Benarlah orang kata, didikan yang baik perlu bermula sejak kecil lagi kerana lebih mudah untuk dibentuk. Ini yang terjadi pada seorang kanak-kanak perempuan bernama Maariya dari Luton, England di mana dia telah berjaya menghafal seluruh Al-Quran seawal usia 7 tahun.

Bermula usia 5 tahun, Maariya telah menghafal Surah Yasin dalam cabaran amal demi mendapatkan wang untuk Syria. Tidak lama selepas itu, dia berjaya menghafal Juzuk terakhir Al-Quran di sebuah madrasah tempatan.

Ibu Maariya menyedari Maariya seorang yang cepat belajar dan mahu Maariya menjadi seorang hafizah. Apa yang mengecewakannya, tiada kelas hifdh disediakan sehingga dia  mengambil keputusan untuk membimbing anaknya melalui pengalaman hifdhnya sendiri.

Ia sememangnya tidak mudah dan memerlukan banyak kesabaran daripada dirinya dan juga anak perempuannya. Katanya, “Saya sangat terharu dan sangat emosional untuk berfikir yang Allah telah memberi saya kesabaran sepanjang perjalanan ini. Ia tidak mudah.”

Berbicara tentang jadual Maariya, ia sememangnya ketat di mana dia akan belajar 5 jam sehari iaitu satu sesi sebelum ke sekolah di mana dia akan belajar sesuatu yang baru, satu sesi selepas sekolah di mana dia akan baca apa yang telah dipelajarinya dan satu lagi sesi selepas makan malam untuk ulangkaji.

Dalam usaha untuk memberi motivasi kepada Maariya, ibunya akan memberikan kebebasan kepada Maariya untuk memilih apa sahaja hadiah yang dimahukannya setiap kali selepas dia berjaya selesaikan sebahagian daripada Al-Quran. Maariya pula memang tidak banyak kerenah dan hanya memilih hadiah yang simple seperti mainan, buku mewarna atau makanan di restoran.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila Maariya berjaya menghafal seluruh isi kandungan Al-Quran hanya dalam masa dua tahun. Sebuah majlis khatam Al-Quran telah diadakan sempena meraikan pencapaiannya.

Ibu Maariya berkata, pencapaian anaknya itu telah menjadikannya sebagai ibu yang paling bangga berjalan di Bumi ini dan dia berdoa agar Maariya “selalu hidup dengan apa yang dipelajarinya.”

Antara video bacaan Al-Quran oleh Maariya

SUMBER: ilmfeed.com & Facebook QuranHafiza Maariya and Mummy