Kecantikan

Elak Wajah Tua Sebelum Usia & Rawat Jerawat, Banyak Manfaat Minyak Ikan Untuk Kecantikan

Share

Minyak ikan mampu menjadikan kulit sihat, licin dan lembut kerana ia mengandungi asid lemak omega-3. Walau bagaiamanapun bagi mendapatkan kulit wajah yang sihat dan cantik melalui amalan pengambilan minyak ikan, ia mesti diambil (makan) mengikut dos yang disyorkan.

Menurut kajian yang dilakukan di American Academy of Dermatology, pengambilan minyak ikan yang berlebihan boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit. Minyak ikan juga harus diambil secara oral, bukannya disapu terus pada kulit.

Photo by Pietro Jeng from Pexels

Berikut beberapa kebaikan dan manfaat pengambilan minyak ikan untuk kecantikan. Ia boleh diperolehi dengan mengambil minyak ikan secara berkala.

WAJAH LEBIH AWET MUDA
Asid lemak yang terkandung dalam minyak ikan dapat mengurangkan kesan penuaan pramatang akibat cahaya matahari. Tanda-tanda penuaan awal ialah seperti kulit berkedut, bintik-bintik hitam dan garis-garis halus pada kulit wajah. Sebaiknya mulakan pengambilan suplemen minyak ikan seawal mungkin untuk kesan jangka masa panjang.

MEMELIHARA KELEMBAPAN KULIT WAJAH
Kulit adalah organ terbesar dalam tubuh manusia. Kandungan asid lemak Omega-3 yang terkandung dalam minyak ikan membantu untuk melembapkan kulit dari dalam. Ia juga memperbaiki fungsi lapisan pelindung kulit, mencegah kemerahan, dan mencegah kegatalan pada kulit.

Photo by Ekaterina Bolovtsova from Pexels

MEMPERBAIKI KEADAAN KULIT BERJERAWAT
Makanan kaya omega-3 seperti minyak ikan dapat membantu mencegah atau mengurangkan jerawat. Beberapa kajian menunjukkan perubahan keadaan kulit yang mengalami masalah jerawat setelah pesakit mengambil Omega-3, dengan atau tanpa makanan tambahan yang lain.

MEMBANTU MENYUBURKAN RAMBUT
Kandungan asid lemak Omega-3 dalam minyak ikan terbukti baik untuk kesuburan rambut. Nutrien ini dapat membantu merangsang pertumbuhan rambut dan mengurangkan keguguran rambut. Oleh itu bagi mereka yang mengalami masalah rambut gugur, anda boleh mula amalkan pengambilan suplemen minyak ikan.

Photo by Element5 Digital from Pexels

MENCEGAH ALAHAN PADA KULIT 
Banyak kajian juga menunjukkan bahawa asid lemak Omega-3 dari minyak ikan juga mempunyai sifat anti-radang. Bagi mereka yang sering mengalami masalah kulit, anda boleh amalkan makan minyak ikan untuk penjagaan kulit jangka masa panjang.

MELINDUNGI KULIT DARIPADA ALAHAN KESAN DARIPADA PENDEDAHAN CAHAYA ULTRAVIOLET
Asid lemak omega-3  mampu melindungi kulit daripada alahan yang disebabkan oleh pendedahan sinar UVA dan UVB yang berlebihan. Penyelidikan menunjukkan bahawa kandungan omega-3, DHA, dan EPA dalam minyak ikan mampu mengurangkan tahap kepekaan kulit terhadap sinar UV. Kesannya, kulit akan kekal muda lebih lama.

MEMBANTU MENURUNKAN BERAT BADAN
Makanan tambahan seperti minyak ikan bermanfaat untuk kesihatan jantung terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan. Pengambilan minyak ikan dan diet yang tepat dapat membantu mengurangkan lilitan pinggang dan nisbah pinggang ke pinggul. Buat mereka yang sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan, cubalah mulakan pengambilan minyak ikan dalam diet harian anda.

Photo by i yunmai on Unsplash

MENURUNKAN RISIKO KANSER KULIT
Kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan yang kaya dengan Omega-3 seperti minyak ikan dapat mengurangkan risiko barah kulit. Beberapa jenis masalah kesihatan kulit seperti dermatitis atopik dan psoriasis juga dapat diatasi dengan mengambil minyak ikan.

HIJABISTA: Jangan hanya fokus pada produk penjagaan kulit wajah sahaja. Untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat dan cantik, amalkan makan makanan yang kaya dengan nutrisi. Buah-buahan yang kaya dengan vitamin E, kacang soya, sayur-sayuran hijau, atau ikan berlemak seperti ikan tenggiri dan salmon sangat baik untuk kulit.

Sumber kredit: Top image: Pexels.com dan Canva

IKLAN