Cara mudah dan murah hendak hilangkan parut jerawat, siapa yang tak nak bukan? Bajet kena jaga juga sebab kos untuk rawat parut jerawat bukannya murah. Sebab itulah penting untuk hijabi semua ambil masa untuk membelai wajah supaya kulit wajah kekal terjaga.

Memang parut jerawat boleh menjejaskan kecantikan wajah seorang wanita. Sebab itu hijabi kena rawat parut jerawat supaya kulit kembali berseri. Berikut tip bajet dan murah untuk menghilangkan parut dengan bajet rendah.

MINYAK KELAPA
Lebih mujarab jika anda gunakan minyak kelapa dara. Sapukan pada parut dan dibiarkan begitu saja. Amalkan sehingga parut hilang. Jika kulit anda jenis berminyak, elok jangan guna cara ini terutamanya pada muka. Takut nanti semakin banyak jerawat yang tumbuh. Amat sesuai untuk mereka yang berkulit kering.

SAPUAN GULA TEBU ORGANIK
Anda boleh buat sendiri sapuan gula ini dengan menggunakan gula tebu organik asli yang boleh dibeli di pasar raya. Campurkan gula tersebut dengan minyak zaitun dara dan lumatkan supaya menjadi seperti losyen. Titik sedikit jus lemon supaya ia basah sedikit. Sapu atau lurut pada parut dan biarkan selama 15 minit kemudian basuh dengan air bersih.

 

UBI KENTANG
Potong nipis ubi kentang. Sapu kepingan kentang nipis tadi perlahan-lahan pada parut. Kemudian, biarkan selama 15 minit sebelum basuh dengan air bersih. Buat sekali sehari sudah memadai.

TIMUN
Hiris nipis kepingan timun dan urut pada kawasan parut perlahan-lahan. Amalkan selalu dan lihatlah hasilnya. Untuk sensasi yang menyegarkan anda boleh menyimpan kepingan timun terlebih dahulu ke dalam peti sejuk sebelum digunakan.

SERBUK PENAIK
Ambil tepung penaik, campur dengan sedikit air dan kacau supaya jadi seperti losen. Kemudian, sapukan pada kawasan parut dan urut perlahan-lahan. Biarkan sapuan losen kering pada kulit wajah sebelum dibersihkan dengan air suam. Amalkan dua atau tiga kali seminggu.

 

KAYU MANIS 
Tumbuk atau kisar sedikit kayu manis sehingga menjadi serbuk. Tambahkan dengan sedikit air kemudian sapukan pada bahagian kulit yang berparut. Untuk hasil yang lebih berkesan, tambahkan sedikit bedak sejuk.

KACANG HIJAU
Ia mempunyai khasiat tersendiri dalam rawatan kulit wajah. Caranya, kisar kacang hijau sehingga menjadi serbuk. Campurkan dengan sedikit air dan sapukan ke kawasan kulit yang berparut. Amalkan setiap hari untuk melihat hasilnya. Serbuk kacang hijau ini juga boleh dijadikan masker untuk merawat kulit wajah berjerawat.

LIDAH BUAYA
Ia mempunyai kebaikan tersendiri untuk merawat kulit yang berparut. Anda hanya perlu sapukan lendir daun lidah buaya pada bahagian kulit berparut. Biarkan kering kemudian baharulah dibersihkan dibersihkan dengan air biasa. Amalkan setiap hari. Hasilnya pasti mengejutkan.