Fesyen

Jangan Salahkan Peluh, Material Baju Mungkin Punca Bau Hapak

Share

Fabrik polyester sering menjadi pilihan untuk pakaian sukan kerana sifatnya yang ringan dan cepat kering. Namun, ramai tidak menyedari bahawa jenis fabrik ini juga lebih mudah memerangkap bau jika tidak dijaga dengan betul.

Pernah tak anda perasan baju sukan atau jersi yang diperbuat daripada polyester cepat berbau hapak walaupun baru dipakai sekejap?

Lebih mengecewakan, pakaian itu sudah dicuci berkali-kali tetapi bau masam atau kurang menyenangkan masih sukar dihilangkan. Ramai mungkin menganggap peluh menjadi punca utama, namun jenis dan kualiti fabrik yang digunakan sebenarnya turut memainkan peranan penting.

Image via ML Studios (YouTube)

Menerusi perkongsian ML Studios, penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Nur’Ain Yusof menjelaskan bahawa fabrik polyester, terutama yang berkualiti rendah, mempunyai permukaan yang mudah memerangkap minyak daripada kulit, sel kulit mati dan bakteria.

Apabila bakteria membiak pada sisa-sisa tersebut, ia menghasilkan bau masam atau hapak yang boleh terus melekat pada pakaian walaupun selepas dicuci.

Fabrik Polyester Bukan Peluh Semata-Mata Punca Bau

Peluh yang baru keluar daripada tubuh bukanlah satu-satunya penyebab pakaian berbau. Masalah biasanya berlaku apabila peluh bercampur dengan minyak badan, sel kulit mati serta bakteria yang berada pada permukaan kulit dan fabrik.

Apabila semua sisa ini terperangkap pada serat pakaian, bakteria akan membiak lalu menghasilkan sebatian yang menyebabkan bau kurang menyenangkan.

Sebab itu ada pakaian yang kelihatan bersih selepas dibasuh, tetapi kembali berbau sebaik sahaja dipakai dan terkena haba badan.

Gambar Hiasan AI

Kenapa Fabrik Polyester Mudah Memerangkap Bau?

Polyester merupakan fabrik sintetik yang sering digunakan untuk menghasilkan jersi, pakaian sukan dan pakaian harian kerana ringan, tahan lasak serta cepat kering.

Namun begitu, fabrik polyester mempunyai sifat hidrofobik yang menyebabkan minyak daripada kulit lebih mudah melekat pada permukaan seratnya.

Jika struktur fabrik kurang berkualiti, sisa minyak, bakteria dan kotoran boleh tertinggal pada celah serat walaupun pakaian sudah dicuci berkali-kali.

Keadaan ini lebih mudah berlaku pada bahagian yang kerap berpeluh seperti ketiak, belakang badan dan leher.

Polyester yang lebih berkualiti pula biasanya direka dengan teknologi fabrik yang membantu meningkatkan pengudaraan serta mempercepatkan penyingkiran kelembapan daripada tubuh.

Ini bermakna bukan semua pakaian polyester mempunyai masalah bau yang sama. Kualiti benang, ketumpatan fabrik dan teknologi pembuatan turut mempengaruhi tahap keselesaan serta ketahanan terhadap bau.

Baju Murah Tidak Semestinya Berbaloi

Harga murah sememangnya menggoda, terutama apabila pakaian mempunyai rekaan yang menarik.

Namun, pengguna disarankan menilai kualiti fabrik dan bukan sekadar melihat tanda harga.

Pakaian yang terlalu nipis, panas, tidak mempunyai pengudaraan baik atau mudah melekat pada tubuh mungkin diperbuat daripada bahan yang kurang berkualiti.

Dalam jangka panjang, pakaian seperti ini bukan sahaja cepat berbau, malah kurang selesa dipakai dan lebih sukar dijaga.

Bagi hijabi yang memakai pakaian berlapis dalam cuaca panas dan lembap, pemilihan fabrik yang mempunyai aliran udara baik amat penting bagi mengurangkan kelembapan dan pembiakan bakteria.

Cara Kurangkan Bau Pada Fabrik Polyester

Bagi mengurangkan masalah bau pada pakaian sukan atau fabrik polyester, beberapa langkah mudah boleh diamalkan:

  • Basuh pakaian sebaik sahaja selepas dipakai.
  • Jangan biarkan pakaian yang basah dengan peluh terlalu lama di dalam beg sukan, kereta atau bakul pakaian tertutup.
  • Jika belum sempat mencuci, gantung pakaian terlebih dahulu supaya ia kering dan mendapat pengudaraan.
  • Terbalikkan pakaian ketika mencuci supaya bahagian yang bersentuhan dengan kulit dibersihkan dengan lebih berkesan.
  • Gunakan detergen mengikut sukatan yang disyorkan kerana lebihan sabun boleh tertinggal pada fabrik.
  • Pastikan pakaian benar-benar kering sebelum dilipat atau disimpan.
  • Elakkan penggunaan pelembut fabrik secara berlebihan kerana ia boleh meninggalkan lapisan yang memerangkap minyak dan bakteria.

Pilih Fabrik Mengikut Kegunaan

Untuk aktiviti bersukan, pilih pakaian yang mempunyai ciri pengudaraan baik serta mampu menyingkirkan kelembapan daripada kulit.

Periksa label pakaian dan rasai tekstur kain sebelum membeli. Fabrik yang berkualiti lazimnya lebih selesa dipakai, tidak terlalu panas dan kurang melekat pada tubuh.

Walaupun harganya mungkin sedikit lebih tinggi, pakaian berkualiti selalunya lebih tahan lama, lebih mudah dijaga dan memberi keselesaan yang lebih baik.

Jadi, jika selama ini anda menyangka peluh semata-mata menyebabkan baju berbau, mungkin sudah tiba masanya untuk melihat semula jenis material pakaian yang digunakan.

Kadang-kadang bukan badan yang bermasalah, tetapi fabrik polyester yang kurang berkualiti menjadi punca utama bau hapak sukar dihilangkan.

 

Related Post
Published by
Nana