Untuk istiqomah di jalan Allah itu memang banyak dugaannya. Tiada siapa yang mengatakannya mudah. Namun untuk tersungkur itu sangat senang jika kita tidak kuat berusaha menjaga iman kita.

Bagi sama-sama memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, marilah kita dengar nasihat daripada selebriti terkenal iaitu Heliza Helmi. InsyaAllah, niat baik kita akan dipermudahkan olehNya.

Niatkan untuk berikan kebaikan pada semua orang, bukan hanya diri sendiri sahaja.

“Sewaktu perjumpaan usrah fitrah yang kedua dahulu, ustaz yang mengajar kami mengajar agar sentiasa membuat niat yang betul. Contohnya, ketika hendak keluar rumah. Para ulama dahulu bukan hanya menumpukan pada satu niat tetapi hinggakan 50 niat agar dapat memberikan yang terbaik pada orang lain juga.

“Setiap yang dilakukan berdasarkan niat kita. Lagi banyak niat kita, lagi Tuhan akan permudahkan. Pengaruh rakan juga sangat penting. Jika kita bersama dengan rakan yang suka maki hamun, lama-lama kita akan terikut juga.

Jangan pernah bandingkan diri kita dengan orang lain. Bersyukurlah!

“Firaun dahulu pun hampir cair dengan dakwah Nabi Musa tetapi dek kerana mendengar nasihat daripada penasihat yang negatif, hasratnya itu terus terbatal. Jadi, itulah pentingnya kita bersama dengan rakan yang boleh buatkan kita ingat pada Allah.

“Kita juga kalau boleh pergilah ke majlis ilmu. Boleh tengok video di YouTube tapi kita kena tapis tahu mana yang betul ajarannya. Sebaiknya pergi ke kelas. Menghadiri kelas agama ini seperti berada di taman-taman syurga. Beribu malaikat yang akan mendoakan kita. Tidur pun tidak mengapa jika tidak larat sangat.

“Terakhir, bersyukurlah. Jangan bandingkan dengan orang lain. Bila kita beryukur Tuhan akan tambah lagi nikmat. Doa pada Tuhan agar terus kekal istiqomah. Kak Ja juga ada melalui struggle. Orang lain juga ada struggle yang tersendiri. Cuba kita senaraikan apa yang kita mahu ubah dalam hidup kita agar lebih mudah untuk capai sasaran,” jelasnya sebelum menutup bicara.