Bulan puasa penuh dengan keberkatan dan digandakan pahala. Semua umat Islam berebut-rebut untuk mengejar peluang mendapat syafaat di bulan mulia ini.

Namun perkara ini menjadi satu kekhuatiran pada golongan wanita harapan tinggi untuk puasa penuh. Tetapi, agak mustahil kerana wanita normal akan alami pusingan haid setiap bulan dan ini menyebabkan ada yang kecewa kerana tak dapat berpuasa penuh.

Mungkin ada yang terfikir untuk ambil ubat penahan haid bagi mendapatkan puasa penuh dan melakukan ibadah berterusan sepanjang bulan yang mulia ini.

Persoalannya apakah hukumnya mengambil ubat menahan haid. Ulama berbeza pendapat tentang hukum memakan ubat untuk menahan haid dari keluar sama ada ubat itu berbentuk pil atau cecair.

Di antara Ulama silam yang berpandangan harus mengambil ubat penahan haid adalah Imam Ahmad Bin Hanbal. Imam Ibnu Qudamah meriwayat di dalam almughni:-

“Tidak mengapa seorang wanita minum ubat untuk memberhentikan haidnya sekiranya ubat tersebut dikenali (tidak membawa kesan negatif).”

Antara Ulama semasa yang berfatwa harus mengambil ubat penahan haid adalah imam Yusuf al Qaradhawi dan Syeikh Wahbah az zuhaili.

Imam al Qaradhawi menyebutkan fatwanya berkaitan keharusan mengambil ubat penahan haid di dalam bukunya Feqhu siyam. Imam Qaradhawi juga menyebutkan bahawa ulama semasa yang lain juga membenarkan pengambilan ubat penahan haid.

Kata Dr Syeikh Wahbah az zuhaili:

“Perempuan ini dan seumpamanya boleh melakukan perkara (ambil pil penahan haid) ini pada Ramadan dan pada haji tetapi tidak dipaksa dan tidak mesti”

Bagaimanapun, bagi yang tidak berpuasa dan mahu gandakan pahala boleh lakukan perkara di bawah.

1. Bangun bersahur bersama-sama

Menyediakan juadah untuk ahli keluarga pasti mereka gembira dan mendapat keberkatan atas kegembiraan mereka.

2. Menyediakan juadah berbuka puasa 

“Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya, dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikitpun” (Riwayat Tarmizi). Menyediakan juadah untuk mereka walaupun kita tidak berpuasa, setiap keringat kita dikira sebagai pahala. Setiap rezeki yang masuk ke perut saudara dan kaum kerabat kita, insha Allah adalah ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

3. Tadabur atau mendengar bacaan Al Quran 

Menghayati setiap bacaan Al Quran dan memahami tafsiran. Ramai wanita keliru, membaca Al-Quran ketika haid dan memegang Al- Quran ketika haid. Sebenarnya, isu ni berlaku sebab kekhilafan ulamak, dan setiap ulama menyatakan dalil masing-masing.

4. Beristigfar, berzikir dan selawat ke atas Nabi

Ketika haid, kita gunakan 10 minit waktu solat itu untuk dengan istighfar, zikir, membaca maathurat, berdoa, dan selawat keatas Nabi SAW. Berzikir boleh dilakukan wanita haid. Ini lebih baik daripada sekadar membiarkan lisan dan hati kita lalai dari mengingati Allah. Jangan biarkan diri kita kosong tanpa diisi.

5. Infaq/ sedekah

Infaqlah dan bersedekahlah sekadar kemampuan kita. Ganjaran sedekah berlipat kali ganda apatah lagi bulan Ramadan ini.

6. Istiqomah 

Sebagai wanita, ibu dan isteri banyak pahala dan perkara lazim yang beroleh ganjaran pahala,memberi senyuman, melayan anak dan suami, menjaga silaturrahim dengan jiran tetangga itu juga ada ganjaran pahalanya.

Kesimpulannya sebagai terimala fitrah yang telah ditetapkan dengan ikhlas, jangan berburuk sangka dengan ketentuan ini. Walaubagaimanapun jangan mengambil kesempatan makan terang-terangan di khalayak mereka yang berpuasa.

SUMBER: DR ZUBAIDI AHMED