Hidayah dari Allah itu tidak cepat dan tidak lambat. Malah diberi dalam pelbagai cara dan salah satunya apabila dibukakan hati untuk memeluk Islam.

Bagi model antarabangsa, Aliza Kim yang berdarah campuran Thailand- Amerika Syarikat bersyukur diberikan hidayah oleh Allah untuk memeluk agama suci ini sejak empat tahun lalu.

Dalam satu temu bual bersama majalah Merdeka.com. dia bercerita penuh emosi bagaimana akhirnya berjaya memantapkan diri menjadi Muslimah sejati.

Ceritakan pengalaman anda menjadi seorang Muslim?

Pengalaman menjadi seorang Muslim memang begitu emosional dan cukup teruja sekali. Saya melakukan banyak pembacaan mengenai Islam. Begitu asyik hingga kadang kala tertidur dan bila bangun terasa diri menjadi orang baru. Melaluinya saya lebih memahami selok-belok agama Islam dan berubah sedikit demi sedikit. Misalnya saya sering memakai hijab. Saya juga turut ke kelas agama dan saat itu saya mula memahami bahawa Allah adalah Perencana Terbaik. Sebaik mengucap syahadah pengikut di laman sosial turut bertambah dan jujur saya katakan, saya begitu rasa terhormat sebagai seorang Muslim.

Perubahan paling besar dirasakan setelah bergelar mualaf

Perubahan paling besar adalah mendapat ketenangan fikiran dan menjadi insan yang lebih bertawakal. Apabila kita bertawakal (percaya penuh pada Allah) pasti kita akan rasakan segala masalah itu sebahagian dari ujian Tuhan. Kita kena percaya ujian yang diberikan adalah untuk penghilang dosa an meningkatkan iman kita di tingkat tertinggi di syurga nanti.

Adakah anda dipinggirkan disebabkan seorang Muslim. Bagaimana dengan penerimaan keluarga?

Alhamdulillah saya tidak pernah dipinggirkan. Seluruh komuniti,  keluarga dan teman-teman memang memberi sokongan sangat luar biasa. Namun, saya diberitahu bahawa karier sebelum ini telah ditamatkan oleh agen. Tetapi insya-Allah ia diganti dengan suatu yang lebih sesuai dengan penampilan saya kini.

Siapa yang memainkan peranan dalam mengubah kepercayaan anda sebelum ini?

Tiada siapa kerana segala-galanya memang dari Allah yang membimbing dan membuka hati saya. Orang-orang digunakan oleh Allah SWT untuk menyampaikan pesan tentang Islam dan kemudian Allah yang secara langsung membuka hati seseorang untuk mengerti dan menerima Islam. Namun ada beberapa ilmuan yang memberi bahan bacaan dan membantu pemahaman saya terhadap Islam di awal penghijrahan. Saya sangat berterima kasih kepada Allah SWT kerana telah menempatkan mereka dalam hidup saya untuk membantu saya.

Sepanjang Ramadan ini, apa yang anda lakukan?

Saya merasa setiap bulan Ramadan memberi kesempatan untuk saya melakukan sesuatu yang lebih baik. Tahun ini saya didekati oleh AboutIslam.net untuk membuat content video untuk Muslim baru tentang Ramadan. Siri ini disebut "Ramadan Coach with Aliza Kim". 3 Video pertama sekarang ada di saluran YouTube "About Islam". Episode 5-8 akan disiarkan di Saluran YouTube peribadi saya (youtube.com/AlizaKim) selama 3 minggu hinggalah Syawal nanti.

Apa yang anda harapkan di bulan suci ini, mungkin ada impian belum tercapai?

Sama seperti semua Muslim lainnya, di Ramadan ini saya berusaha untuk tidak mengabaikan dan menghargai Allah. Mimpi saya untuk bulan Ramadan - tapi belum tentu tahun ini adalah, pertama belajar bahasa Arab Al-Quran, sehingga saya dapat membaca dan mendengarkan kandungan Quran dengan pemahaman mendalam. Atau setidaknya sekali dalam hidup saya, saya ingin mengerjakan bulan Ramadan dan rayakan Syawal di Mekah.

SUMBER: MERDEKA.COM & IG ALIZA KIM