Sekitar Rabu lalu, satu kebakaran telah berlaku di sebuah menara apartment 27 tingkat, Grenfell Tower di Barat London sekitar jam 12.54 tengah malam waktu tempatan. Dianggarkan kira-kira enam orang disahkan terbunuh dalam kebakaran tersebut.

Kejadian ini sememangnya mengejutkan. Dikatakan penghuni Islam yang berjaga menunggu sahur di antara jam 1 hingga 2 pagi berjaya menyelamatkan banyak nyawa.

Pada awalnya, mereka terhidu asap dan ketika berlari keluar menyelamatkan diri, mereka sempat mengetuk pintu rumah jiran untuk memberitahu tentang kebakaran tersebut. Lebih menakutkan kerana penggera kebakaran dan penyiram air tidak berfungsi.

Kini, pelbagai pertubuhan termasuk pusat Islam dan masjid, gereja serta kuil Sikh meyediakan bantuan dengan membuka rumah ibadah masing-masing sebagai tempat perlindungan kepada mangsa.

Masjid yang berhampiran iaitu Masjid Al-Manaar menawarkan perlindungan kepada semua mangsa tanpa mengira agama untuk tinggal di situ. Sukarelawan dan kakitangan Al-Manaar turut menghantar air, kurma dan keperluan lain kepada mangsa.

Seorang wanita tempatan berkata: “Jika bukan kerana remaja Islam di sekitar sini dan yang datang dari masjid, mungkin lebih ramai yang akan mati. Mereka orang yang pertama membawa air dan membantu orang ramai.”

Andre Barroso pula memberitahu: “Penduduk Islam bertanggungjawab mengejutkan penghuni lain keluar segera dari bangunan. Saya nampak penduduk Islam di mana-mana. Mereka juga menyediakan makanan dan pakaian.”

Semoga mereka sentiasa bersatu tanpa mengira bangsa dan agama. Takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga. Kami berdoa agar mereka tabah menghadapi dugaan yang diberi Allah Taala.

SUMBER: HARIAN METRO