Hidayah Allah itu hadir tanpa diduga dan tidak mengira siapa insan yang akan dipilih menerima-Nya. Bersyukurlah siapa yang menerima Nur dari-Nya kerana Dia Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Bagi selebriti Sharifah Sofia Syed Hussein, 33 tahun, bersyukur kerana dirinya terpilih untuk menerima hidayah Allah walaupun sudah enam tahun berlalu.

Hijabista mengatur sesi fotografi dengan pelakon sitkom popular Spanar Jaya ini yang nyata masih cantik dan peramah seperti dulu ketika masih bergelar seorang pelakon.

Dia yang wajahnya sudah lama tidak muncul di kaca televisyen, kini memilih untuk bekerja sebagai seorang Program Koordinator untuk satu Conservation Group Company atau dikenali dengan nama Syarikat Pencinta Alam.

Lama tak muncul di kaca televisyen atau media massa lain.

Ada masanya memang rasa up and down

Walaupun sudah enam tahun berhijab, tetapi Sharifah Sofia begtu teruja apabila ditanya pengalamannya dalam penghijrahan yang dilakukan.

“Ketika saya mula berhijrah tujuh tahun dulu, anak saya baru berusia setahun lebih. Penghijrahan ini bukanlah benda yang saya sudah fikirkan lama-lama. Atau benda yang tiba-tiba berlaku disebabkan saya nampak cahaya di mana-mana. Saya juga tidak mengalami apa-apa mimpi sebagai petanda seperti sesetengah orang.

“Tapi hidayah itu datang bila saya tiba-tiba bangun pagi dan terus rasa nak pakai tudung. Dan bermula pada hari itu saya sudah mula berhijab. Sepanjang tempoh itu saya tak nafikan ada masanya agak down disebabkan tiada sokongan dari pihak lain,” ungkapnya memulakan perbualan.

Memang sudah lama terfikir untuk berhijrah.

Menurut Sofia juga jika tiada dorongan memang boleh menyebabkan semangat menjadi drop. Tetapi cepat-cepat akan diisi dengan pergi ke kelas atau majlis ilmu untuk meningkatkan lagi iman dan hubungan dengan Allah.

“Tapi yelah iman kita ibarat roller coaster ada masanya memang up and down. Tetapi kita yang harus bijak menanganinya untuk memastikan diri kekal istiqomah. Ketika mula-mula saya berhijab dulu, bukan keluarga yang mendorong. Malah ada antara family yang tak nak cakap dengan kita pun bila tahu diri sudah berhijab.

“Ada yang menjauhkan diri sebab dia tidak tahu apa sebabnya orang nak pakai tudung. Jadi memang banyak dugaan semasa kita baru mula-mula bertudung. Malu juga ketika itu nak keluar rumah. Bukan itu sahaja, malah ada kawan-kawan yang menghilangkan diri dan ada juga yang mendiamkan diri.

“Memang banyak benda berlaku pada kita. Tapi rasa lega bila faham kenapa semua benda ini berlaku pada kita. Dia yang mengambil dan memberi apa yang Dia mahukan supaya boleh memberi kita pengajaran,” ujar Sofia menceritakan dugaan selepas berhijab.

Pernah rasa nak buka tudung

Namun begitu ada juga yang menaikkan semangat dan ada juga melunturkannya sehingga terasa malas untuk bangun dari katil menyempurnakan solat.

Tambah Sofia lagi, sepanjang berhijab ini juga dia mengakui pernah rasa untuk membuka tudungnya.

“Memang selalu juga kita rasa macam nak buka tudung. Sebab kita juga rindu pada benda-benda lama yang sering dibuat dulu. Termasuk kawan-kawan lama. Tetapi sebab-sebab tertentu yang tak boleh menentukan sebab apa kita nak bukak hijab. Jadi terus berteguhlah untuk memakainya.

Artikel Berkaitan: Nonny Nadirah Kongsi Detik Hijrah

“Bangun pagi pakai juga. Nak keluar rumah pun pakai jugak hijab. Walaupun terdetik dalam fikiran untuk buka hijab tetapi sampai sekarang alhamdulillah masih kekal bertudung. Biarpun sudah bertudung, tetapi fesyen kegemaran Sofia masih yang sama, sportshoes, jeans, t-shirt dan itu memang ‘fesyen’ Sofia dari dulu lagi.

“Dari dulu lagi kalau ada yang kenal Sofia, Sofia bukan jenis suka mengikut perkembangan fesyen atau macam trendy la. Mereka panggil Sofia, sporty Sofia sebab gemar pakai yang simple sahaja. Sofia memang bukan jenis stailista,” ceritanya lagi yang mengakui turut rindu untuk kembali berlakon.

Pada mulanya memang ada rasa nak buka tudung.

Rindu untuk berlakon

“Lebih lima tahun Sofia tak berlakon. Rindu dari segi pekerjaa itu, tetapi bab lain memang tidak. Terus terang Sofia memang jenis  tak mengejar populariti walupun bagi sesetengah orang bagus sebab bila orang jumpa kita tanya bila nak kembali berlakon. ‘You pelakon yang bagus’.

“Namun insya-Allah kalau jumpa story dan skrip yang bagus memang Sofia akan fikirkan untuk kembali ke dunia lakonan. Tetapi niat itu mestilah kerana Allah. Buat masa ini Sofia bahagia dengan apa yang Sofia lakukan, kehidupan ditemani dua anak perempuan yang comel dan bijak,” ujar Sofia yang selesa kini bergelar ibu tunggal. Namun dia juga turut berdoa pada Tuhan agar satu hari nanti diketemukan dengan Imam yang baik bukan sahaja untuk dirinya tetapi demi anak-anak.

Berhijab kerana Allah Taala

Biarpun masih baru dalam penghijrahan ini, tetapi Sofia turut menitipkan pesanan buat hijabi di luar sana bagaimana untuk kekal istiqomah dalam berhijab.

“Pesanan untuk mereka yang baru berhijab, bersabar dan bertabah. Pada mulanya nampak senang. Ada masa memang up and down. Banyak yang akan difikirkan bila kita sudah berhijrah. Banyak dugaan yang tidak akan kita jangka.

“Jadi bila berlaku perkara tidak sepatutnya, duduk sekejap dan fikirkan betul-betul kenapa kita bertudung. Ingatlah bila kita buat penghijrahan itu kerana untuk satu sahaja, iaitu Allah SWT. Perlu ingat berhijrah hanya untuk yang satu dan only Allah Taala,” jelasnya sebelum mengakhiri perbualan.

Pesannya buat hijabi lain untuk kekal istiqamah kerana berhijab ini banyak dugaannya.

KREDIT FOTO: YANTI SHARUDDIN