Bermula 10 Julai 2020, Hari Jumaat Diumum ‘Hari Jawi,’ Ayuh Hijabi Mahirkan Tulis/Baca Jawi

Share

Bermula 10 Julai 2020, hari Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata, usul ini dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli jemaah menteri.

“Kerajaan serius memartabatkan tulisan Jawi. Saya menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi bermula 10 Julai 2020.

Datuk Seri Dr Zulkifli berkata, penggunaan tulisan Jawi juga akan turut diperluas meliputi penyampaian maklumat menerusi platform media sosial rasmi agensi di bawahnya.

Katanya, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta itu menyatakan tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Pada tahun lepas, tular di twitter mengenai pelajar di Osaka Jepun yang teruja mempelajari tulisan jawi.

Ramai yang memberikan komen positif apabila melihat kesungguhan pelajar-pelajar Jepun ini. Sehingga kini, tweet ini telah mendapat lebih daripada 15 ribu ulang kicau di Twitter.

 

Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) menyokong penuh keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan.

Katanya, keputusan kerajaan itu memberikan ruang untuk tulisan Jawi, diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun, sebelum tulisan Rumi diterima sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan.

Awang Sariyan berkata, dalam zaman Kesultanan Melayu selama ratusan tahun, tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang, seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan susastera (prosa dan puisi), malahan dalam bidang diplomasi.

“Surat dan perjanjian antara kerajaan di Alam Melayu dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris, ditulis dengan Jawi. Tulisan Jawi dan bahasa Melayu diterima oleh semua bangsa, hatta semasa penjajahan Inggeris. Oleh itu, tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum tertentu, untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau yang juga Penyandang Kursi Za’ba Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, sebagai usaha awal untuk memasyarakatkan tulisan Jawi perlu digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan dan pejabat, serta dokumen di samping tulisan Rumi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya, mengumumkan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ bermula hari ini, dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan, yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Katanya, tulisan Jawi diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Sumber kredit: Sinar Harian, Harian Metro dan twitter @HananAfiqa

IKLAN