
Jangan suka-suka batalkan qada puasa Ramadan tanpa uzur kerana hukumnya berdosa. Puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu kewajipan utama dalam Islam dan menjadi rukun yang tidak boleh dipandang ringan oleh setiap Muslim yang cukup syarat.
Ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya ia adalah latihan rohani yang membentuk disiplin, keikhlasan serta ketakwaan kepada Allah SWT. Justeru, setiap puasa Ramadan yang ditinggalkan sama ada kerana uzur atau sengaja, wajib diganti melalui puasa qada.
Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah: 183)
Ayat ini menegaskan bahawa puasa Ramadan adalah perintah wajib yang bertujuan mendidik jiwa agar lebih bertakwa. Bahkan, Nabi Muhammad SAW turut menyenaraikan puasa Ramadan sebagai salah satu daripada lima rukun Islam, sebagaimana hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Qada puasa Ramadan bermaksud menggantikan hari-hari puasa wajib yang ditinggalkan sepanjang bulan Ramadan. Bagi wanita Muslimah, antara sebab yang dibenarkan syarak untuk meninggalkan puasa ialah haid, nifas, sakit, musafir, mengandung atau menyusukan anak.
Namun, setiap puasa yang ditinggalkan ini tetap menjadi hutang ibadah yang wajib dilunaskan pada hari lain.
“Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Masih ramai yang keliru dan menyangka qada puasa Ramadan sama seperti puasa sunat. Hakikatnya, qada puasa Ramadan adalah puasa wajib dan tidak boleh dibatalkan dengan sengaja tanpa keuzuran yang diiktiraf syarak.
Hukum membatalkan qada puasa Ramadan tanpa uzur seperti haid, musafir atau sakit adalah berdosa. Ini berbeza dengan puasa sunat yang dibenarkan untuk dibatalkan tanpa menanggung dosa.
Hal ini berdasarkan hadis Ummu Hani’ RA, apabila Rasulullah SAW menjelaskan bahawa membatalkan puasa tidak mendatangkan dosa sekiranya ia adalah puasa sunat, bukan puasa wajib seperti qada puasa Ramadan.
Para ulama turut membincangkan perkara ini secara jelas. Kitab Kifayah al-Akhyar
menyatakan bahawa seseorang yang telah memulakan ibadah wajib, termasuk qada puasa Ramadan, tidak boleh membatalkannya kerana ia adalah kewajipan yang mesti disempurnakan.Begitu juga pandangan Ibnu Qudamah dalam kitab al-Mughni yang menegaskan bahawa sesiapa yang telah masuk ke dalam ibadah wajib, sama ada qada puasa Ramadan, nazar atau puasa kaffarah, maka tidak harus baginya untuk keluar daripadanya tanpa uzur syarie.
Menangguhkan qada puasa Ramadan atau membatalkannya sesuka hati boleh mencerminkan sikap sambil lewa terhadap perintah Allah SWT. Sebagai Muslimah yang mengutamakan keseimbangan iman dan kehidupan, kita perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam menyempurnakan hutang ibadah.
Qada puasa Ramadan bukan sekadar mengganti hari yang tertinggal, tetapi ia adalah lambang ketaatan, keikhlasan dan komitmen kita terhadap rukun Islam.
Jangan batalkan qada puasa Ramadan tanpa uzur kerana hukumnya berdosa. Ibadah ini adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dan kesungguhan. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kekuatan, kesabaran dan keikhlasan dalam menyempurnakan setiap ibadah yang menjadi tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya.
Amin. 🤍
BACA LAGI : Cuaca Panas Sepanjang Bulan Puasa, 4 Material Pakaian Anti Panas Ini Sesuai Dipakai