Sebagai seorang muslim, pastinya memasuki syurga menjadi impian kita di akhirat nanti. Tiada siapa pun yang mahu melangkah ke neraka.

Sebenarnya, seorang wanita terutamanya yang telah menjadi seorang isteri sangat mudah untuk masuk syurga dan dia mudah juga untuk dimasukkan ke dalam neraka. Jadi, setiap perlakuan dan amalan yang kita lakukan akan diambil kira untuk menentukan sama ada kita layak atau tidak berada di dalam syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang dia suka (mengikut pilihannya).”
– Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani

IKLAN

Melalui hadis di atas, sudah jelas bahawa Allah Taala telah memberi peluang yang besar kepada kaum wanita untuk mendapatkan syurga. Namun, ada syaratnya. Ini ada 4 perkara yang golongan isteri perlu tahu.

1. Mendirikan Solat Lima Waktu
Solat menjadi tembok daripada kita melakukan perkara yang kufur. Dirikanlah solat untuk mendekatkan diri dengan Allah serta menjauhi segala perbuatan laranganNya.

2. Berpuasa Di Bulan Ramadan
Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan kewajipan bagi semua umat Islam. Wanita yang taat adalah wanita yang melakukan ibadah ini dengan penuh keikhlasan.

3. Menjaga Maruahnya
Wanita yang menjaga maruahnya merupakan wanita yang sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang melindunginya dari kemurkaan Allah. Menjaga maruah termasuklah sentiasa menutup aurat dan menjaga perhiasan diri, tidak berlebihan dan berwangian hingga menimbulkan fitnah. Isteri solehah juga akan sentiasa menjaga pergaulan dan menjaga lidah daripada mengumpat dan berkata buruk tentang orang lain.

4. Mentaati Perintah Suami
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.”
– Hadis Riwayat Thabrani

Wanita yang baik adalah yang sentiasa menuruti segala perintah suami. Perintah suami wajib dipatuhi selagi ia tidak melampaui batasan agama. Wanita solehah akan memperoleh pahala dan jaminan syurga jika sentiasa diredhai oleh suaminya.

SUMBER: tazkirah.net