Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini antara yang terkesan ialah kucing jalanan. Banyak restoran dan gerai makan ditutup. Keadaan ini menyebabkan haiwan-hawain comel ini hilang ‘punca makanan.’

Di saat masing-masing sibuk membeli stok makanan, makhluk yang satu ini jangan dilupa. Mereka juga perlukan sumber makanan untuk meneruskan kehidupan. Tak salah kita berkongsi rezeki, seperti yang dilakukan oleh anggota Polis ini.

IKLAN

“SAYA kasihan melihat kucing itu berlari ke arah kami dan mengiau seolah-olah mahu beritahu mereka lapar,” kata anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Lans Koperal Isam Bohari, 29.

Isam berkata, naluri menyayangi kucing mendorongnya meluangkan sedikit masa untuk membeli dan memberi makan kepada lebih 20 haiwan terbiar itu di Teluk Batik, Lumut, 10 pagi hari ini.

Menurutnya, ketika itu, dia bersama dua lagi rakan setugas, Lans Koperal Wan Adzlan Wan Ramli dan Lans Koperal Zulhelmi Razani menjalankan rondaan di pantai awam berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

IKLAN

“Kami lihat semua kucing di situ seperti lapar dan tak sampai hati melihatnya dan sanggup ke kedai serta beli makanan untuk diberikan kepada haiwan itu.

“Semua kucing nampak berselera hingga dua kali makanan ditambah dan setiap kucing diberikan makanan sendiri serta dijarakkan kedudukannya kerana tidak mahu mereka berebut makanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, gambar dan kisah anggota berkenaan memberi makan kepada kucing terbiar dikongsi seorang individu di Facebook (FB).

Hantaran itu mendapat reaksi positif netizen yang memuji serta menzahirkan rasa terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan itu atas tindakannya.

Dia mengambil tindakan itu kerana menyedari haiwan berkenaan mungkin sukar mendapatkan makanan berikutan tiada kedai dibuka dan Teluk Batik sudah tidak dikunjungi pelawat susulan PKP.

“Saya pencinta kucing dan sebelum ini juga selalu bawa makanan (untuk diberikan kepada kucing terbiar), tetapi hari ini saya terlupa nak bawa sekali, sebab itu rasa kasihan melihat kucing itu.

“Saya tak tahu cerita itu (bagi makan kepada kucing Teluk Batik) dikongsi di FB, tetapi bagi saya, ini cara berkongsi rezeki,” katanya yang turut mempunyai tujuh kucing di rumah.

Sumber kredit: Harian Metro dan Muhamad Syafiq Samad (gambar)