Dalam hati setiap insan tipulah tidak ada rasa ingin disayangi, dicintai dan mahu memiliki keluarga bahagia.
Fitrahnya, manusia memerlukan pasangan dan hidup berkeluarga serta mempunyai anak-anak. Penyatuan dua insan yang bergelar suami isteri akan mengukuhkan ikatan perkahwinan dan kasih sayang yang menjadi matlamat hidup bersama.
Namun bukan semua orang mudah jodohnya. Janganlah kita memandang serong kepada rakan-rakan atau saudara-mara yang masih belum bertemu jodoh.
Kita tidak berada di tempat mereka. Sebaliknya doakan semoga mereka cepat bertemu jodoh dengan insan yang baik pekerti dan bertanggungjawab.
Tok Abah, saya sudah lama single. Umur pun dah lanjut juga ni. Tipulah kalau saya tak risau. Cuma itulah, jodoh tak sampai-sampailah Tok. Apa saya perlu buat?
Ads
JAWAPAN:
Semua orang ada jodoh ataupun pasangan yang menanti. Biasanya ia berada tidak jauh dari kamu. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.
Kamu perlu ingat bahawa jodoh ini ketentuaan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh. Pastikan niat kamu betul.
Maksudnya berumah tangga bukan setakat memenuhi kesunyian kamu tetapi kamu mula melihat ia sebagai proses mendidik, menjaga dan memberi kehidupan pada pasangan kamu nanti.
Di situ baru kamu nampak besarnya tanggungjawab dan amanah yang kamu pikul itu akan jadikan kamu lebih ikhlas dan bersungguh nak memperoleh pasangan.
Ads
Ramai orang masih belum bertemu jodoh sebab mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga kamu bertemu jodoh.
Usaha bagaimana? Iaitu kamu perlu seimbangkan hidup kamu dengan sempurna. Jadi diri yang penuh dengan ilmu rumahtangga dan punya pegangan agama yang kukuh.
Kamu kelak akan menjadi magnet yang menarik orang yang sama ciri kebaikan yang kamu ada juga.
Lelaki baik untuk perempuan yang baik, bukan?
Mulai sekarang, kamu jangan terlalu risau. Fokuskan sahaja untuk mensucikan diri, buat kebaikan dan amal yang soleh. Hati kamu akan menjadi murni.
Ads
Dan disitulah ada daya tarikan yang sebenar. Kamu akan mula sedar, diri kamu jadi lebih baik. Dan orang di sekeliling juga nampak kebaikan yang kamu pamerkan.
Tahu-tahu jiran sebelah suka dengan kamu, terus dia telefonnya saudara mara dia ke untuk dijodohkan ke kamu. Siapa tahu, bukan?
Semoga jawapan Tok Abah ini memberi manfaat buat kamu ya. Jodoh dan ketentuan, semuanya dalam rahsia Allah SWT.
Pengurusan jenazah bukanlah suatu perkara baharu. Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah dan wajib disempurnakan sebelum jenazah itu dikebumikan. Bahkan dalam anutan lain sekalipun, pengurusan jenazah adalah sebagai penghormatan terakhir bagi orang yang hidup kepada orang yang telah meninggal dunia.
Semua orang bakal berdepan situasi ini jika ada ahli keluarga, saudara-mara mahupun tetangga yang meninggal dunia. Namun begitu, dalam musim banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di seluruh negara, situasi pengurusan jenazah ini agak sukar untuk disempurnakan.
Bencana banjir yang melanda beberapa tempat di negara kita baru-baru ini memang meruntun hati pelbagai pihak. Ramai mangsa banjir yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah kerana bencana alam tersebut. Bukan sahaja diuji dengan kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda, malah ada antara mereka yang diuji dengan pemergian insan tersayang.
Ketika berada dalam situasi ini, satu perkara yang sering menjadi tanda tanya adalah bagaimana cara mahu menguruskan jenazah di kawasan yang masih dilanda banjir.
Salah seorang penceramah bebas iaitu Ustazah Asma Harun, yang banyak berkongsi kemusykilan soal jawab agama tidak terlepas untuk mengulas mengenai isu ini. Ustazah Asma’ telah tampil memberikan pencerahan menerusi satu perkongsian di Facebook baru-baru ini.
