Travel

Ikhtiar Tahan Haid Di Tanah Suci, Wanita Ini Amalan Kayu Sugi & Air Zam Zam

Share

Ikhtiar tahan haid di Tanah Suci kembali menjadi perhatian apabila satu perkongsian tular di platform Threads melibatkan pengalaman peribadi beberapa jemaah wanita. Isu haid sememangnya sering menjadi kebimbangan dalam kalangan wanita yang menunaikan umrah atau haji kerana ia memberi kesan langsung terhadap pelaksanaan ibadah seperti solat dan tawaf.

Walaupun haid adalah fitrah yang telah ditetapkan buat wanita, keinginan untuk memanfaatkan setiap peluang beribadah di Tanah Suci membuatkan ramai mencari ikhtiar yang berlandaskan doa, adab serta tawakal kepada Allah SWT.

Perkongsian Ikhtiar Di Media Sosial

Menerusi satu hantaran di Threads, seorang wanita berkongsi kaedah ikhtiar yang diamalkannya sebagai usaha menangguhkan kedatangan haid ketika berada di Mekah dan Madinah. Perkongsian tersebut dibuat dalam bentuk langkah ringkas melibatkan penggunaan kayu sugi hidup, air zam zam serta bacaan zikir dan doa.

 

View on Threads

 

Menariknya, kaedah ini dikongsikan tanpa melibatkan sebarang ubat-ubatan atau intervensi perubatan, sebaliknya menekankan unsur spiritual dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT sebagai Pemilik segala ketentuan.

Langkah Ikhtiar Yang Dikongsikan

Menurut perkongsian tersebut, antara langkah yang diamalkan adalah seperti berikut:

1. Sediakan kayu sugi hidup dan air zam zam

Sebatang kayu sugi hidup dimasukkan ke dalam air zam zam sebagai ikhtiar awal sebelum diminum.

2. Rendam selama 15 minit

Kayu sugi dibiarkan terendam di dalam air zam zam selama kira-kira 15 minit bagi membolehkan ikhtiar dilakukan dengan tenang dan penuh penghayatan.

3. Baca zikir dan doa sepanjang rendaman

Sepanjang tempoh rendaman, bacaan berikut diamalkan:

  • Ya Wadud sebanyak 50 kali
  • Ya Sattar sebanyak 50 kali
  • Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW sebanyak tujuh kali
  • Surah Al-Fatihah sebanyak tiga kali

4. Sebut niat dan minum air rendaman

Selepas selesai bacaan, niat disebut dengan jelas sebelum air rendaman diminum dengan penuh keyakinan, harapan dan tawakal kepada Allah SWT.

Pengalaman Wanita Yang Mencuba

Di ruangan komen Threads, ramai wanita turut berkongsi pengalaman masing-masing selepas mencuba kaedah ikhtiar tahan haid di Tanah Suci ini. Seorang pengguna, @chicdumpling, mendakwa haidnya yang dijangka datang ketika hari wukuf di Arafah tidak berlaku sepanjang tempoh menunaikan haji.

“Seminggu sebelum hari wukuf, saya diberi tip ini. Minum air setiap hari, Alhamdulillah sampai habis haji, haid masih tak datang. Saya sambung minum lagi sebab nak pergi Madinah dan masuk Raudhah,” tulisnya.

Sementara itu, @haninasulaiman pula berkongsi bahawa pendarahan haid berhenti sepenuhnya pada hari ketiga selepas mengamalkan kaedah ini, sekali gus membolehkannya meneruskan ibadah dengan lebih tenang. Seorang lagi pengguna, @smm2608, memaklumkan darah haid berhenti selepas beberapa hari, membolehkannya menunaikan solat Subuh terakhir serta tawaf wada’ sebelum pulang ke tanah air.

Ikhtiar Dengan Kefahaman Dan Tawakal

Walaupun ramai berkongsi pengalaman positif, kaedah ini perlu difahami sebagai ikhtiar individu dan bukan jaminan perubatan. Tiada pengesahan klinikal mengenai keberkesanannya dan setiap tubuh wanita berbeza dari segi hormon serta kitaran haid.

Wanita disarankan untuk mendapatkan pandangan agama serta nasihat profesional kesihatan sebelum mencuba sebarang kaedah menangguhkan haid. Paling utama, setiap usaha perlu dilakukan dengan niat yang betul, adab yang baik serta hati yang redha terhadap ketentuan Allah SWT.

Hakikatnya, setiap detik berada di Tanah Suci tetap bernilai ibadah di sisi Allah, sama ada dalam keadaan suci atau sebaliknya. Yang penting, wanita terus menjaga kesihatan, keikhlasan niat dan menyerahkan sepenuhnya urusan kepada Yang Maha Mengetahui.

BACA LAGI : Tabiat Yang Sihat Akan Membantu Hijabi Segar Sepanjang Haid. Lakukan 5 tip Ini.

Sumber : Threads

Related Post
Published by
Nana