Bukan semua orang memerlukan tepat lapan gelas air sehari. Menurut kajian, seorang lelaki memerlukan lebih kurang tiga (3) liter air sehari manakala seorang perempuan memerlukan lebih kurang 2.2 liter air sehari. Maka pepatah 'minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari' bukanlah hanya air kosong sahaja. Ia termasuk apa sahaja cecair yang anda masukkan ke dalam badan.


Tetapi tidak boleh disangkal yang meminum air adalah penting untuk kesihatan alami kita. Air membantu membuang toksin dan hasil kumuhan dari dalam badan. Ia juga membantu perkumuhan dan juga melancarkan fungsi organ dalam badan. Minum air juga menghalang dehidrasi dan menjadikan kita tampak lebih muda dan segar.


Jadi bagaimana kita mahu dapatkan air yang mencukupi dalam sehari? Ikuti cara di bawah, 'hijabi style':



1. Minum segelas besar air pada setiap transisi aktiviti berikut sepanjang hari: mula-mula bangun tidur, sebelum tinggalkan rumah, tibanya di meja pejabat dan seterusnya.

 



 

 

2. Mudahkan kerja anda - pastikan meja pejabat anda terdapat sebiji botol minuman yang penuh dan capainya sepanjang hari.

 



 

 

3. Mahu lebih konsisten? Catat jadual. Buat satu jadual yang mempunyai lapan kotak untuk lapan gelas dan pastikan anda tandakan satu kotak selepas minum satu gelas air.


4. Tidak suka air kosong? Bekukan hirisan (buangkan kulit ya!) buah limau, lemon dan oren dan gunakan mereka bukannya ais - pasti segar dan juga membantu meningkatkan pengambilan serat buahan anda.

 



 

 

5. Sejurus selesai ke tandas, minum segelas besar air kosong untuk mengisi kembali 'kekosongan' cecair badan.


6. Apabila anda ingin minum jus buah-buahan, isikan setengah gelas tersebut dengan air kosong, tuangkan jus kemudian pastikan anda habiskan kesemuanya.

 



 

 

7. Bawa bekas air 2 liter ke pejabat dan habiskan kesemuanya sebelum pulang ke rumah. Jika tidak sempat, minum semasa berhenti di lampu isyarat atau tersekat di kesesakan lalu lintas.


8. Jangan hanya meminum minuman sejuk sahaja. Minumlah juga minuman panas. Secawan teh wangi pasti menggamit selera (pastikan ia tiada kafein kerana kafein 'menyedut' air dari badan).

 



 

 

9. Tambahkan 'minum' dalam rutin kecantikan anda - minum, cuci muka, sapu pelembap wajah dan minum sekali lagi. Pasti 'moist' kulit anda!


10. Bagi yang mahu berdiet, minum segelas air sebelum makan dan segelas lagi selepas makan. Anda pasti akan makan dalam kuantiti yang sedikit.
 

 



Mudah bukan? Pada permulaan ia mungkin leceh dan anda kerap terlupa tetapi sekiranya anda teruskan ia akan menjadi tabiat yang positif. Selamat mencuba! - hb