Kalau sudah namanya wanita, pasti akan mudah cair dengan kata-kata lelaki. Lelaki pula sifatnya pandai memujuk dan bermanis mulut.

Jika tidak kuat iman, tentu sahaja wanita akan mudah terpedaya dengan janji-janji manis lelaki hingga menjurus kepada melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya. Dalam erti lain, berzina.

Jika sudah berzina, perkara yang paling dirisaukan tentunya apabila disahkan mengandung. Beban yang harus dipikul bukan sedikit. Perlu berdepan dengan masyarakat yang bermacam kerenah.

Ikuti perkongsian salah seorang wanita yang telah diperdaya oleh seorang lelaki hingga menyebabkan dia mengandung anak luar nikah.

"Aku seorang wanita Cina dan kini telah memeluk agama Islam dengan izin Allah. Minat untuk memeluk Islam memang sudah lama timbul. Sejak aku berada di tingkatan 2 lagi. Lagipun, kawan-kawan aku memang ramai Melayu.

Jadi, mulai dari hari itu aku nekad untuk mula mendalami Islam sedikit demi sedikit. Situasi ini membawa perkenalan di antara aku dan Kamal. Kami berkenalan ketika aku menghadiri satu ceramah agama di sekitar Lembah Klang.

Dari situ, kami bertukar nombor telefon dan berhubung antara satu lain. Pada pandangan aku, Kamal seorang yang baik, taat perintah agama dan bertanggungjawab. Apabila dia mengetahui aku ingin memeluk agama Islam, dia menawarkan diri untuk membimbing aku.

Aku sungguh gembira kerana ada juga orang yang sudi membimbing aku. Kamal sering membawa aku pulang ke rumah untuk bertemu dengan keluarganya. Keluarganya juga seakan merestui hubungan dan hasrat Kamal untuk membantu aku.

Oleh kerana kami kerap berjumpa, tidak aku nafikan yang aku mula jatuh cinta dengan Kamal. Namun aku diamkan sahaja perasaan aku ini. Rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Kamal juga menyimpan perasaan yang sama denganku. Apabila Kamal meluahkan perasaannya pada aku, aku cukup teruja kerana merasakan cinta aku seakan dibalas.

Disitulah bermulanya episod hitam dalam hidupku. Biasalah jika sudah namanya kekasih, pasti akan ada berpegangan tangan. Tipulah kalau korang semua tak pernah pegang tangan kekasih korang kan? Dari berpegangan tangan, sedikit demi sedikit Kamal sudah mulai berani meraba aku.

Tapi aku tak marah pun. Aku seakan merelakan apa yang dilakukan Kamal terhadap aku. Sehingga pada satu hari, Kamal mengajak aku pulang ke rumahnya. Seperti biasa, aku hanya bersetuju kerana tahu ibu bapanya ada di rumah.

Ternyata silap jangkaan aku kerana ahli keluarga Kamal yang lain pergi bercuti. Hanya ada aku dan dia di dalam rumah tersebut. Kamal mula menunjukkan taringnya sebagai seorang lelaki. Dia mula memujuk dan merayu untuk 'bersama' aku.

Pada awalnya, aku menolak dan meminta dia menghantar aku pulang. Namun, apalah sangat permintaan aku pada dia. Dia terus memujuk dan merayu sambil tangannya merayap di seluruh tubuhku. Akhirnya aku tewas dan berlakulah perkara yang paling tidak aku sangka.

Keadaan ini tidak hanya terhenti di situ. Kamal kadangkala membawa aku menyelinap masuk ke dalam rumahnya dan kami melakukan zina di dalam bilik Kamal. Perbuatan kami ini berlanjutan sehingga beberapa bulan sebelum aku disahkan mengandung.

Aku kerap pening kepala dan muntah-muntah. Namun aku tidak langsung terfikir yang aku mengandung sehinggalah perkara ini disahkan sendiri oleh doktor. Dunia aku seakan terhenti. Apa yang harus aku lakukan?

Aku berbincang dengan Kamal tentang hal ini. Dia sanggup menjaga anak tersebut dan melarang aku menggugurkan kandungan tersebut. DIa kemudian memberitahu hal ini kepada ahli keluarganya yang lain.

Mereka agak terkejut pada awalnya. Namun mereka bersetuju untuk menjaga aku sehinggalah saat aku melahirkan. Oh ya, ketika ini aku masih tidak memeluk Islam lagi. Selepas melahirkan seorang bayi yang comel dan berpantang selama 44 hari, aku bertekad untuk mencari kerja.

Ahli keluarga Kamal bersetuju dengan keputusan aku dan mereka akan membantu menjaga bayiku ketika aku sedang bekerja. Hari pertama semuanya berjalan dengan lancar. Masuk hari kedua, ketika aku pulang ke rumah, aku dapati anak aku tiada. Puas aku mencarinya tetapi tidak aku temui dia dimana.

Aku menghubungi ibu Kamal dan dia menyatakan dia sudah membawa lari anak aku bersama Kamal dan bapanya. Aku sungguh terkejut dengan tindakan mereka dan menangis semahunya serta memujuk mereka untuk memulangkan kembali anak aku.

Rayuanku tidak dilayan. Malahan aku dihina dengan begitu teruk sekali. Selepas kejadian itu, aku jadi seperti orang tidak betul dan meroyan. Hari-hari aku menangis. Pada saat ini, aku sudah berputus asa dengan Islam.

 Sehinggalah aku bertemu dengan seorang lelaki berbangsa sama seperti aku, Justin. Dia mengetahui kisah aku dan meminta aku melupakan kisah tersebut dan bina hidup baru dengannya.

Aku cuba sedaya upaya untuk membina hidup baru. Entah dimana silapnya, aku telah melakukan zina dengan Justin dan perkara ini berlanjutan hingga beberapa kali. Kali ini, aku lebih berhati-hati namun tanpa disangka-sangka, aku mengandung buat kali kedua. Sungguh, memang aku tidak jangka yang aku boleh mengandung lagi. Tetapi Justin tidak mahu bertanggungjawab.

Aku hilang arah. Apa yang harus aku lakukan? Aku bercerita tentang keadaan aku ini kepada salah seorang rakan aku dan dia mencadangkan agar aku meminta pertolongan pada sebuah pusat perlindungan wanita.

Aku bersetuju dan terus ke rumah tersebut. Alhamdulillah mereka menerima aku seadanya. Disinilah aku memeluk agama Islam dan mula belajar agama dengan lebih mendalam. Aku kini lebih tenang dan hanya menunggu masa untuk melahirkan bayiku ini. Sekurang-kurangnya, bayi ini mampu mengurangkan rasa rinduku pada anak sulungku.

Ternyata, rancangan Allah itu lebih baik. Sekiranya Justin bertanggungjawab, tentu kini aku masih lagi terumbang-ambing mencari Tuhan dan tidak akan memeluk agama Islam. Janjiku, aku akan berubah ke arah yang lebih baik dan menjadi hamba Allah yang diredhaiNya.

Nasihat aku kepada semua wanita di luar sana, jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis seorang lelaki. Mereka hanya mahukan sesuatu daripada anda dan jika mereka sudah dapat, anda sudah tiada makna pada mereka. Percayalah. Kuatkan iman anda dan sebaik-baiknya, jauhi maksiat."