Kecantikan

Tak Hirau Cakap Orang, Doktor Gigi Ini Kongsi Tips Cantik & Motivasi Agar Tak Cepat Mengalah

Share

Cantik dan serba boleh, itulah Dr. Irma Shida Abu Samah yang merupakan seorang doktor dalam bidang pergigian yang kemudian menubuhkan syarikat rakamannya sendiri, Dr. Irma Entertainment kerana minat yang mendalam dalam dunia seni ini.

Bukan itu sahaja, beliau juga mempunyai perniagaan kecantikan sendiri di bawah nama Dr.Irma Skincare & Cosmetics.

Bertemu dengannya pada majlis pelancaran media Dr.Irma Entertainment, beliau sempat berkongsikan rahsia kecantikannya dan juga kisahnya yang boleh memberi inspirasi kepada semua gadis di luar sana!

Boleh kongsikan rutin kecantikan Doktor?

Saya mesti gunakan produk yang bebas daripada bahan kimia sebab kita mahukan kesihatan kulit itu berpanjangan hinggalah ke usia tua. Sihat dan cantik. Bangun pagi sahaja mesti cuci muka walaupun tak pakai mekap waktu tidur tapi bila bangun dari tidur itu pastinya wajah kita berpeluh dan juga mungkin terlekat dengan kotoran daripada bantal.

Selepas itu kita wajib pakai toner, serum dan sunblock kalau tak mahu ada jeragat sebelum waktu. Sunblock itu paling penting! Rutin pada waktu malam pula mesti cuci mekap dahulu sebelum menggunakan pencuci muka. Seperti biasa saya akan pakai toner, serum, pelembap dan juga krim malam.

Fesyen pilihan yang diminati?

Saya tak mengikuti perkembangan fesyen, saya lebih selesa ikuti apa yang saya suka pakai. Mahal tak semestinya cantik. Tapi kalau tahu menggayakan pada badan sendiri, pasti boleh tampil cantik. Yakin itu paling penting. Tak perlu berjenama, yang penting kita yakin dan selesa. InsyaAllah akan nampak cantik.

Ada tak yang memandang rendah pada kebolehan Doktor?

Pastinya ada. Mereka akan cakap ‘doktor gigi tiada job ke?’ Kalau nak diikutkan, pastinya kerja saya di klinik gigi lebih menguntungkan tetapi disebabkan minat yang mendalam dalam bidang seni, saya lakukan ini. Berjaya atau tidak itu belakang kira. Bila karya saya tidak diterima di label lain, saya faham sahaja kerana pastinya semua ada kriteria masing-masing.

Saya sejenis yang susah untuk merajuk. Dalam industri ini kita tak boleh nak merajuk kerana tiada siapa yang akan pujuk. Orang cakap apa pun saya abaikan sahaja kerana mereka tak tahu apa yang saya lalui. Kalau tak berjaya pada awalnya tidak mengapalah kerana kita boleh cuba dan terus cuba.

IKLAN