Fardu kifayah
Memetik coretan Ustazah Asma’, menguruskan jenazah semasa banjir adalah satu kewajipan dan ia termasuk dalam fardhu kifayah bagi masyarakat di sesuatu tempat. Kewajipan itu hanya akan terangkat apabila ada sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut.
Ijma’ Ulama bersepakat bahawa setiap individu yang TIDAK mati dalam keadaan syahid atau berada dalam ihram WAJIB bagi mereka diuruskan dengan empat perkara ini:
Berikut adalah penjelasan dan huraian Ustazah’ Asma mengenai empat perkara tersebut:
#1 Memandikan jenazah
Dalam situasi banjir, dibolehkan bagi seseorang menggunakan air banjir untuk memandikan jenazah. Urusan memandikan jenazah lebih utama diuruskan oleh orang yang sama jantinanya, jika tidak ada maka diharuskan yang berlainan jantina menguruskannya.
Sekiranya pusat penempatan banjir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi atau air hanya cukup untuk keperluan asas sahaja seperti air minum, jenazah boleh ditayamumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah. Orang yang menguruskan jenazah tersebut perlulah menekap atau menepuk tanah dengan tangannya, kemudian menyapu ke bahagian muka dan kedua tangan jenazah tersebut.
Tambahnya, keadaan darurat dan situasi sulit seperti banjir yang menyebabkan simpanan air bersih perlu digunakan untuk keperluan-keperluan asas yang lain seperti air minum menjadikan tayammum dijadikan rukhsah atau keringanan oleh syara’.
Maksudnya: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu).” (Surah al-Maidah: 6)
#2 Mengkafankan jenazah
Kafan yang dituntut oleh syarak adalah kain putih yang mencukupi untuk menutup aurat jenazah. Sunat tiga lapis kain putih bagi jenazah lelaki dan lima lapis kain putih bagi wanita. Sekiranya menghadapi kesukaran menyediakan kain kafan yang mencukupi atau yang bewarna putih ketika di dalam situasi banjir, dibolehkan untuk mengkafankan jenazah sekadar untuk menutup jenazah sahaja.
Maksudnya: “Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih kerana ia adalah sebaik-baik pakaian dan kafankanlah yang mati di kalangan kamu dengannya.” (HR Tirmizi, hadis Sahih)
#3 Sembahyang jenazah
Gambar sekadar hiasan
Jenazah yang telah dikafankan, wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan.
Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda atas kematian al-Najasyi lalu baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali takbir.”
(HR Muslim, Hadis Sahih)
#4 Mengebumikan jenazah
Jenazah yang sudah disolatkan wajib dikebumikan di kawasan perkuburan yang telah disediakan oleh pihak berkuasa. Sekiranya tidak dapat diuruskan, dinasihatkan untuk menghubungi pihak yang bertanggungjawab bagi menguruskannya. Sekiranya tidak berjaya, maka perlu dilakukan perkara-perkara berikut:
Dikebumikan di mana-mana kawasan atau tanah yang boleh didapati. Setelah banjir surut, jenazah tersebut perlu dipindahkan oleh pihak berkuasa agama negeri ke tanah perkuburan yang disediakan sekiranya diperlukan. Atau;
Menyimpan jenazah di tempat yang sesuai dalam suatu tempoh yang dirasakan tidak akan membusuk sehingga banjir reda dan dikebumikan setelah itu. Atau;
Menghanyutkan jenazah dengan harapan agar ada orang yang menguruskan jenazah itu ketika menemuinya. Atau;
Melakukan apa-apa alternatif lain untuk mengelakkan bau yang tidak menyenangkan dan memudaratkan orang awam.
MasyaAllah, semoga perkongsian Ustazah Asma’ ini dapat dimanfaatkan oleh semua. Buat yang sedang diuji dengan musibah banjir, semoga diberi kekuatan dan dimudahkan segala urusan. Amin.
Kadangkala bila hidup terlihat serba sempurna, itulah waktu dimana kita sering alpa dan semakin menjauh dari yang maha esa! Itulah juga apa yang dialami oleh usahawanita yang juga pengasas Mutyara, Tya Arifin.
Menurutnya, meski dikurniakan segalanya dalam kehidupan, namun dia tetap mempunyai ruang kosong dalam diri yang sering meminta untuk diisi.
