Ramai gadis sebenarnya tidak begitu kisah dengan pemilihan tudung, sama ada ia sesuai atau tidak dengan bentuk muka. Setiap individu dilahirkan dengan bermacam-macam-macam bentuk dan saiz muka yang berbeza.

Bila lihat kawan-kawan mengenakan stail tudung baru, anda pun mahu mencubanya. Tapi bila dah pakai, macam tak kena pula. Sebenarnya, anda perlu tahu bentuk muka anda terlebih dahulu sebelum mencuba satu stail itu.

1. Bentuk muka bujur

Gadis yang memiliki bentuk muka bujur sememangnya bertuah kerana bentuk mukanya dikatakan sempurna serta mampu menggayakan hampir semua stail tudung. Tidak kiralah shawl atau tudung bawal, material jenis chiffon, satin atau cotton, semuanya nampak cantik bila dipakai. Yang perlu dipertimbangkan adalah warna tudung. Pilih warna yang sesuai dengan tona kulit. Jangan main pakai sahaja.

 

2. Bentuk muka bulat

Gadis berwajah bulat dikatakan mempunyai masalah di mana kelihatan tembam atau berisi pada bahagian pipi. Terdapat beberapa tips untuk anda memakai tudung yang sesuai.

• Sekiranya anda memilih untuk memakai shawl, gunakan cekak yang lembut sebelum memakai anak tudung.

• Pilih anak tudung yang diperbuat daripada bahan yang lebih anjal agar dapat mengurangkan visual ukuran kepala.

• Shawl yang nipis juga digalakkan agar ukuran kepala tidak terlalu nampak.

• Pastikan shawl dililit tidak terlalu ketat untuk mengelakkan bentuk wajah yang bulat jelas kelihatan.

• Untuk wajah tampak bujur, pakai shawl dengan sedikit longgar dan lipat pada bahagian bawah tudung berhampiran tulang pipi. Pastikan juga shawl tidak melekap pada dahi anda.

 

3. Bentuk muka panjang

Sama seperti gadis berwajah bujur, bentuk muka yang panjang juga menjadi idaman para gadis kerana ia mempunyai dagu yang panjang. Jika anda bijak menggayakan tudung yang dipakai, orang lain pasti menyangka anda memiliki bentuk muka yang bujur. Fokus pada bahagian atas tudung.

• Gunakan tudung atau jenis anak tudung yang meleka di dahi supaa bahagian tersebut tidak kelihatan terlalu luas.

• Jangan tutup bahagian pipi kerana ia penting untuk ilusi wajah tidak kelihatan terlalu panjang.

• Pastikan anda menarik sedikit tudung ke belakang rapat di bawah rahang pipi dan tonjolkan rahang pipi agar bentuk wajah anda tersembunyi.

 

4. Bentuk muka segi tiga

Ciri utama muka berbentuk segi tiga adalah dagu yang panjang dan jarak pelipis lebih lebar dibandingkan dengan pangkal rahang.

• Gunakan tudung yang boleh ditarik sejauh mungkin ke belakang dan bertemu di tengkuk agar bahagian rahang nampak terbuka.

• Gunakan anak tudung seperti net supaya bahagian kosong di sebelah kiri dan kanan kelihatan lebih terisi.

• Gaya shawl paling sesuai adalah gaya pintalan atau gaya sanggul kerana ia dapat membuatkan bahagian rahang tampak lebih terbuka.

 

5. Bentuk muka petak

Gadis yang memiliki wajah ini boleh dilihat pada pangkal rahang serta tulang rahang yang lebar dan kawasan dagu yang kelihatan rata. Sekiranya anda tergolong dalam bentuk muka seperti ini, fokus utama apabila memakai tudung adalah untuk menyembunyikan bahagian rahang yang menonjol.

• Gunakan anak tudung untuk bentuk wajah yang lebih panjang.

• Pakai shawl dengan inner neck yang mempunyai lapisan menutupi bahagian bawah dagu.

• Pilih gaya selendang dengan fokus utama kepada lilitan dan yang dapat menutupi bahagian rahang.

• Elakkan memakai gaya selendang yang mempamerkan bahagian dahi yang luas seperti gaya turban.

• Tudung awning juga sesuai untuk gadis berwajah petak.