Sempat Mandikan, Tukar Pakaian & Cadar Putih Layanan Terakhir Linda Rafar Sehari Sebelum Emak Meninggal

Share

Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih ibu juga tiada penghujungnya. Akan terus berkekalan walaupun maut memisahkan. Bagi selebriti Linda Rafar yang kehilangan arwah ibunya, Allahyarham Rasimah Abd Rahman awal tahun ini mengakui sukar untuknya melupakan momen terakhir mereka bersama sementelah pelbagai kontroversi yang melanda.

Linda memberitahu hubungan dia dan ibunya memang sangat rapat. Sejak pembabitannya dalam kumpulan Elite lagi sehinggalah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

Jadi apabila ibunya meninggal dunia memberi satu tamparan hebat buat Linda. Biarpun pahit untuk menerima, momen terakhir bersama ibunya akan terus dikenang hingga ke akhir hayatnya.

“Linda memang tak putus menjaga emak sepanjang emak 90 hari berada di hospital. Linda memang tidak putus-putus mendoakan diri emak dan sentiasa mengajarnya mengucap khalimah syahadah. Dan ketika emak dibawa balik ke rumah (setelah sihat sedikit), kami sempat membuat kenduri doa selamat.

“Waktu inilah Linda luangkan masa terakhir bersamanya. Linda lap mukanya dan ketika itu ada yang perasan wajak emak kelihatan berseri-seri seperti bermekap. Linda cake hanya lap mukanya sahaja.

“Linda juga turut mandikan arwah bersih-bersih, pakaikan baju putih, seluar putih malah cadar tempat emak tidur pun Linda tukar putih.  Siapa sangka itu layanan terakhir Linda pada arwah,” jelas Linda yang memberitahu ibunya diserang sesak nafas sebelum di bawa ke hospital.

Menurut Linda ketika ambulan sampai di rumah, Linda dapat melihat wajah ibunya buat kali terakhir ketika itu dan dia sempat menciumnya dan ajar mengucap. Itulah saat-saat terakhir ibunya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Walaupun sedih, tetapi Linda gembira di saat-sat akhirnya itu dapat berbakti dan memberi layanan terbaik untuk arwah emak. Dan apa yang Linda lakukan sekarang adalah untuk menuntut hak dan keadilan buat arwah emak.

“Sebelum meninggal arwah memang tahu kes viral berkenaan dan menyuruh Linda hanya bersabar. Katanya lagi biarlah tiada layanan istimewa diterima. Linda akui cukup trauma menghadapi situasi ini. Linda juga sebenarnya turut mengalami depresi rentetan dari kes itu hinggalah emak meninggal dunia.

“Bila emak meninggal, memang Linda berada dalam keadaan yang cukup tertekan. Depress yang Linda alami menyebabkan Linda tak boleh jumpa orang, tak boleh kerja. Bukan itu sahaja, Linda jadi tidak boleh tidur dan cakap sorang-sorang.

“Ada kalanya Linda pergi kubur cakap dengan emak di sana dan memang sukar untuk Linda gambarkan situasi sebenar. Seolah-olah memang Linda tak dapat menggembirakan emak saat akhir (merujuk pada kes viral berkenaan),” tambah Linda ketika ditemui dalam satu sidang akbar di Shah Alam semalam.

Akui cukup tertekan setelah ibunya meninggal dunia.

Menurut Linda ramai yang menghentam dirinya rentetan satu kisah viral membabitkan dirinya dengan jururawat di sebuah hospital. Namun sebenarnya ramai tidak mengetahui kejadian sebenar.

“Sebenarnya emak Linda digigit serangga ketika di rumah Diana di bahagian tangan hingga menyebabkan jadi bengkak. Kami sudah cuba bawa emak ke hospital swasta tetapi kes emak tidak diterima dan menyuruh Linda merujuk ke hospital kerajaan berdekatan.

“Sepanjang emak menerima rawatan di sana, memang layanan daripada kakitangan semuanya baik. Malah mereka juga turut mengambil gambar bersama Linda dan keluarga untuk diabadikan kenangan.

“Linda layan mereka seperti biasa sehinggalah terjadinya kes viral berkenaan. Jadi apabila emak meninggal dalam keadaan kes berkenaan tidak selesai buat Linda jadi sedih,” ceritanya yang perlu membuat tuntutan saman adalah untuk mempertahankan hak emaknya dari terus menjadi kecaman netizen.

Sokongan kuat dari ahli keluarga.

“Linda bukanlah jenis nak cari gaduh. Kalau lihat rekod sebelum inipun memang Linda tiada masalah dengan orang.

“Tapi kali ini Linda perlu lakukan kerana mahu menuntut keadilan untuk arwah emaknya. Linda tak menyesal lakukan ini sebab Linda pertahankan hak emak. Linda tidak mahu arwah terus menjadi mangsa buli siber hingga boleh menjatuhkan maruah seseorang.

“Inilah masanya Linda sebagai anak menolong arwah walaupun dia sudah tiada. Mungkin dengan cara ini akan membuatkan nasib keluarga lain yang menerima nasib sama akan terbela.

“Memang Linda akui kes berkenaan sangat memberi tamparan hebat buat kami sekeluarga. Bayangkan bukan sahaja Linda, tetapi ahli keluarga lain turut terkena tempiasnya misalnya bisnes keluaga jatuh teruk,” tambah Linda yang mendapat sokongan adik beradiknya berdepan kes berkenaan.

Dalam sidang akhbar semalam Linda telah memfailkan saman terhadap lebih 100 pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan hingga memburukkan diri dan keluarganya berhubung isu fitnah sekumpulan jururawat di Hospital Shah Alam pada Disember lalu.

Linda, 41 tahun, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar menuntut individu berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial yang digunakan.

Linda menerusi wakil peguamnya, Nurul Hafidzah & Associates berkata, notis tuntutan itu akan dihantar dalam tempoh sebulan bermula tarikh semalam.

Bersama barisan peguam bagi menuntut hak untuk arwah ibunya.

KREDIT FOTO: INSTAGRAM LINDA RAFAR

IKLAN