Justeru, tidak mahu menjadi hambaNya yang kufur nikmat, ibu kepada dua anak ini mendedahkan, dia mula memikirkan secara mendalam soal rohani selepas melihat perubahan suami yang kian mendalami ilmu agama Islam.
Tak Mahu Kufur Nikmat
“Sebab terbesar saya memutuskan untuk menutup aurat ialah saya mahu berhijrah. Alhamdulillah Allah telah berikan saya pelbagai nikmat, keluarga, anak-anak dan perniagaan yang berjaya walau berhijrah dari Palembang ke Malaysia.
“Apa lagi yang Allah tidak kurniakan? Saya tidak mahu jadi wanita dan hamba yang kufur nikmat.
“Allah telah berikan lebih daripada apa yang saya minta, tapi sentiasa ada satu yang kurang. Saya berjaya menolong orang melalui perniagaan namun saya tidak mampu menolong diri sendiri.
“Dalam rumah tangga ada masa kita diuji dan ia menguatkan saya untuk berubah. Suami pula semakin dekat dengan ajaran Islam dan berubah menjadi lebih baik. Jadi tidak adil jika saya tidak mahu berubah.
“Allah sentiasa ada bersama saya di saat saya memerlukan pertolongan dan Allah berikan yang terbaik untuk saya. Sampai satu masa saya terfikir, Allah begitu baik dengan saya.
“Bila difikirkan ada satu titik yang belum dibuat iaitu saya tidak menjadi seorang Muslimah yang sempurna. Saya tidak menjadi hamba Allah yang baik,” ulasnya panjang lebar.
Jangan Lengahkan ‘Niat’ Untuk Buat Sesuatu Kebaikan
Tegasnya, jika terbit niat untuk berbuat baik dan memakai tudung, cuba segerakan niat.
“Sebelum ini saya fikirkan manusia yang bertudung dan menutup aurat ialah perkara biasa. Saya fikirkan untuk berhijab, nanti dahulu, akan datang hidayah.
“Saya mahu baikkan hati dahulu. Tapi sekarang saya fikirkan, alangkah baiknya andai saya cepatkan keputusan ini dahulu.
“Saya juga sedar saya tidak mahu suami menanggung dosa dan Prof Muhaya juga banyak menasihati saya mengenainya.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada orang sekeliling. Hijrah ini kerana saya dan Allah, Allah terlalu baik dengan saya. Saya tidak mahu menjadi contoh yang tidak baik kepada pengikut.
“Saya mahu menjadi ibu yang baik kepada anak-anak, isteri yang baik untuk suami dan contoh yang baik buat peminat kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada orang lain,” katanya lagi.
Tiga Tips Untuk Wanita Yang Mahu Berubah
Akur akan trend selebriti membuka hijab, jelasnya dia perlu mengawal diri sendiri agar dapat terus istiqamah dengan perubahan.
“Dalam dunia ini ada dua, perkara yang boleh dikawal dan tidak boleh dikawal. Kita boleh mengawal diri sendiri dan tidak mampu mengawal orang lain.
“Jadi sangat penting untuk saya tahu, saya mampu mengawal diri sendiri. Jika kita mahu fikir mengenai orang tidak sukakan kita, kita akan penat.
“Penghijrahan saya satu proses yang sangat panjang, selama 25 tahun baru saya mendapat hidayah dan tidak semudah itu untuk terus berubah.
Dia turut berkongsi tiga tips kepada wanita lain yang turut punyai rasa untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Pertama berubah kerana Allah, kedua kena cepat membuat tindakan, jika mahu memakai tudung, terus segerakan. Dan ketiga, yakin kepada rezeki yang Allah tetapkan,” titip Tya.
Untuk rekod, tatkala berkongsi kisah hijrahnya, pelakon dan usahawan Tya Arifin merasa sebak kerana pada mulanya dia langsung tiada perancangan untuk berhijab, namun Februari 2020 merupakan titik perubahan terindah dalam kehidupanya!
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Tanggungjawab dan tugas wanita memang besar. Apatah lagi jika seorang wanita itu bergelar isteri dan seoarang ibu. Tanggungjawab yang dipikul semakin bertambah apabila perlu menguruskan hal rumah, suami serta anak-anak dan dalam masa yang sama turut bekerja demi membantu si suami.
