di mana perkataan ‘Aafiyah’ di dalam bahasa Arab bermaksud ‘segala yang baik-baik.’ Pengumuman nama puteri sulung mereka itu dilakukan sendiri oleh Siti dan suaminya. Menerusi laman Instagramnya sendiri, Siti telah berkongsi video doa yang telah mencetuskan ilham mereka untuk menamakan puteri mereka. Menurut Siti, nama tersebut diperolehi ketika mereka suami isteri mengerjakan umrah di Makkah. Suaminya sering membaca doa pendek yang mempunyai perkataan Aafiyah.

Meskipun terdapat sedikit komplikasi selepas proses kelahiran di mana beliau kehilangan banyak darah dan hanya boleh berjalan pada hari ketiga, Siti seakan tidak percaya yang dia kini sudah memiliki seorang bayi yang cukup sempurna. Hilang segala sakit apabila melihat wajah anaknya itu.

Hijabista ucapkan tahniah kepada Siti dan suami di atas kelahiran puteri comel itu. Semoga Siti Aafiyah membesar dengan sihat dan menjadi penyejuk hati ayah dan bonda.

Foto: Instagram Siti Nurhaliza

IKLAN