Sebelum ini pembaca setia bahan bacaan di bawah penerbitan Kumpulan Media Karangkraf hanya boleh dibaca dalam bentuk print, tetapi di masa depan mungkin boleh melihatnya di kaca TV.

Semalam Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) memeterai kerjasama strategik dengan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) bagi menghasil dan mengedarkan kandungan IP.

Jalinan kerjasama ini memberi fokus ke atas penggasilan keuntungan menerusi pemilikan kandungan di Malaysia dan Nusantara.

Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, kerjasama ini merupakan peluang terbaik untuk Karangkraf meluaskan pasaran Melayu ke peringkat lebih tinggi.

"Astro merupakan rakan strategik yang paling tepat untuk membantu memperluaskan kandungan harta intelek kami di pelbagai platform seperti televisyen, over the top (OTT) dan di ruang digital di Malaysia dan di negara-negara lain.

"Usahasama ini membolehkan kami memiliki ekuiti dalam pengusaan kandungan Melayu dengan aspirasi serantau serta mempelbagaikan perniagaan baru seterusnya memacu inovasi digital," katanya,

Beliau berkata, sebelum ini Karangkraf yang merupakan syarikat media Melayu terbesar di Malaysia hanya menumpukan kepada penerbitan majalah dan suratkhabar, kini mengorak langkah untuk menyebarluaskan seiring dengan perubahan masa.

Menurutnya juga Karangkraf sudah 40 tahun dan selama ini begitu berpegang teguh dengan penerbitan majalah. Justeru dengan usahasama seperti ini, pastinya ia akan memenuhi kehendak industri yang semakin meningkat.

SUMBER: SINAR HARIAN ONLINE