Setiap bulan, si gadis pasti akan didatangi haid. Darah haid adalah darah yang keluar akibat keruntuhan dinding rahim setiap bulan apabila tiada telur yang disenyawakan.

Menurut ulama, warna-warna darah haid ada lima iaitu hitam, merah, asyqar (warna di antara merah dan kuning), kuning dan keruh.

Semasa tempoh keruh atau kekuningan inilah ramai gadis yang keliru kerana ia kadangkala disangka keputihan atau darah istihadhah.

Dua tanda habis haid & dah boleh mandi wajib:

1. Kering & bersih

Tanda habis haid paling utama adalah faraj anda sudah benar-benar kering dan bersih. Tiada sebarang kesan kekuningan, kecoklatan atau kemerahan apabila anda mengesat abhagian faraj dengan kain atau tisu.

Jika warna putih kapas tidak berubah, segeralah mandi wajib dan mengerjakan solat. Namun, jika terdapat kesan merah, kuning, keruh atau coklat, tunggu sehingga ia benar-benar bersih.

 “Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih.” (HR Imam al-Bukhari)

2. Keluar cecair putih

Satu lagi tanda keluarnya cecair berwarna putih daripada faraj. Setelah keluar cecair putih ini, jika terdapat kesan merah, kuning atau coklat pada faaj, ia tidak lagi dikira sebagai haid.

Hukum sengaja melewatkan mandi wajib disebabkan haid

Sengaja melewat-lewatkan mandi wajib sehingga meninggalkan solat hukumnya adalah berdosa. Mandi haid hendaklah disegerakan sebaik sahaja darah kering.

Melewatkan mandi wajib hanya dibenarkan untuk satu waktu solat sahaja, itu pun hanya untuk kepastian sama ada haid sudah kering atau belum.

Contohnya:

Apabila kering darah pada waktu Zuhur, boleh ditangguhkan ke waktu Asar untuk memastikan ia benar-benar kering. Tetapi solat itu perlu diqada.

Amalan menambah pahala ketika haid

Sekiranya anda masih didatangi haid, anda boleh menambah pahala dengan melakukan amalan-amalan sunat. Antaranya:

1. Mendengar bacaan ayat Al-Quran

Oleh kerana wanita yang sedang haid tidak boleh membaca Al-Quran, gantikan bacaan Al-Quran yang dipasang di radio atau pemain MP3.

2. Membaca tafsir Al-Quran

Kaji dan cuba fahami isi Al-Quran melalui terjemahannya.

3. Berzikir

Basahkan lidah dengan zikir seperti tahmid, tasbih dan sebagainya.

4. Berselawat

Rajinkan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW

5. Hadir ke majlis ilmu

Tambahkan ilmu dengan menghadiri majlis ceramah atau sekadar mendengar melalui televisyen dan Youtube.

6. Beramal

Mudahkan hati untuk bersedekah atau membantu mereka yang memerlukan.

Kesimpulannya, segeralah mandi wajib dan jangan menangguhnya apabila haid sudah kering.  Semoga ilmu yang dikongsi ini memberi manfaat kepada anda semua.

SUMBER: FACEBOOK KOLEKSI SOAL JAWAB AGAMA