Kita sering sahaja alpa untuk sentiasa mengingati Allah SWT dan Rasulullah SAW di kala waktu senang. Apabila sesuatu menimpa kita seperti musibah atau kecelakaan, sudah pasti laju bibir ini mengeluarkan doa-doa meminta pertolongan. Subhanallah–kita lalai sewaktu senang.

Tetapi lumrah sebagai seorang manusia untuk membuat kesilapan, andai diri ini tidak sempurna kita masih lagi mencari keredhaan Ilahi. Selawat dan zikir adalah perkara yang harus kita ucapkan walaupun hanya sekali pada satu masa.

Murnikan mulut dengan selawat dan zikir

Kadang-kadang kita sering sahaja untuk bersosial bersama orang sekeliling dan ianya ada juga memakan masa yang agak lama. Apabila kita teringat untuk bertafakur buat seketika, ingatlah untuk berzikir dan selawat agar kita mengingati Allah SWT dan juga Nabi Muhammad SAW.

Menurut laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada membincangkan tentang kepentingan untuk berselawat dan zikir, kedua-duanya sekali, adalah satu tuntutan yang di nyatakan dalam syarak. Hal ini kerana terdapat banyak dalil yang menyeru manusia agar sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Apakah maksud sebenar selawat itu sendiri? Selawat merupakan perkataan jam’ bagi solat (الصلاة‎) yang juga membawa maksud doa atau pujian. Setiap selawat yang di ucapkan sama ada pada Allah SWT, selawat para malaikat mahupun juga selawat manusia adalah berbeza di antara satu sama lain. Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat yang tinggi. Manakala selawat malaikat adalah doa tambahan gandaan pahala dan selawat dari orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan juga puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW.

Manakala maksud zikir dari aspek bahasa adalah mengingati dan pada isilah, zikir adalah suatu perkara yang di lakukan dengan niat untuk mengingati Allah SWT dengan cara-cara yang berpatutan pada syara’ seperti menerusi ucapan, perbuatan, atau dengan hati.

Artikel berkaitan: Keutamaan Manakah Yang Lebih Baik Antara Zikir Dan Selawat? Ayuh Fahami Bersama.

Kedua-dua selawat dan zikir ini seperti yang telah di nyatakan adalah menjadi tuntutan buat umat islam. Ia kerana dapat membantu umat Islam sentiasa mengingati Allah SWT bahkan memuji Nabi Muhammad SAW bagi mendapat keredhaanNya. Terdapat catat di dalam al-Quran di mana Allah SWT menyatakan dengan jelas berkaitan tuntutan kita sebagai hambaNya untuk sentiasa berselawat dan berzikir. Antaranya:

  • Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

IKLAN

al-Ahzab: 56

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

Tafsiran Syeikh al-Maraghi mengenai ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu[Lihat: Tafsir al-Maraghi, 11/5511)]

Ada juga terdapat ayat di dalam al-Quran yang masih menekankan tuntutan mengenai zikir, seperti:

  • Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

al-Ahzab: 41

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! berzikirlah kamu kepada Allah dengan zikir yang banyak.”

IKLAN

 

  • Firman Allah SWT:

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

al-Insan: 25

Maksudnya: “Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar solat) pada waktu pagi dan petang.”

Masih lagi banyak yang tercatat di dalam kitab suci al-Quran yang menegaskan serta menyeru kita sentiasa untuk berzikir dengan mengingati Allah SWT. Di dalam masa yang sama, ada juga hadith yang di nyatakan kelebih atau tuntutan untuk kita sentiasa berselawat dan berzikir:

  • Daripada Abu Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ

IKLAN

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat.” [Riwayat al-Baihaqi (5995)][Imam al-Syaukani menilai sanad hadith ini adalah hasan]

 

  • Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” [Riwayat Muslim (384)]

Kesimpulannya, melalui perbincangan di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah berpendapat kedua selawat dan zikir adalah suatu yang di syariatkan oleh Allah SWT mengikut nas al-Quran dan hadith Nabi Muhammad SAW yang menjelaskan tidak ada sudut keutamaan di antara keduanya. Namun, adalah suatu perkara yang sia-sia buat umat Islam untuk meninggalkannya kerana mensia-siakan kelebihan yang bakal anda perolehi. Tidak rugi untuk meluangkan sedikit masa untuk berzikir dan selawat bukan?

Sumber info dan gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Canva

Artikel berkaitan: Sedih, Resah Dan Gelisah, Amal Zikir Fatimiyah Agar Lebih Tenang. Bagus Untuk Hijabi Hadapi ‘Anxiety Attack’!

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Tampil #1 on top dengan fashion muslimah terkini di HIJABISTA!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI