Kisahnya ketika di zaman kanak-kanak memang menyedihkan. Gara-gara berbadan besar dan wajah tidak secantik budak perempuan lain menyebabkan dirinya sering hina.

Ini adalah kisah hidup Joanna Joseph yang kini berusia 20 tahun tetapi masih mengingati apa yang berlaku padanya suatu masa dulu.

Sering Diejek

“Berat badan berlebihan ini kelihatan hodoh di mata mereka dan hari-hari saya dibuli oleh rakan-rakan lain,” ujar Ratu Cantik dari Klang ini.

Walaupun sering kali diejek dan dibuli, Joanna ambil kata-kata itu sebagai pembakar semangat untuk berubah dan kurus seperti gadis lain.

“Setiap perubahan itu perlukan pengorbanan dan tidak mahu seumur hidup terus-terusan diejek gemuk dan hodoh, saya nekad untuk berubah".

Namun dia sedar bukan senang untuk mendapatkan bentuk badan idaman. Joanna terpaksa bekerja keras bagi memastikan impiannya terlaksana.

Amal Diet Sihat

Dia berjaya menurunkan berat badan dengan cara pemakanan yang baik, dan tidak pernah bergantung kepada sebarang pil penurun berat badan.

“Ini merupakan hasil yang diperoleh tanpa bantuan pil-pil penurun berat badan. Hanya diet yang baik. Ini adalah usaha keras saya.

"Saya pernah melihat ibu saya sengsara selepas mengambil pil kurus, malah tidak mahu makan apa-apa. Jadi, saya mengambil keputusan untuk membuktikan bahawa berat badan boleh dikurangkan tanpa sebarang jenis ubat-ubatan,” tulisnya lagi dalam laman sosial Facebook Miss Selangor Earth 2016.

Ternyata segala apa yang diusahakan membuah kejayaan. Joanna yang kini melanjutkan Diploma di Management Science University (MSU), berjaya mendapat apa yang diinginkan dan perkara itu telah mengubah keseluruhan hidupnya.

Tiada lagi mimpi ngeri, sebaliknya kini perjalanan hidupnya cukup indah.

Joanna kini bergelar Ratu Cantik Miss Selangor Earth 2016 yang memiliki tubah badan langsing dan kisah yang dikongsi sangat memberi inspirasi kepada orang ramai terutama kaum wanita.

SUMBER: ASTRO AWANI

KREDIT FOTO: FB JOANNA JOSEPH