Tidak hairanlah jika ada wanita yang beremosi sepanjang hari akibat kelelahan melaksanakan tanggungjawab mereka. Sebenarnya, tanggungjawab ini boleh menjadi ringan sekiranya si suami membantu isteri menguruskan hal-hal ringan seperti menjaga anak, mencuci pinggan dan lain-lain lagi.
Emosi seorang wanita ini sentiasa berubah. Bila sudah terlalu penat, pasti ada sahaja perkara yang tidak dikena pada pandangan mata. Mulalah marah tidak tentu pasal. Sebagai seorang suami, lelaki sepatutnya selalu bertanya tentang keadaan isteri dan fahami emosinya.
Seperti yang dikongsi oleh Abu Hurairah Asifa di Facebooknya tentang emosi wanita bila penat. Menurutnya, pasti segala sikap dan perangai akan keluar dan membaham si suami. Jadi, sebagai suami, anda perlu sabar melayan kerenah mereka.
Ini perkongsiannya. Semoga bermanfaat untuk semua suami di luar sana. Fahami emosi isteri anda dan jangan anda pula yang marah-marah hingga akhirnya bergaduh suami isteri.
Foto: Facebook Abu Hurairah Asifa
Saya pakai baju macam biasa.
Isteri nampak terus tanya..
“kenapa pakai baju tu?”
Saya tengok baju yang saya pakai. Ya! Saya sedang memakai baju. Apa salah baju ni. Ini kan baju yang biasa saya pakai? Saya tanya diri. Buruk padahnya kalau tanya isteri.
“Oh, takpe. Abang pakai baju lain ek”
‘Takyah lah. Pakai je baju tu’
Baik. Baru nak buka sarung balik.
Foto: Facebook Abu Hurairah Asifa
“Bagi sup tulang dan nasi satu!”
Order di kedai makan.
‘Kenapa order sup tulang je? Cuba abang makan lain plak!”
Allahu, nak makan pun tanya lagi.
“Kalau camtu, abang tukar makan lain lah ya”
‘Tak yah. Susah plak nak tukar-tukar. Makan je’
Bergetar rasa iman. Terbayang syurga yang akan di diami. Terasa burung-burung turut menyanyi supaya kurang rasa nak kakikan isteri.
Sebelum tidur, isteri diam di hujung tv.
Ni kalau pejam mata terus, memang mimpi ngeri. Baik tanya dulu, walau berhadapan saat ni, Allah je yang tahu sukarnya nak hadapi.
Foto: Facebook Abu Hurairah Asifa
‘Saya tidur dulu ya’
Sambil hulur tangan pada isteri.
“Tidur je tahu”
Allahu, dah malam tidurlah sayang. Nak main teng-teng ke?
Saya duduk depan isteri. Saya lihat wajahnya. Saya tatap matanya. Saya tak usik apa-apa walau tangannya.
Saya cuma kata,
“Abang ni lelaki. Lelaki yang suami. Banyak perkara yang boleh abang hadapi, tapi abang memang lemah untuk menghadapi isteri. Kalau ada terasa, abang minta maaf. Kalau ada tak cukup, mintalah. Abang akan usaha. Kalau semua tak sempurna, doakan itu pada Tuhan kita”
Isteri perlahan-lahan pegang tangan.
Meletakkan kepala di bahu.
‘Maafkan saya. Saya penat..’
Ya, hanya itu sebenarnya isteri kita. Dia penat.
Foto: Facebook Abu Hurairah Asifa
Orang perempuan, bila emosinya penat, maka segala sikap dan perangainya akan keluar dan membaham suaminya.
Kadang suami mampu diam.
Kadang suami tak faham.
Kadang suami tak tahan, lalu keluar dan tinggalkan.
Sebab itu, kita lah yang kena hadapi mereka. Kita lah yang kena dengar mereka. Kita lah yang kena sabar dan kebal hal ni.
Jika tidak, kaum isteri yang penat inilah yang akan memenuhi ruangan page KRT dan segala keluh kesah di fb.
Foto: Facebook Abu Hurairah Asifa
Sungguh,
Rumahtangga benar ujian. Ujian yang membuatkan suami dan isteri akan sangat dekat dengan Tuhan.
Mempesona, solekan Nabila Razali yang mendapat sentuhan MUA Indonesia dipuji, ini caranya nak cipta Angelic Makeup Look yang tengah trending sekarang.Nabila Razali tampil anggun...