Usia Baru 9 Tahun, Tukang Jahit Cilik Ini Sudah Hasilkan 100 Pasang PPE Buat Frontliners

Share

Walaupun baru berusia sembilan tahun, Nur Afia Qistina Zamzuri, sudah ada rasa tanggungjawab yang perlu sama dilakukan bagi melawan wabak Covid-19.

Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah ini menggunakan kemahirannya untuk menjahit pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk digunakan petugas barisan hadapan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Sudah belajar menjahit sejak berusia lima tahun, dia menggunakan masa terluang di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melaksanakan misi itu dengan bantuan ibunya, Hasnah Hud.

Hasnah berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu sendiri yang menawarkan diri untuk berbuat demikian selepas mendapat tahu tentang pasukan perubatan negara termasuk di HTAN memerlukan PPE yang banyak dan bekalannya semakin berkurangan.

“Saya mendengar tentang situasi itu dan berjumpa kakitangan HTAN untuk bertanya jenis bantuan yang saya boleh berikan kerana saya memang tukang jahit. Mereka mengalu-alukan jika saya dapat menjahit PPE untuk disumbangkan kepada mereka.

Semuanya dijahit sendiri

“Apabila saya ceritakan pada Afia tentang hasrat saya untuk menjahit PPE, dia pun turut sama teruja mahu membantu.

“Malah, semua PPE yang kami hasilkan sehingga kini dijahit sendiri oleh Afia. Saya cuma bantu kemaskan di bahagian leher sahaja,” kata Hasnah kepada Astro AWANI

.

Selain itu, Hasnah juga menjelaskan anaknya itu sudah mula menjahit dan menjual hasil jahitannya kepada penduduk sekitar kawasan perumahan mereka ketika berusia tujuh tahun.

Umur 7 tahun sudah menjual hasil tangan sendiri

“Dia selalu tengok saya menjahit. Permulaannya ketika berusia lima tahun, dia hanya bertanya, lepas tu dia tolong sikit-sikit.

“Masuk usia tujuh tahun, saya mula bagi dia kain-kain perca sebab nampak minat dia ke arah itu. Kemudian dia jahit sarung bantal dan jual kepada penduduk kampung,” kata Hasnah yang bertugas sepenuh masa sebagai pembantu pengurusan murid di SK Felda Kepis.

Ujar Hasnah, Afia mengambil masa kira-kira sejam untuk menyiapkan sepasang PPE.

Setakat ini, sebanyak 100 pasang PPE sudah dihantar untuk kegunaan petugas di HTAN dan mereka sedang berusaha menghasilkan lebih banyak PPE.

Hasnah berasa gembira dan terharu kerana sumbangan kecil dia dan anaknya dapat membantu pihak yang memerlukan. Harapnya ini dapat memberikan inspirasi buat anggota masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dalam menangani wabak COVID-19.

kredit: Astro AWANI

IKLAN