
Elly Mazlein tolak tawaran RM500,000 demi hijab, prinsip hidup lebih utama daripada wang. Satu keputusan besar yang membuktikan bahawa hijrah bukan sekadar perubahan penampilan, tetapi melibatkan kekuatan iman dan pendirian diri. Bagi penyanyi dan pengacara popular ini, hijab adalah maruah serta janji kepada Allah SWT yang tidak boleh digadai walau dengan jumlah wang yang lumayan.
Mesra disapa Kak Lina, Elly Mazlein percaya setiap rezeki sudah ditentukan. Keberanian untuk berkata tidak demi nilai diri akhirnya membuka pintu rezeki lain yang lebih bermakna dan diberkati, sekali gus menguatkan keyakinannya terhadap prinsip hidup yang dipegang.
Menurut Elly Mazlein, tawaran bernilai setengah juta ringgit itu hadir ketika dirinya baru sahaja mengambil keputusan untuk berhijab. Namun, tawaran tersebut disertakan dengan syarat yang jelas bertentangan dengan prinsip hidupnya sebagai wanita Muslimah.
“Tawaran datang ketika diri baharu berhijab dan ia bersyarat yang mana saya perlu membuka tudung. Setengah juta itu satu amaun yang besar. Takkanlah kita tak nak, tapi kena ingat ada banyak lagi rezeki untuk Kak Lina,” kongsinya jujur.
Bagi Elly Mazlein, walaupun jumlah itu mampu mengubah banyak perkara, ia tetap tidak setimpal dengan pengorbanan prinsip hidup yang telah dipilih dengan penuh kesedaran dan keikhlasan.
Elly menegaskan, keputusan untuk berhijab bukan dibuat sehari dua, sebaliknya melalui proses muhasabah diri dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT.
“Takkanlah kita nak gadaikan prinsip hidup kita demi wang. Apabila membuat keputusan untuk berhijab, kalau tawaran lumayan sekalipun pada saya tidak mengapa untuk ditolak kerana insya-Allah akan ada rezeki yang lain,” katanya.
Tambah Elly Mazlein, apa yang ingin disampaikan adalah mesej penting buat masyarakat dan industri bahawa wanita berhijab juga wajar diberi kepercayaan serta peluang yang sama tanpa prejudis.
“Tidak salah rasanya jika duta memakai tudung. Apa pun, Alhamdulillah sentiasa ada rezeki untuk saya. Saya kekal dengan prinsip saya untuk kekal berhijab,” jelasnya penuh yakin.
Menariknya, selepas menolak tawaran tersebut, rezeki Elly Mazlein semakin dipermudahkan. Ditemui di pertunjukan fesyen Ariani Lebaran 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi meluahkan rasa syukur apabila kini bergandingan bersama jenama tersebut sebagai duta.
“Tahun lepas saya bersama Jakel tetapi tahun ini 2026 saya menerima tawaran Jakel dan Ariani. Rezeki sentiasa ada, saya sangat berterima kasih. Alhamdulillah. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik,” kongsinya.
Beliau turut mendedahkan selepas itu menerima beberapa tawaran lain daripada jenama berbeza, sekali gus menguatkan keyakinannya bahawa rezeki tidak pernah salah alamat buat mereka yang berpegang teguh pada prinsip hidup.
Dalam perkembangan lain, Elly Mazlein yang bakal muncul dalam program Sembang Sahur di TV3 menyifatkan penglibatannya sebagai satu ‘comeback’ yang bermakna. Pada usia 46 tahun, beliau mengakui kekal relevan hampir tiga dekad dalam industri seni bukan sesuatu yang mudah.
Menurutnya, sikap terlalu selesa dan berkira dalam bekerja adalah antara perkara yang perlu dielakkan jika mahu terus bertahan dan dihargai dalam industri.
“Untuk kekal dalam satu pekerjaan, apabila mendapat tawaran buat sehabis baik. Contohnya untuk buat kandungan, saya akan tekankan produktiviti dan sediakan semuanya. Dari situ orang akan nampak kesungguhan,” jelasnya.
Bagi Elly Mazlein, kunci utama kejayaan adalah bekerja dengan penuh keikhlasan dan tidak melakukan sesuatu secara sambil lewa.
“Tip pertama, kena kerja betul-betul dan jangan separuh jalan. Usaha buat yang terbaik,” katanya.
Kisah Elly Mazlein ini menjadi inspirasi buat wanita Muslimah bahawa menjaga hijab dan prinsip hidup tidak pernah menghalang rezeki, malah membuka ruang kepada keberkatan, ketenangan dan kejayaan yang lebih bermakna.
BACA LAGI : Omei Dok Oh Kak Lina, Agitchu!- Ramai Tertawan Bila Elly Mazlein Berhijab Di Hari Bahagianya